Tuesday 20 March 2012

Didik Hati Agar Sentiasa Redha

Firman Allah yang bermaksud:
 "Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya." - (Surah al-Mulk, ayat 1-2) .
Menyingkap maksud firman Allah itu, manusia sentiasa akan diuji dengan kebaikan dan kesulitan. Segala perkara atau peristiwa berlaku dengan izin dan kehendak Allah.
Bagi Allah segala-galanya adalah kebaikan untuk hamba-Nya. Penerimaan manusia boleh jadi berbeza sama ada perkara itu baik atau buruk kecuali orang mukmin yang memiliki keimanan sebenar.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Allah sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar." - (Maksud al-Hadis)

Setiap detik kehidupan kita perlu meyakini bahawa kita berada dalam ujian Allah sehingga roh bercerai daripada badan. Firman Allah yang bermaksud:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta." (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Manusia diberi kemampuan mengamati atau menilai sesuatu perkara dan peristiwa secara zahir melalui deria penglihatan. Manusia juga dapat mengguna akal untuk mentafsir perkara atau peristiwa yang dilihat.
Manusia yang lebih tinggi martabatnya ialah apabila dapat melihat melalui mata hati. Ini adalah penglihatan atau gambaran cahaya iman. Allah berfirman yang bermaksud: "Maka ambillah pelajaran wahai orang yang memiliki mata hati." (Surah al-Haysr, ayat 2)
Sering kali kita terdengar rungutan apabila hari hujan kerana hujan yang turun menyusahkan untuk ke pejabat atau ke mana saja sedangkan bagi tukang kebun atau petani, hujan adalah rahmat Allah yang akan menyuburkan pokok serta tanaman mereka. Begitulah kepelbagaian ragam dan persepsi dalam kehidupan.
Segala penentuan Allah diterima dengan persepsi berbeza antara satu sama lain. Perbezaan sudut pandang ini bergantung kepada beberapa perkara seperti ilmu, keimanan, amalan dan ketakwaan seseorang. Orang beriman sentiasa reda dan menerima segala ketentuan dengan hati tenang kerana mereka berfikir secara positif, mencari hikmah di sebalik setiap peristiwa.

Setiap insan sentiasa mengharapkan kedamaian dan ketenangan hidup, bahkan manusia menginginkan kesenangan itu berpanjangan. Realiti kehidupan tidak selalu begitu kerana langit tidak selalunya cerah.
Panduan berikut boleh dijadikan pedoman untuk mendidik diri menerima sesuatu peristiwa baik atau buruk dengan penuh keredaan. Dengannya kita akan berasa tenang dalam menerima sesuatu dengan rela hati :

Bersyukur kepada Allah dan Membilang Nikmat-Nya
Kita beriman bahawa Allah tetap memberi nikmat di dunia kepada semua hamba-Nya. Apabila kita mendapat nikmat-Nya kita bersyukur dan mengiktiraf nikmat itu supaya tidak lupa jasa Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Allah sudah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kalian baik yang zahir mahupun yang batin." - (Surah Luqman, ayat 20)
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan jika kalian menghitung nikmat Allah nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya." - (Surah Ibrahim, ayat 34)
Nabi Sulaiman yang dikurniakan kerajaan dan kekayaan berkata: "Ini termasuk dalam kurnia Tuhanmu untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau kufur nikmat." - (Surah an-Namlu, ayat 20) .
 
Syukur bukan setakat mengucapkannya tetapi kita perlu zahirkan kelakuan orang yang bersyukur dalam bentuk perbuatan. Contohnya, apabila seseorang itu mendapat keuntungan daripada perniagaan diusahakannya, dia akan dibelanjakan ke jalan halal dengan ikhlas.

Musibah Menghapuskan Dosa
Kita menerima musibah dengan positif untuk menyedarkan kita supaya menilai kembali tingkah laku. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan dosa. Musibah dapat melenyapkan dosa yang dilakukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidaklah seseorang mukmin itu ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa sakit dan keletihan hingga tertusuk duri melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan dosanya." - (Maksud al-Hadis)

Bersabar Tanda Kemenangan
Allah mendidik kita supaya menerima sesuatu dengan reda dan sabar kerana Allah bersama dengan orang yang sabar. Orang yang bersabar akan mendapat kemenangan di dunia dan syurga di akhirat. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat sesuatu nikmat." - (Surah al-Hadid, ayat 23)

Berdoa dan Memohon Pertolongan Hanya Kepada Allah
Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, yakin dan kenalilah Allah ketika senang nescaya Allah akan mengenali kita ketika susah. Berdoa dengan khusyuk dan jadikan berdoa para nabi sebagai panduan. Bayangkan bagaimana pasrah dan khusyuk nabi berdoa dalam keadaan genting.
Kita juga tahu Allah memakbulkan doa mereka. Nabi Ibrahim berdoa memohon pertolongan Allah ketika dibakar dalam unggun api yang marak menyala, Nabi Muhammad ketika perang Badar dan Nabi Musa yang cemas ketika di kepung Firaun di Laut Merah dan saat kegelapan Nabi Yunus dalam perut ikan.

Membaca al-Quran
Al-Quran adalah kitab rujukan utama kepada setiap mukmin yang cemerlang. Kitab ini perlu dibaca dan difahami maksudnya setiap hari dengan tujuan melembutkan hati serta mendidik jiwa supaya istiqamah dalam amalan yang baik.
Allah sentiasa mengingatkan supaya mengambil pendekatan sederhana kerana keluh kesah akan menambah lagi musibah. Apabila menerima sesuatu musibah, kita zahirkan rasa syukur dengan membandingkan musibah lebih besar atau membandingkan musibah dihadapi orang lain.
Mengambil pelajaran dan melihat sesuatu hikmah dalam setiap perkara akan melahirkan insan yang celik perasaan serta mampu mengharungi hidup yang penuh pancaroba.


- Nur Adibah Binti Kamarul Baharin
- SY 1070

Jangan ! Jangan ! Dan Jangan !


