Wednesday, 22 February 2012

Pergi tak kembali

created by: NOR SHUHADA BT IBRAHIM SY1079

Innalillahi wa inna ilaihi rajiun..  Itulah kalimat pertama yang meniti di  bibir apabila mendengar berita itu pada petang khamis 16 Feb 2012/ 23 Rabiulawal 1433..

Seakan tidak percaya dengan apa yang didengari. Dj Abd Razak Arbain @ turut dikenali dengan panggilan Ust Razak yang merupakan salah seorang juruhebah radio IKIM.FM merangkap Dj kegemaranku di IKIM.FM. Sedangkan sebelum kejadian, arwah ada mengendalikan segmen 'DINIHARI' dari 2AM-6AM tanggal 15 FEB 2012 di konti IKIM.FM seperti biasa. Dalam sekelip mata sahaja beliau telah pergi menyahut seruan Ilahi buat selama-lamanya. 

        Beliau meninggal dunia kerana terlibat dalam satu kemalangan berhampiran dengan rumahnya sewaktu pulang dari menghantar anaknya ke sekolah dengan menaiki motosikal. Sememangnya itu sudah menjadi rutin hariannya pada setiap pagi. Tapi malang tak berbau dan takdir Ilahi tiada siapa boleh menjangka. Kemalangan dialami telah meragut nyawanya. Motosikalnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal lain dikatakan ditunggangi  jirannya yang juga turut kritikal. Sesungguhnya itulah rencana Ilahi.

        Bagi pendengar setia IKIM.FM terutama segment yang di kendalikan oleh allahyarham sudah pasti akan terasa kehilangan seorang Industry Penyiaran Tanah Air yang menyebarkan dakwah melalui seni. Masya Allah… begitu luas jalan dan cabang dakwahmu.. dengan penyampaiannya di radio yang santai dan bersahaja sambil memberi input-input  berguna cukup disenangi ribuan pendengar.

    Pemergiannya juga turut dirasai oleh seluruh warga kerja IKIM.FM. Di kalangan rakan sekerja, beliau seorang yang suka membantu dan menolong orang lain, walaupun ada ketikanya menyusahkan dirinya sendiri, setiap kali pertolongan diperlukan dari beliau, jarang beliau membantah atau memberi alasan tidak mampu melakukannya melainkan beliau menghulurkan bantuan dengan sepenuhnya. Beliau juga seorang  yang mudah ikut semua arahan. Pemergiannya umpama hilangnya sebutir intan permata yang berharga di IKIM juga bagi kami pendengar setianya.

           Salam takziah ku ucapkan kepada isterinya, anak-anak, keluarga dan sahabat-sahabat yang terdekat terutama Sahabat 'Kelab Jalinan Ukhuwah' yang sering bersama-samanya ketika mengadakan sesuatu program dan family day. Beliau juga merupakan tunggak utama dan tulang belakang kelab tersebut. Pemergiannya sukar untuk dicari ganti.

      Apabila terkenang, perasaan sayu menyelinap ke dalam diri. Kini, tiada lagi Dj Razak  yang sering dinanti-nantikan setiap kali mendengar siaran IKIM sejak di bangku sekolah lagi. Beliau sering tampil dengan watak peramah, ceria dan mudah mesra dengan  sesiapa sahaja, mampu  membuatkan ramai pendengar meminatinya sekaligus gemar akan setiap segmen yang dikendalikannya. Namun sedikit rasa terkilan apabila diri ini tak mengetahui akan kewujudan semula segment sembang pagi yang sering didengari sejak tingkatan 4 dahulu buat peneman tatkala sedang study.

      Namun, apa yang terjadi adalah suratan takdir yang telah ditetapkan olehNya. Setiap kejadian manusia pasti ada akhirnya. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya jugalah kita kembali. Justeru kita yang masih lagi diberi peluang untuk bernafas perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian yang entah bila datang menjemput. Boleh jadi selepas ini, esok, lusa @ tulat, tiada siapa boleh tahu, hatta diri sendiri.

Ya Allah, Kau peliharalah roh arwah Dj Razak, tempatkanlah rohnya bersama para solihin dan syuhada', jadikanlah kuburnya sebagai salah satu taman-taman syurgaMu, terangilah kuburnya, sampaikan berita-berita serta khabar gembira dari syurgamu untuknya.. 

Al-Fatihah…


Dj Razak dalam kenangan 


Semoga Allahyarham tenang di sana..

0 comments:

Post a Comment