Monday, 6 February 2012

Daripada Tanah Kembali Ke Tanah


Oleh : Wan Fathiah Hanani Binti Wan Abdullah (UD 0652)

           
     Mungkin ada yang merasa gerun apabila bercakap soal mati. Malah, kalau boleh jangan sebut soal mati dalam perbualan. Tetapi tiada sesiapa boleh mengelak daripada mati, sama ada suka atau tidak kenyataannya mati tetap akan menjemput kita.
     Alangkah beruntungnya mereka yang sudah bersedia untuk kembali ke tanah, lalu membuat persiapan awal untuk tinggal bersendirian di sana. Pasti mereka tidak kekok kerana sudah bersedia untuk menghadapi apa jua ujian dan risikonya. Asal penciptaan manusia itu sendiri dari unsur tanah. Jadi layaklah kita semua dikembalikan ke sana.
     Daripada unsur tanah manusia bernama Adam diciptakan, daripada unsur yang hina, Adam dimuliakan, dan daripada unsur yang mati, Adam dihidupkan. Kemudian daripadanya, Hawa diciptakan. Bukan lagi daripada tanah, bukan juga melalui proses klon, tetapi dikhabarkan ia diciptakan daripada tulang rusuk Adam. Ini adalah kehebatan Allah SWT.
     Setelah Adam dan Hawa dihantar ke dunia sebagai khalifah, Allah ciptakan lagi manusia yang ramai, lelaki dan wanita, hanya dengan perkongsian hidup dua makhluk ini. Lihatlah betapa uniknya ciptaan manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud : “ maka hendaklah manusia memikirkan; daripada apakah dia diciptakan? Dia diciptakan dari air (mani) yang memancar (ke dalam rahim). Yang keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan.” (Surah al-Thariq : 5-7)
     Subhanallah, lagi sekali manusia diciptakan daripada bahan yang hina; air mani lelaki yang dipertemukan dalam rahim wanita. Bayangkan daripada air mani yang hina itu terbentuk pula manusia seperti kita hari ini.menyedari keadaan itu wajarkah manusia menjadi sombong terhadap Allah SWT, penciptanya? Tidakkah manusia merasa malu dengan ciptaannya yang hina tetapi Allah menjadikannya mulia? Sewajarnya kita malu dan akur dengan perintah-Nya. Mengapa pula kita sombong dengan manusia yang lain, padahal antara satu sama lain, sama sahaja kejadiannya. Sama-sama hina dan sama-sama Allah muliakan. Tegasnya tiada lebih dan tiada kurangnya manusia dipandang dari sudut kejadian. Namun di sisi Allah kita dinilai berdasarkan ketakwaan. Siapa yang tinggi takwanya, itulah yang paling mulia di sisi-Nya.

0 comments:

Post a Comment