Dalam Kerendahan Diri, Ada Ketinggian Budi,
Dalam Kemiskinan Harta, Ada Kekayaan Jiwa,
Dalam Kesempitan Hidup, Ada Keluasan Ilmu,
Hidup Ini Indah Jika, Segala2nya Kerana Allah..
   
Jangan, jangan dan jangan
Jangan sengaja lewatkan solat.
Perbuatan ini Allah tidak suka.
Kalau tertidur lain cerita.

Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar).
Takut kalau-kalau terbawa keluar najis,
mengotori seluruh rumah kita.

Jangan makan dan minum dalam
bekas yang pecah atau sumbing.
Makruh kerana ia membahayakan.

Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah
digunakan tidak berbasuh.
Makruh dan mewarisi kepapaan.

Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti
rezeki mahal
(kerana pagi-pagi itu membuka pintu
berkat/rezeki).

Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan.
Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.

Jangan keluar rumah
tanpa niat untuk membuat kebaikan.
Takut-takut kita mati dalam
perjalanan.

Jangan pakai sepatu atau selipar yang
berlainan pasangan.
Makruh dan mewarisi kepapaan.

Jangan biarkan mata liar di perjalanan.
Nanti hati kita gelap
diselaputi dosa.

Jangan menangguh taubat bila berbuat
dosa kerana mati boleh datang
bila-bila masa.

Jangan ego untuk meminta maaf pada
ibu bapa dan sesama manusia
kalau memang kita bersalah.

Jangan mengumpat sesama rakan
taulan. Nanti rosak persahabatan kita
hilang bahagia.

Jangan lupa bergantung kepada ALLAH
dalam setiap kerja kita. Nanti
kita sombong apabila berjaya.
Kalau gagal kecewa pula.

Jangan bakhil untuk bersedekah.
Sedekah itu memanjangkan umur
dan memurahkan rezeki kita.

Jangan banyak ketawa,
Nanti mati jiwa.

Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah
ciri-ciri munafik dan
menghilangkan kasih orang kepada kita.

Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa
makhluk yang teraniaya
cepat dimakbulkan ALLAH.

Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia.
Akhirat itu lebih utama
dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.

Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN.
Sebab semuanya untuk keselamatan kita.

ALLAH lebih tahu apa yang terbaik
untuk hamba ciptaanNya.

 "Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun"
(Sabda Rasulullah SAW)

"Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar."
  (Surah Al-Ahzab:71)

Wahai Daie ... Jangan Lemah !



Allah... Ujian-Mu silih berganti. Semakin aku menapak di jalan ini, semakin aku diuji. Benarlah jalan ini bukan mudah dilalui. Memang adakalanya aku seakan penat tetapi aku tahu, tidak sepatutnya aku bersikap lemah apalagi menyerah. Maka di saat ini, aku nukilkan sedikit hikmah buat pemangkin diri juga sebagai tatapan mereka yang ingin sama-sama menguatkan diri..

Wahai daie... Janganlah kamu berasa lemah. Tatkala dilambung ombak cabaran. Sedarlah, itu adalah tarbiyah Allah buatmu. Memang, sesekali diuji itu perit, pedih dan menyakitkan. Membuat air matamu gugur satu persatu. Tetapi itu bukan sebab untuk menyerah.
Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala mata-mata manusia melihatmu pelik, jelik malah merendah-rendahkanmu. Bersabarlah... Ingat kembali sabda Rasul S.A.W mafhumnya :
"Islam itu datangnya dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang. Beruntunglah mereka yang menggenggamnya ketika ia kembali dagang". [H.R Muslim]

Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala hati-hati yang ingin kau ajak ke arah kebaikan menolak ajakanmu. Ingatlah... Hidayah itu milik Allah. Dia akan memberi kepada siapa yang dikehendaki yakni hamba-hamba yang terpilih, yang berusaha mencari cahaya-Nya. Jangan lekas kecewa dan putus asa. Tugasmu hanya menyeru dan tiap usahamu ada nilainya di sisi Pencipta (sekiranya hati ikhlas kerana-Nya).
Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala kau mewakafkan diri untuk agama ini dan memilih untuk hidup di jalan Allah, maka kau harus bersedia untuk mengharungi liku-likunya. Kau harus tahu jalannya itu licin, curam dan berduri. Terluka itu biasa dan kau harus terima.

Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Meskipun dalam hati terasa berat saat melalui jalan ini. Sukar dan melelahkan. Banyak yang perlu kau korbankan (terutamanya keinginan hawa nafsu). Namun, harus kau tahu dan yakin bahawa ada bahagia di Sana. Bahagia yang tidak bisa dirasai oleh mereka yang ingin hidup biasa-biasa saja. Ada keindahan yang tidak mungkin ditemukan jika memilih untuk hidup untuk dunia semata-mata. Kebahagian dan keindahan itu bisa diraih bila hatimu kau dekatkan dengan Pencipta. Keperitan, kesakitan dan kelelahan seolah-olah 'terbius' oleh kecintaan kepada-Nya.
Wahai daie... Andai kau berasa lemah itu bukan salahmu kerana kau hanyalah manusia biasa. Kerana itu Allah S.W.T telah memotivasikan kita, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman". [Ali-Imran 3:139]

Ingatlah, di penghujung hayat kita akan kembali kepada-Nya dan jalan ini satu-satunya jalan selamat untuk bertemu dengan-Nya..
Sesekali terjatuh itu biasa. Tetapi jangan jatuh hingga tak bangun-bangun, itu parah. Hakikatnya nasihat ini untukku. Aku tidak ingin selamanya berasa lemah. Aku harus bangkit dan bersemangat sentiasa. Sungguh, motivasi yang paling penting bermula dari dalam diri.
"Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat Belas-Lasihan akan hamba-hamba-Nya". [al-Baqarah 2:207]

Kuatlah Sahabatku Dengan Ujian NYA...~


- Nur Adibah Binti Kamarul Baharin
- SY 1070

Faktor Yang Mempengaruhi Rintangan

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamua'alaikum ...




