Saturday, 25 February 2012

Tonggak kedua Rukun Negara perlu disuburkan

ABDULLAH NAZIH ALWAN BIN MOHD ROKHIBI ( UD 0617 )

KEBELAKANGAN ini timbul berbagai tindakan yang dilihat seperti langsung tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu. Ada antara tindakan itu bukan sahaja dianggap tidak menghormati undang-undang, malah ada yang sanggup mencemarkan institusi raja melalui perbuatan, misalnya mengadakan demonstrasi di hadapan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak atau melalui persidangan Dewan Undangan Negeri. Perlu difahami bahawa Raja-Raja Melayu adalah simbol dan keagungan serta kedaulatan negara ini.

Jika dilihat kembali semasa proses kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah mengingatkan semua pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di Selangor supaya memastikan masjid tidak digunakan sebagai gelanggang politik.

Tetapi yang terjadi sebaliknya pula. Pihak pembangkang mengambil sikap tidak endah titah Sultan Selangor. Menurut laporan akhbar-akhbar utama, Menteri Besar Kelantan yang turut berkempen di Hulu Selangor mengatakan larangan menggunakan masjid dan surau untuk berpolitik sebagai karut dan ia adalah hasil peninggalan penjajah. Selanjutnya beliau dilaporkan sebagai berkata politik boleh disebut atau dibincang di mana-mana. Azan yang dilaungkan bilal adalah suatu politik kerana memanggil orang ramai mengerjakan solat di masjid. Selanjutnya beliau berkata, Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengasingkan antara agama dan politik.

Jika diteliti, titah Sultan Selangor ada baiknya. Larangan berpolitik di masjid dan surau dikhuatiri akan mendatangkan lebih banyak masalah (keburukan) dan kemudaratan berbanding dengan kebaikan terhadap masyarakat. Ini kerana pada masa kini, masyarakat Melayu Islam bukan sahaja berpecah belah, malah sanggup berpuak-puak hanya disebabkan oleh fahaman politik yang berbeza. Tentu kita masih belum lupa, suatu ketika dahulu terdapat isu-isu yang merendahkan martabat Islam seperti sembahyang dua imam dan isu kafir-mengkafir.

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju masjid digunakan sebagai lokasi untuk kempen politik. Selanjutnya beliau berkata, sekiranya kempen politik atau untuk apa sahaja aktiviti parti dibenarkan, ia akan menimbulkan masalah dan perpecahan akan lebih teruk berlaku dalam masyarakat.

Terkini berlaku pula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah apabila dua soalan bertulis yang dikemukakan oleh seorang ahli DUN dari Pas yang bertanya sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam negeri dihormati oleh Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.

Sepatutnya, soalan-soalan yang berkaitan dengan institusi Raja-Raja Melayu yang menyentuh mana-mana Sultan atau Raja Melayu yang boleh mendatangkan satu polemik pada masa depan dihindarkan daripada dibincangkan di dalam sidang DUN. Pemimpin-pemimpin politik tidak kira sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang terutamanya pemimpin-pemimpin Melayu seharusnya menjadi benteng dan pembela merangkap 'hulu balang" yang mempertahankan kedaulatan agama Islam dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Rakyat negara ini pada semua peringkat umur dan bangsa sewajarnya tidak lupa dan maklum dengan tonggak kedua Rukun Negara iaitu 'Kesetiaan kepada Raja dan Negara'. Hari ini, rakyat dilihat seolah-olah sudah lupa kepada Rukun Negara.

Usaha-usaha menyemai maksud yang tersirat pada setiap tonggak Rukun Negara harus dibuat dengan kadar segera melalui kempen-kempen di media cetak dan media elektronik supaya setiap rakyat di negara ini dapat menjiwai dan mendalaminya.

Setiap tonggak Rukun Negara yang diamalkan sejak dahulu telah berjaya menjamin kestabilan negara dan keharmonian hubungan kaum. Jangan ada lagi pihak yang cuba mempertikaikan, malah menghina prinsip yang telah diterima dan telah termaktub itu.

0 comments:

Post a Comment