Tuesday, 27 September 2011


Nama: Abdul Hadi Ong B. Abdullah
No. matrik:DQ 0424

Tradisi kekeluargaan orang Cina.

Pengenalan
            Tamadun Cina merupakan tamadun awal dalam sejarah manusia yang kini bersejarah lebih kurang 3777 tahun[1].Kedatangan agama Islam dengan kerasulan Nabi Muhammad saw. dan  pengasasan tamadun Islam menyatukan masyarakat manusia yang berbilang bangsa dan budaya supaya saling berkenalan.Atas dasar mengekalkan status identiti orang Cina maka artikel ini ditulis berdasarkan rujukan buku-buku ilmiah dan agama,selain itu artikel ini merupakan batu asas kepada kertas kerja dan buku “ Tradisi kekeluargaan Cina Muslim”.

Asas Kepercayaan Orang Cina
            Sebelum penyebaran agama Islam dan penerimaan agama Kristian,masyarakat Orang Cina sudah ada kepercayaan agama yang tersendiri.Kepercayaan Orang Cina merupakan gabungan unsur monoteisme dan animisme.
            Unsur monoteisme kepercayaan Orang Cina ialah keyakinan tentang kewujudan Tuhan Yang Maha Esa yang dikenali sebagai “Shang Ti” yang menciptakan alam semesta dan mentadbirkannya menurut kekuasaan-Nya dan keadilan-Nya,Dia memiliki sifat-sifat kesempurnaan dan tiada siapa yang dapat melihat-Nya ketika masih hidup di dunia ini.
            Walaupun mempercayai Tuhan Yang Esa,Orang Cina menyekutukan-Nya dengan menerapkan unsur animisme.Mereka mempercayai di alam sekeliling ada penunggu-penunggu yang dikenali sebagai “ Shen” atau “ Tian Shen” dan biasanya merupakan Dewa Dewi yang disembah oleh Orang Cina.
            Selain kepercayaan unsur monoteisme dan animisme,Orang Cina juga mempercayai kehidupan sesudah mati dan memuja Roh nenekmoyang sebagai penghormatan mengenang budi mereka semasa mereka masih hidup.
            Terdapat dua cara penghormatan yang diberikan kepada sembahan-sembahan,cara pertama melibatkan pembakaran colok dan isyarat tangan simbolik penghormatan;manakala cara kedua melibatkan doa,rukuk dan sujud.Semasa pemujaan pemuja berhala dikehendaki memakai pakaian yang bersopan.[2]


Perayaan-perayaan Orang Cina
            Pada dasarnya Perayaan Orang Cina terbahagi kepada dua bentuk perayaan,iaitu perayaan berunsurkan agama Budhisme,Confuciusme,dan Taoisme;kemudian perayaan berunsurkan budaya Cina.
            Biasanya perayaan berunsur agama merupakan hari untuk memperingati kelahiran dan kehidupan dewa dewi dan Budha.Setiap dewa dewi dan Budha mempunyai riwayat hidup yang tersendiri.Dan perayaan memperingati hari kebesaran agama Cina melibatkan upacara agama seperti pemujaan berhala,upacara penurunan,dan kenduri untuk berhala.[3]
            Bagi perayaan berunsurkan budaya Cina,pada pendapat penulis boleh dirayakan oleh orang Islam hanya untuk tujuan muhibbah kebudayaan sahaja tanpa melibatkan pemujaan berhala dan kubur,upacara agama Cina dan perbelanjaan yang berlebihan yang tiada kebaikan untuk kemaslahatan dakwah kepada Orang Cina.[4]
            Antara perayaan yang dianggap boleh dirayakan atas kemaslahatan muhibbah kebudayaan seperti:Tahun Baru Cina[5],kenduri Tuanwu[6],kenduri Kuih Bulan[7] dan Perayaan Tung Chih[8].Industri pembuatan kuih-muih tradisional Cina dan masakan cina yang menepati piawaian halal Islam merupakan suatu bidang yang patut diceburi oleh orang Islam.


Aspek-aspek kebudayaan Cina
            Tamadun Cina meninggakan warisan kebudayaannya kepada masyarakat Cina sekarang.Baju Chongsam merupakan peninggalan zaman Dinasti dahulu dan sebenarnya baju Cina mengalami beberapa perubahan sebelum ini.Chongsam diiktiraf sebagai pakaian rasmi oleh kerajaan Republik Cina setelah kerajaan feudal digulingkan oleh Dr Sun Yat Sen,Orang Cina Malaysia menjadikannya sebagai warisan nenek moyang.[9]
            Pendidikan tradisi Cina menekankan penguasaan enam kemahiran utama iaitu:adat istiadat,muzik tradisi Cina,kemahiran memanah,menunggang kuda ,seni kaligrafi Cina,dan kemahiran mengira.Ini menjadi asas falsafah pendidikan pada zaman dahulu kala.[10]
            Panduan dan sumber bahasa dan sastera Cina iaitu kitab himpunan Sishu Wujing merujuk kepada Sembilan buah buku falsafah Confucius.Cina Muslim Malaysia walaupun kebanyakan masa dihabiskan untuk mendalami pengajian Islam,maka sedikit masa hendaklah dilapangkan untuk belajar bahasa Cina supaya warisan tamadun Cina tidak hilang begitu sahaja.[11]