 Faktor-faktor yang mempengaruhi rintangan dalam kehidupan kita ialah

1)  Panjang laluan kehidupan kita.
Di dalam surah al-fatihah, kita berdoa kepada Allah supaya berada di jalan yang lurus. Jika dilihat secara logiknya, untuk sampai ke titik B daripada titik A, jalan yang lurus lebih mudah. Jikalau jalan tersebut bengkang-bengkok, itu menjadi lebih sukar. Begitulah juga dengan kehidupan kita, untuk sampai ke akhirat, lebih mudah dan seronok jika berada pada jalan yang lurus berbanding jalan yang tidak lurus (maksiat etc).

2)  Luas komuniti kita.
“Sesungguhnya tangan (pertolongan) allah itu di atas jemaah”. Bukankah kambing yang berseekoran lebih mudah dibaham oleh serigala. Begitulah juga dengan kehidupan kita. Jikalau kita ini hidup secara berjemaah, maka rintangan dalam kehidupan akan berkurangan. “Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”. Amatlah rugi jikalau kita ini suka sangat bersangka buruk dan bergaduh dengan orang lain terutama rakan-rakan kita apatah lagi dalam hal yang kecil.

3)  “Jenis” kita
Bukankah kita melihat orang yang beriman itu sentiasa tenang? Itulah kesan As-Syahadatain itu. Bagi jenis orang2 yang beriman, hidup mereka tenang, gembira, dan tidak banyak rintangan (bukan ujian). Manakala, mereka yang selalu buat maksiat kita dapat lihat hidup mereka tidak terurus, pelajaran mereka terabai, dan hidup dalam duka dan lara.

4)  “Suhu” yang mempengaruhi kehidupan kita.
Ibaratkan suhu sebagai syaitan. Kita dapat melihat bagi mereka yang kalah dengan syaitan, mereka sering merungut dengan kehidupan mereka yang kononnya tidak best la, ape2 la. Itu adalah kerana suhu badan mereka iaitu syaitan telah meningkat dan menguasai tindakan mereka. Sebab itulah, ada yang mengambil jalan yang bersifat duniawi bagi mengubati jiwa mereka. Contohnya, ada yang menggantikan tempat Allah sebagai kekasih hati dengan manusia. Kesannya, hidup mereka terumbang-ambing.

   Sahabat- Sahabat,
  Pilihan di tangan anda sama ada anda ingin menjadikan ujian anda sebagai rahmat ataupun rintangan. Pilihlah sama ada jalan yang pendek atau panjang. Pilihlah sama ada inginkan komuniti yang luas atau sempit. Pilihlah sama ada anda ingin menjadi jenis yang beriman atau tidak. Pilihlah sama ada anda ingin “suhu” yang tinggi atau rendah. Yakinlah, bagi mereka yang beriman mampu untuk membuat keputusan bijak setelah menganalisis dari segi implikasinya terhadap kehidupan.



- Nur Adibah Binti Kamarul Baharin ~
- Sy 1070 ~

Mekanisme Hati Dalam Penghayatan Sirah Nabi



بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamua'alaikum ...




 

Peranan Sirah Nabawiyah adalah sebagai penterjemah praktikal kepada ajaran Islam, juga secara langsung menyerlahkan ketinggian peribadi dan ketokohan Muhammad bin Abdullah s.a.w. sebagai utusan penutup misi Samawi daripada Allah. Ia bukan sahaja diterima oleh umat Islam sebagai tuntutan akidah kepercayaan mereka, malah golongan non-Muslim yang mengkajinya juga akur pada kualiti peribadi dan kepimpinan baginda. Michael H. Hart yang menulis buku "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History" telah meletakkan Rasulullah s.a.w. sebagai orang yang paling berpengaruh di dalam tamadun manusia (Umar al-Khattab di tangga ke-51).

Seandainya begitu sekali kehebatan Muhammad s.a.w., suatu persoalan besar timbul. Mengapakah seorang insan yang begitu agung biografinya, tidak dapat dihargai sebagai contoh terbaik oleh manusia hari ini? Mengapakah semakin banyak kajian tentang baginda dihasilkan, semakin jauh pula realiti masyarakat daripada meneladaninya? Inilah persoalan yang cuba dijawab melalui artikel penulis kali ini.

Allah SWT menyebut perihal ini di dalam firman-Nya melalui surah al-Ahzab ayat 21: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah (s.a.w.) contoh teladan (uswah) yang baik (hasanah) bagi kamu. Iaitu bagi mereka yang meletakkan harapnya kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berkeadaan sentiasa mengingati-Nya.”

Di dalam ayat ini, Allah SWT telah menggariskan tiga ciri utama mereka yang boleh melihat dan menghargai teladan daripada Rasulullah s.a.w. Tiga ciri ini amat penting untuk dihalusi kerana ia menentukan bentuk pandangan seseorang itu terhadap Rasulullah s.a.w. Kaedah menyebut ‘what you see is what you get' dan ‘who you are determines what you see'. Tidak semua orang yang mendekati Rasulullah s.a.w. dapat melihat apa yang sepatutnya dilihat. Semuanya bergantung kepada kaedah tadi.

Seorang pekerja swasta yang penat, apabila turun ke laut, dia melihat laut sebagai tempat santai. Seorang nelayan yang turun ke laut yang sama, melihat ia sebagai pejabatnya mencari rezeki berupa ikan, sotong dan udang. Manakala seorang jurutera carigali minyak yang pergi ke laut yang sama, tetapi mendapat hasil yang berbeza berupa emas hitam. Mereka bertiga pergi ke tempat yang sama, tetapi berbeza hasilnya, kerana mereka berbeza penglihatan. Tegasnya, ‘what you see is what you get'. Maka amat penting cara memandang itu diperbetulkan. Kerana itu jugalah Allah SWT menerangkan melalui ayat ini apakah kriteria seseorang yang boleh melihat Rasulullah s.a.w. dengan betul.

Sebelum kita terangkan tentang tiga ciri tersebut, mari kita bersama merenung kepada pengertian ‘uswah hasanah'. Dalam usaha memajukan cara penyampaian Islam hari ini, ramai yang cenderung kepada menterjemahkan Baginda sebagai ‘idola'. Rasulullah s.a.w. adalah idola terbaik bagi kita kerana baginda adalah ‘uswah hasanah'. Akan tetapi mampukan idola memberikan makna yang sama dengan uswah? Sesungguhnya idola ini adalah perkataan Inggeris yang memberikan makna ‘mengagumi seseorang secara membuta tuli dan berlebih- lebihan' [definisi oleh Princeton University].

Andai kata seseorang itu mengambil Rasulullah s.a.w. sebagai idola, bermakna dia cuba memberikan kefahaman bahawa beliau mengagumi Rasulullah s.a.w. secara membuta tuli dan berlebih-lebihan! Apakah benar begitu?

Sesungguhnya ayat 21 surah al-Ahzab ini diturunkan semasa umat Islam menanggung penderitaan peperangan al-Ahzab (Khandaq). Tekanan yang amat berat itu telah melemahkan fizikal kebanyakan umat Islam. Namun Rasulullah s.a.w. telah memberikan teladan kepimpinan yang terbaik di kalangan pengikutnya. Dalam keadaan lapar dan mengikat perut dengan batu, Baginda masih komited dan setia mempertahankan agama Allah SWT. Kerana itulah, Allah SWT memerintahkan umat Islam mencontohi Baginda. Baginda adalah uswah dan perkataan uswah itu berasal dari kalimah Arab “at-Ta-assi” yang bermaksud “sesuatu yang memberikan kekuatan”. Oleh yang demikian, kalimah uswah hasanah itu bermaksud, andai kamu mengambil Rasulullah s.a.w. sebagai contoh, maka kamu akan beroleh kekuatan daripadanya. Dengan itu, amat tidak tepat seandainya kita mengistilahkan Nabi s.a.w. itu sebagai idola.


- Nur Adibah Binti Kamarul Baharin ~
- SY 1070 ~

3 Jenis Manusia Diperlukan Untuk Berjaya

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamua'alaikum ...

 Pada tulisan kali ini, saya ingin menulis mengenai 3 jenis manusia yang sangat diperlukan oleh Usahawan untuk berjaya. Jika anda baru nak bertatih dalam bidang keusahawanan. Pastikan anda cari 3 jenis orang ini dengan apa cara sekalipun.
Jalan anda akan menjadi jauh lebih mudah dengan adanya 3 jenis manusia ini. Siapakah mereka?

1. Mentor
Mentor atau guru adalah sesiapa di sekeliling anda yang lebih tua dan telah berjaya bagi anda. Orang seperti ini tidak semestinya hanya seorang. Anda boleh mencari ramai orang, seolah-olah mencari ramai guru untuk mempelajari ilmu-ilmu tertentu.
Anda perlu juga tahu cara membezakan ilmu dan sampah. Kekadang mungkin anda perlu melaluinya baru anda tahu samada ini ilmu atau sampah.
Contohnya, jika mentor yang anda ada pernah ditipu oleh orang Pakistan, maka mungkin dia akan menyatakan kepada anda bahawa "orang Pakistan tak sesuai untuk perniagaan. Jangan sekali-kali berurusan dengan mereka".
Kenyataan seperti ini mungkin betul, mungkin juga sampah. Tetapi anda harus mengambil langkah berjaga-jaga jika ditakdirkan membuat perniagaan dengan orang Pakistan.
Tetapi dalam banyak keadaan saya lihat, kesimpulan yang dibuat oleh orang yang lebih tua kebanyakannya betul (orang Pakistan hanya  contoh semata-mata).
Mempunyai seorang mentor adalah seperti anda berdiri di atas bahu gergasi yang besar. Anda tidak perlu melalui pengalaman 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun atau 50 tahun. Anda hanya perlu tahu tips-tips ini dari orang yang layak memberi tips.
Saya secara peribadi agak bersyukur kerana saya mempunyai ramai rakan yang dua kali ganda umur dari saya. Dan saya mendapat banyak tips-tips berguna dari mereka.
Jadi sebagai usahawan baru, cari mentor anda. Jika tidak, anda akan menghabiskan 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun atau 50 tahun melakukan kesalahan yang tidak perlu.

2. Rakan Sekeliling yang Berjaya
"Jika anda berkawan dengan orang menjual minyak wangi, anda akan berbau wangi, jika anda berkawan dengan tukang besi, anda akan berbau busuk"
Apabila dua insan bertemu, mereka akan saling mempengaruhi antara satu sama lain, walaupun dalam aspek yang baik mahupun jahat. Ini reality. Terima ini sebagai kebenaran.
Jadi untuk berjaya dalam perniagaan, anda perlu mengelilingi diri anda dengan orang yang berniaga, jika lebih baik, orang berniaga yang berjaya.
Anda harus lakukan apa saja untuk ini. Jika anda kekal mengelilingi diri anda dengan orang yang bekerja makan gaji, semangat anda akan luntur.
Ini boleh difahami dengan mudah apabila kita lihat apa yang dituturkan oleh pekerja dan peniaga.
Pekerja biasanya akan merungut mengenai gaji, boss, politik pejabat, masa cuti yang singkat, dan akan bergembira jika diberi bonus, kenaikan pangkat atau mendapat tawaran kerja baru. Manakala peniaga pula akan merungut mengenai sales yang jatuh, perniagaan yang tak menjadi, pengurusan perniagaan yang salah, barangan lambat sampai dan peniaga akan bergembira jika sales meningkat naik, perniagaan yang dirancang menjadi, pelanggan puas hati atau membuka cawangan baru.
Jadi pekerja dan peniaga dalam dunia yang berasingan. Untuk jadi peniaga, kelilingi diri anda dengan golongan peniaga. Mereka akan lebih memahami anda dan anda juga akan lebih memahami mereka.
Kongsi masalah dan kongsi pengalaman bersama mereka .