Menyesuaikan diri setelah memeluk Islam.
            Sebenarnya tiada kesalahan untuk mengamalkan kebudayaan Cina dalam masyarakat Islam dan tiada tentangan yang hebat untuk beriltizam dengan ajaran Islam dalam masyarakat Cina di Malaysia.Ini kerana Malaysia merupakan sebuah Negara yang berbilang bangsa dan agama kaya dengan kepelbagaian kebudayaannya.[12]
            Soal makanan halal dan makanan yang syubahat menjadi salah satu aspek kehidupan Muslim kerana ia merupakan syarat diterima semua amal ibadat oleh Allah,oleh itu Cina Muslim hendaklah mewarisi cara masakan dan makanan tradisi Cina yang halal,kerana ini salah suatu industri yang menguntungkan ekonomi Orang Islam.[13]
            Masalah kenajisan anjing dan khinjir sudah jelas dinyatakan dalam Al-Quran dan Hadis,walaupun ulama berselisih faham tentang masalah furuk.Oleh itu sebagai seorang muslim hendaklah mempraktikkan cara-cara pembersihan najis tersebut dengan sentiasa menyediakan tanah yang bersih untuk digunakan ketika kecemasan.[14]
           Untuk mewujudkan perpaduan antara kaum dan suasana harmoni di Malaysia,maka penyebaran agama Islam dipergiatkan lagi dan perkahwinan campur menjadi pilihan terbaikan bagi penulis.Melalui naungan agama Islam semua etnik di Malaysia dapat dimuafakatkan dan dapat mengekalkan budaya ketimuran daripada dihakis oleh arus kemasukan budaya barat yang negatif.[15]


Kesimpulan
            Kehidupan berbudaya dengan pegangan ajaran Islam merupakan fitrah semula jadi manusia.Kita mesti memahami norma-norma masyarakat Malaysia dan sentiment keagamaan di Malaysia supaya keharmonian hidup berbilang bangsa dapat dikekalkan.



Rujukan :
1.      Ann Wan Seng,1996,Perayaan Orang Cina,Shah Alam,Penerbit Fajar Bakti.
2.      Ann Wan Seng,1994,Adat Dan Pantang Larang Orang Cina,Kuala Lumpur,Penerbit Fajar Bakti.
3.      Mohammad Nidzam Abd. Kadir,2009,Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim,Kuala Lumpur,Telaga Biru Sdn. Bhd.
4.      Rammani Karupiah,2006,Sejarah Kertas 940/1 Tamadun Dunia,Subang Jaya,Pustaka Sarjana Sdn. Bhd.





[1] Rammani Karupiah,Sejarah Kertas 940/1 Tamadun Dunia, ms 1-57
[2] Ann Wan Seng,Perayaan Orang Cina,ms 1-19
[3] Ann Wan Seng,Perayaan Orang Cina,ms 84-90.
[4] Mohammad Nidzam Abd. Kadir,Fiqah berinteraksi dengan Non-Muslim,ms 1-5.
[5] Ann Wan Seng,Perayaan Orang Cina,ms 19-23.
[6] Ann Wan Seng,Perayaan Orang Cina,ms 44-45.
[7] Ann Wan Seng,Perayaan Orang Cina,ms 57-61.
[8] Ann wan Seng,Perayaan Orang Cina,ms 75-77.
[9] Ann Wan Seng,Adat Dan Pantang Larang Orang Cina,ms 83-86.
[10] Rammani Karupiah,Sejarah Kertas 940/1 Tamadun Dunia,ms 159-184.
[11] Mohammad Nidzam Abd. Kadir,Fiqah berinteraksi dengan Non-Muslim,ms16-19.
[12] Mohammad Nidzam Abd. Kadir,Fiqah berinteraksi dengan Non-Muslim,ms 157-174.
[13] Mohammad Nidzam Abd. Kadir,Fiqah berinteraksi dengan Non-Muslim,ms 37-56.
[14] Mohammad Nidzam Abd. Kadir,Fiqah berinteraksi dengan Non-Muslim,ms 57-94.
[15] Mohammad Nidzam Abd. Kadir,Fiqh berinteraksi dengan Non-Muslim,ms 135-140.

0 comments:

Post a Comment