3. Super-connector
Golong ketiga pula adalah super-connected. Super-connected adalah orang yang mempunyai ramai kenalan dan kawan-kawan. Mereka ini mudah dikenali. Ciri-ciri mereka adalah mereka mesra dengan semua orang, mempunyai ramai kawan, tidak mempunyai cita-cita tinggi dan selesa dengan kehidupan yang ada.
Sebagai usahawan kita mempunyai cita-cita tinggi, jadi kita boleh gunakan orang super-connector ini untuk mengenali orang yang kita perlukan. Mengunakan di sini tidak bermaksud mengeksploitasi. Menggunakan dengan niat yang baik.
Jaga super-connector ini sebaik mungkin. Berikan mereka keselesaan untuk bersama anda. Cuba selesaikan masalah mereka. Biasanya masalah yang mereka hadapi mungkin dari aspek kewangan.  Anda boleh belanja mereka makan setiap kali keluar bersama. Ini sudah memadai bagi mereka. Mereka tahu bahawa mereka tidak mengeluarkan apa-apa modal apabila bersama anda.
Melalui mereka ini, dapatkan contact yang perlu pada waktu yang perlu. Ini bermaksud, anda seolah-olah meminta pertolongan dari mereka. Jika mereka kenalkan dengan orang yang kita perlukan. Ucapkan terima kasih. Sentiasa kenang jasa mereka.
Orang yang bersyukur akan ditambahkan rezeki mereka.

- Artikel iluvislam.com

- Nur Adibah Binti Kamarul Baharin
- SY 1070

Wednesday 14 March 2012

ROSITA RULING @ ABDL WAHID (DQ0432)

JOM RAWAT TANGAN YANG BAKHIL

  1. Latihkan diri dengan menjaga, mengawal dan mengawas tuntutan hawa nafsu yang inginkan bermacam-macam harta.
  2. Latihkan diri dengan sentiasa menginsafi jiwa, bertaubat dan memohon keampunan Allah atas diri yang lemah.
  3. Latihkan diri dengan mengamalkan hidup yang sederhana dan tidak terlalu mewahatau terlalu papa.
  4. Latihkan diri dengan mengingati bahawa segala harta dan wang ringgit tidak kekal serta tidak boleh dibawa mati.
  5. Latihkan diri dengan sentiasa bersyukur kepada Allah atas segala pemberian-Nya dan dimanfaatkan pada jalan yang diredai Allah.
  6. Latihkan diri dengan sentiasa mengingati azab Allah jika mengamalkan sifat bakhil dalam segala hal untuk kepentingan Islam.

Tuesday 13 March 2012

                                                 PENURUNAN AL-QURAN

     Al-quran ialah kalam Allah s.w.t. Sebelum al-quran diturunkan, Allah s.w.t. telah menempatkannya di Lohmahfuz. Sepertimana firman Allah yang bermaksud: "Bahkan ialah al-quran yang tertinggi kemuliaannya, (lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lohmahfuz." (Surah al-Buruj 85: 21-22).
      Al-quran diturunkan sebanyak 2 kali. Kali pertama Allah s.w.t. menurunkan al-quran dari Lohmahfuz ke Baitul Ma'mur. Baitul Ma'mur ialah tempat para malaikat bertawaf. Di sana, Allah s.w.t. telah menurunkan sedikit demi sedikit kepada Rasulullah s.a.w. mengikut tahap kemampuan Baginda yang mengambil masa selama 23 tahun untuk menghabiskan keseluruhan al-quran. Penurunan al-quran menggunakan 2 lafaz, iaitu:
  1. انزال(inzal)
  2. تنزيل(tanzil)
      Inzal bermaksud al-quran diturunkan keseluruhannya dan tanzil bermaksud al-quran diturunkan sedikit demi sedikit sekadar yang ditetapkan. Ini menunjukkan bahawa al-quran diturunkan melalui 2 peringkat.
      Peringkat pertama penurunan al-quran diturunkan dari Lohmahfuz ke Baitul Ma'mur sepertimana Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya; "Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-quran itu pada malam yang berkat (malam Lailatulqadar); kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran." (Surah al-Dukhan 44: 3). Allah s.w.t. menggunakan lafaz inzal dalam ayat di atas. Ini menunjukkan bahawa al-quran telah diturunkan keseluruhannya dari Lohmahfuz ke Baitul Ma'mur.
      Peringkat kedua penurunan al-quran adalah dari Baitul Ma'mur kepada Rasulullah s.a.w. iaitu secara sedikit demi sedikit sepertimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Dan al-quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan perlahan-perlahan; dan Kami menurunkannya beransur-ansur." (Surah al-Isra' 17: 106). Dalam ayat di atas, Allah s.w.t. menggunakan lafaz tanzil yang menunjukkan bahawa Allah s.w.t. menurunkan al-quran sedikit demi sedikit kepada Rasulullah s.a.w.

Monday 12 March 2012

Kata-Kata Hikmat

 Oleh: Supinie @Nur Aliah Sanoai Abdullah ( DQ 9436 )

Orang yang gagal selalunya akan memberi alasan,tetapi oarang yang berjaya akan memberi rahsia bagaimana untsuk mendapatkan kejayaan.Orang yang berjiwa kecil cepat naik darah bila dirinya dikiritik,tetapi orang yang bijaksana mampu memetik hikmah daripada orang yang mengkritiknya,dan mampu menganalisis serta menguji dirinya sendiri.

"Ada dua orang yang paling gagal dalam hidup."Orang yang tidak cekap membuat sesuatu perkara apabila disuruh.( Luqman Hakim )

Jangan simpan prasangka,jauhilah oleh kamu prasangka yang tidak baik,kerana sesunggungnya prasangka yang tidak baik itu adalah seburuk-buruk percakapan.( Riwayat Muslim ).

Sunday 11 March 2012

Manusia Hasad Lebih Jahat Daripada Syaitan Dan Firaun

Oleh: Supinie@Nur Aliah Sanoai Abdullah (DQ0436)

Suatu hari Firaun telah dikejutkan oleh kehadiran tetamu yang tidak diundang yang terus masuk ke kamar tidurnya dengan melepasi beberapa sekatan dan kawalan istana.

"Siapa kamu?" Tanya Firaun.
Lalu dijawab oleh tetamu itu dengan kata-kata sinis:
"Bagaimanakah kamu yang mengaku Tuhan tidak mengenali hambanya?" Belum pun sempat Firaun menjawab, tetamu itu memperkenalkan dirinya.
"Aku ialah iblis"
Firaun tersenyum sambil bertanya, "Hai iblis, masih adakah makhluk yang lebih jahat daripada kita?"
Lalu iblis menjawab,"Ada!".
Mendengar jawapan itu Firaun pun ingin mengetahui siapakah makhluk itu. Lalu iblis memberitahu  bahawa makhluk yang lebih jahat dari mereka berdua ialah 'orang yang hasad'.
Bagaimanapun Firaun tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut.dan meminta penjelasan lanjut. Lalu iblis bercerita mengenai hasadnya seorang manusia.
Menurut iblis, dia mempunyai sahabat (seorang manusia) yang sangat setia kepadanya. Apa yang disuruh, manusia itu akan melakukannya. Pada suatu hari iblis ingin membalas jasanya dengan menawarkan apa sahaja khidmat dan pertolongan. Lalu manusia itu menyatakan hajatnya.
"Wahai iblis...jiran aku mempunyai seekor lembu yang sangat garang. Bolehkah kau mematikannya supaya lembu itu tidak mengganggu ketenteramanku?".
Lalu dijawab oleh iblis;"Wahai sahabatku, untuk menghidupkan dan mematikan setiap nyawa adalah urusan Allah". Mendengar jawapan iblis, manusia itu kelihatan kecewa, lalu iblis pun menawarkan pilihan untuk membawa sepuluh ekor lembu jantan (dengan mencurinya dari mana-mana) bagi mengimbangi kegarangan lembu jirannya; tetapi manusia berkenaan tetap menolak. Hatinya lebih puas jika lembu jirannya mati daripada diberi sepuluh ekor lembu yang garang.

AZAN BUKAN TANDA MASUK WAKTU SOLAT

Oleh: Supinie @Nur Aliah Sanoai Bt Abdullah (DQ 0436)

Azan bukanlah tanda masuknya waktu solat. Tanda masuk waktu ialah seperti tergelincirnya matahari, ghurub matahari, hilang mega kuning dari langit dan lain-lainnya.

 Azan bukan kalimah rekaan yang dicipta oleh Rasulullah SAW. Azan ialah seruan Allah kepada manusia supaya mengerjakan solat di tempat azan dilaungkan. Muazin atau tukang azan hanyalah perantara untuk mengingatkan manusia supaya segera membesarkan-Nya kerana rahmat akan dikurniakan kepada sesiapa yang datang mengimarahkan rumah-Nya.

Para ulamak juga menerangkan ketika azan dilaungkan, syaitan akan lari jauh dari suara itu, tetapi apabila suara itu berhenti, maka mereka akan kembali semula mengganggu manusia. Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya; "Sebaik sahaja dilaungkan azan, syaitan akan lari jauh sehingga terdengar kentutnya bagi mengelak mendengar azan;kemudian apabila selesai azan ia datang kembali hingga terlalu hampir kepada manusia lalu mengingatkan itu ddan ini, mengingatkan apa yang tidak ingat sermasa di luar solat hingga lupa berapa rakaat dia telah sembahyang". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah betapa hebatnya kalimah azan yang menyeru manusia supaya membesarkan Allah di rumah-Nya secara berjemaah bersama imam.Oleh sebab itulah kita disunatkan menyambut seruan azan apabila mendengar azan.
Sabda Nabi SAW yang mafhumnya;"Jika kamu mendengar azan maka bacalah seperti mana yang dibaca oleh muazin, kemudian bacalah selawat kepadaku, maka sesungguhnya siapa yang membaca selawat ke atas ku satu kali, Allah akan memberi rahmat ke atasnya sepuluh kali, kemudian mintalah kepada Allah untukku al-wasilah iaitu satu darjat di syurga yang disediakan oleh Allah untuk seorang hamba-Nya dan saya mengharap semoga sayalah yang mendapatkannya. Maka siapa yang meminta kepada Allah untukku al-wasilah pasti mendapat syafa'atku".(Hadis riwayat Muslim)

Saturday 10 March 2012

Taktik Merubah Suasana

oleh : Supinie Sanoai@Nur Aliah Abdullah (DQ0436)

Umat Islam hendaklah menguasai suasana. Setiap peristiwa yang berlaku hendaklah diterajui dan diketuai oleh umat Islam. Ciptakan sesuatu yang baru dalam bidang pemikiran dan tindakan. Dengan sebab itu umat manusia terpaksa berimamkan umat Islam.

Apabila kita sudah ada ilmu dan kepakaran, kita memerlukan satu lagi elemen iaitu gerakan. Justeru, segala peristiwa dapat digerakkan dan segala  suasana dapat dicipta. Kita boleh mencipta suasana keruh, suasana jernih, suasana tenang, suasana tegang, suasana aman, suasana huru-hara, suasana harmoni dan suasana kacau-bilau.

Semua suasana ini boleh dicipta dengan semata-mata mengeluarkan arahan supaya membawa khabar gembira. Sekiranya kita mahu suasana keruh, kita hendaklah mengirim ke tengah masyarakat pembawa khabar yang membawa  berita sensitif dan negatif. Ditabur merata tempat dan semua peringkat masyarakat.

Sekiranya kita mahu suasana jernih dan aman, kita hendaklah mengirim khabar mengenai keamanan, ketenteraman dan kejernihan manusia. Berita ini akan mempengaruhi masyarakat.

Jika kita dapat berbuat demikian, bererti kitalah pencipta suasana di tengah masyarakat.

Thursday 8 March 2012

``` LaRaNGan MeMbUnUh ular Rumah ~~~

Bismillahirrahmanirrahim,  

 Ibnu Taimiyah mengatakan, " Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w melarang kita membunuh ular-ular yang berkeliaran di dalam rumah sebelum kita mengusirnya sebanyak tiga kali." Nas-nas yang menjelaskan hal ini telah disebutkan pada perbahasan sebelumnya.
     Di sini Ibnu Taimiyah kembali mengutip sebahagian nas tersebut dan menjelaskan alasan pelarangan membunuh ular yang berkeliaran di dalam rumah, di mana dia menyatakan, " Membunuh ular-ular yang ada di rumah tanpa hak itu tidak diperolehkan, sebagaimana halnya membunuh manusia tanpa hak. Segala bentuk penganiayaan itu diharamkan di dalam segala hal. Maka, seorang muslim tetapa tidak diperolehkan menganiaya orang lain, meskipun dia itu orang kafir, bahkan Allah s.w.t telah berfirman:
   " Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah s.w.t, menjadi saksi dengan adil. dan jangan sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil."     ( al Maidah ; 8 )
  Maka, ketika ada ular di rumah yang ada kemungkinan merupakan jelmaan jin, maka lebih dulu ular itu diusir sebanyak tiga kali. Jika setelah diusir tidak juga pergi, maka baru boleh dibunuh. Begitu pula, kalau sudah boleh dipastikan bahawa ular itu bukan jelmaan, maka juga boleh segera dibunuh. Jika tidak juga pergi. Bererti dia telah bertekad dan memaksa diri untuk menentang manusia, dengan menampakkan diri kepada manusia dalam sosok seekor ular dan menimbulkan ketakutan, sementara yang namanya musuh itu biasanya suka menyerap atau menyerang cara apa pun yang boleh menghindari bahayanya, meskipun dengan cara mmembunuhnya. Adapun membunuh ular tanpa ada sebab-sebab yang membolehkan, itu dilarang keras.

~~~  NURMAISARAH ABDULLAH DQ 0445~~  Nilam Puri

                                                                                                                                                                                                                      

~~ Pengenalan Tasawwuf ~ ~

     TASAWWUF dengan erti  " tazkiatu an-nafs " iaitu pembersihan jiwa dari sifat-sifat yang keji dan menghiaskan diri dengan sifat-sifat terpuji seperti zuhud,tawakkaul, taubah, syukur, sabar, yakin, redha, cintakan Allah dan Rasul, munasabah diri dan lain-lain adalah sbahagian dari ajaran al Quran dan as-Sunnah. Allah berfirman yang membawa maksud:

" Sesungguhnys Allah telah mengurniakan nikmat yang sangat besar kepada orang-orang yang beriman bila Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka serta mengajarkan mereka Kitab Allah dan Hikmah. Walaupun mereka sebelum itu berada dalam kesesatan yang nyata." (Ali Imram- 164)
  Oleh itu tiada siapa pun berani menafikannya dan meningkarinya malah semua umat mesti menerima Rasulullah s.a.w sebagai muzakki ulung dan terbaik untuk mereka ikuti panduan dan bimbangannya demi mencapai maqam ' ihsan " yang merupakan pelengkap kepada iman dan Islam seseorang. Tasawwuf dengan hakikat seperti ini sama sekali tidak boleh dipisahkan dari Islam, walaupun ia disebutkan dengan nama-nama yang tidak pernah diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
     Demikian juga dengan orang-orang yang dikenali sebagai ahli sufi atau ahli tasawwuf di sepanjang sejarah Islam, sebahagian besar dari mereka telah memainkan peranan yang cukup bermakna dalam penyebaran dan pengembangan Islam di serata dunia, mereka juga sangat berjasa kepada umat dalam memahamkan liku-liku jiwa manusia dan dalam memperkenalkan teknik-teknik pemulihan jiwa yang melarat kerana tenggelam dalam maksiat dan dosa. Tidak kurang juga orang-orang yang telah bertaubah dari kehidupan yang melalaikan dan memeluk agama Islam kerana mereka. Maka sumbangan serta jasa-jasa mereka tidaklah patut sama sekali dilupakan dan dinistakan.
     Sesungguhnya begitu mereka sama seperti orang-orang lain tidak terlepas daritersalah dan tersilap. Apa yang disebut-sebutkan sebagai kata-kata, amalan-amalan dan keramat-keramat mereka mungkin sekali ada di antaranya langsung tidak berasaskan dan berasal dari mereka. Apa peliknya, bukankah terdapat sekian banyak hadith-hadith palsu yang direka atas nama Rasulullah s.a.w?
   Tidak syak lagi bahawa tasawwuf yang tersebar hari ini bercampur baur dengan pelbagai fahaman dan konsep asing yang tak pernah diketahui oleh as-Salaf as-Salih dahulu. Kemurniannya tercemar oleh bermacam-macam ajaran agama dan falsafah sejak zaman berzaman lagi, kepada kebanyakan orang amat sukar membezakan di antara tasawwuf tulin dan tasawwuf tiruan atau tasawwuf campuran yang tersebar dengan meluas di mana-mana , terutama di negeri-negeri yang tidak bernasib baik kerana kekurangan penyiaran ilmu hadith yang sistematik.
   Lebih menggirukan lagi bila di sana terdapat alim ulama' sendiri menjadi tekongnya dan kitab-kitab yang dianggap muktabar di kalangan ahli-ahli tasawwuf pula dijadikan rujukan utama, padahal seperti kitab-kitab lain kitab-kitab tasawwuf juga tidak sunyi daripada kenyataan yang menyeleweng dari fakta sebenar dan tersasul dari sunnah Nabi s.a.w.

Daripada  Nurmaisarah abdullah DQ 0445 nilam puri

Wednesday 7 March 2012

MENGENALI ABUL A’LA AL-MAUDUDI

Mior Muhammad Faris Bin Mior Abdul Rahman (SY0971)

Beliau dilahirkan di Aurangbad ( Hyderabad ) pada 25 September 1903M. Pada mulanya ia bertugas sebagai wartawan muda yang sangat aktif. Ketika baru berusia 17 tahun, beliau telah pun menjadi ketua akhbar harian “Taj“ dan kemudian menjadi ketua 'Al-Jami'ah', salah satu akhbar harian Islam yang paling berpengaruh dan dikenali pada awal kurun ke 20 di India. Pada ketika usianya meningkat 26 tahun (1929M) beliau telah menunjukkan kebolehan dan kemampuannya dalam Ilmu Islam iaitu dengan menyumbangkan sebuah karya ilmiah yang terkenal 'Al-Jihad fil Islam' yang merupakan satu-satunya buku yang penting sebagai kajian dan
rujukan dalam bidang ini. Dan pada 1932M beliau telah berjaya menerbitkan sebuah majalah buletin yang bernama “Tarjuman Al-Quran”. Majalah ini telah memainkan peranan yang hebat sekali dalam membangkitkan semangat perjuangan Islam dalam usaha menentang penjajah dan pemerintah pemerintah Taghut - di Benua Kecil India - Pakistan khususnya dan di dunia Islam umumnya. Dalam tahun 1941M, dengan usahanya yang gigih, beliau telah mendirikan satu gerakan Islam yang bernama 'Al-Jamaat Islami' yang hingga kini terkenal sebagai satu-satunya gerakan yang sangat berpengaruh dan kuat berpegang kepada akidah Islam. Pada tahun 1948M (ketika Pakistan diisytiharkan merdeka dari penjajah Inggeris), beliau telah ditangkap, iaitu setelah dikeluarkan buku beliau yang bertajuk 'Undang-undang dan Perlembagaan Islam' yang
memberikan kritikan panas terhadap pemerintahan yang tidak mahu mengembalikan undang undang Islam sebagai dasar pemerintahan negara. Antara isinya kandungannya tertulis : 'Umat Islam di Pakistan pada keseluruhannya dijiwai oleh semangat dan roh Islam. Mereka bercita-cita supaya negara ini benar-benar dijalankan dengan undang-undang Islam, tetapi sebaliknya pemerintah yang menerima kekuasaan politik dari penjajah Inggeris telah mabuk dengan fikiran-fikiran dan kebudayaan sekularisma barat…….' Setelah 20 tahun lamanya didalam tahanan, maka akhirnya beliau telah dibebaskan. Menjelang tahun 1953M, beliau telah ditangkap lagi kerana kegiatan dakwah yang dipandang bahaya oleh pemerintah. Kali ini beliau dijatuhkan hukuman mati, tetapi beliau diberi peluang supaya membuat rayuan dan meminta kasihan belas dari pemerintah. Beliau dengan tegasnya berkata : “..saya lebih baik menyerah jiwa raga saya kepada Allah daripada mengemis kepada seseorang pemerintah yang zalim. Jika memang Tuhan menghendaki, maka dengan ikhlas saya menyerahkan jiwa raga saya ini. Tetapi jika bukan dengan kehendakNya, apa pun yang diperbuat, mereka tak akan dapat melakukan sesuatu pun atas diriku..!”. Dan memang benar, sesudah 26 bulan berada dalam tahanan, menjelang tahun 1955M beliau telah dibebaskan atas keputusan Makamah Tinggi. Beliau kembali bergiat dan terus bergiat dalam mempertahankan kesucian Agama Allah dari pencabulan manusia dan pemerintahan taghut. Dalam meneruskan perjuangan suci, beliau telah menyumbangkan banyak buah karya kepada

Mengenali Susuk Tubuh Rasulullah SAW sebagai Pemimpin dan Suami

Mior Muhammad Faris Bin Mior Abdul Rahman (SY0971)

Baginda Rasulullah s.a.w memang terkenal dengan sifat kepimpinannya yang  begitu menakjubkan.Baginda bukan sahaja menjadi pemimpin di dalam keluarga.Malah, turut menjadi pimpinan di kalangan masyarakat sekitarnya. Maka, tidak hairanlah ramai dikalangan pembesar – pembesar dikalangan kaum arab sentiasa memerlukan khidmat baginda didalam menyelesaikan satu – satu urusan.
Antara tugasan yang dikira penting buat baginda  adalah menyelesaikan urusan penempatan kaum Muhajirin yang baru tiba di Madinah. Dalam kesibukan baginda menyelesaikan urusan tersebut. Tiba–tiba belum pun sempat baginda menyelesaikan urusan tersebut mulai berlakulah peperangan di antara umat Islam yang dipimpin oleh baginda sendiri dengan kaum Quraisy dan penyokong – penyokongnya daripada berbagai suku kaum Arab.
Para sejarawan Islam telah menamakan setiap peperangan yang terjadi di antara kaum muslimin dengan kaum musyrikin yang disertai sendiri oleh Rasulullah s.a.w sebagai “Ghazwah” . Manakala peperangan yang tidak di sertai sendiri oleh baginda dinamakan sebagai “Sariyyah” . Selama hidup baginda Rasulullah s.a.w telah berlaku 26 kali Ghazwah dan 38 kali Sariyyah.
Mengikut apa yang boleh difahamkan dari hadith-hadith dan kesan-kesan peninggalan, sebenarnya peperangan diperintahkan buat pertama kalinya ialah selepas hijrah. Langkah selanjutnya, ke arah pelaksanaan perintah itu ialah pada bulan Safar tanggal dua belas hari bulan, (dikira dari hari hijrah Baginda ke Madinah) Di masa itu Rasulullah SAWtelah keluar dengan niat untuk berperang, yang kemudian peperangan itu dikenali dengan nama “Peperangan Waddan”. Sasarannya ialah Quraisy dan Bani Hamzah tetapi baginda tidak meneruskan peperangan itu, malah hanya sekadar dari pihak Bani Hamzah dan setelah itu baginda pun pulang tanpa sebarang peperangan.
Menjadi fenomena kepada masyarakat bahawa apabila disebut wakil rakyat ataupun pemimpin, maka aspek kekayaan juga dikaitkan. Malah menjadi satu bentuk pemikiran bahawa setiap orang yang menjadi pemimpin, semestinya seorang yang kaya-raya. Tetapi ia jauh sama sekali dengan personaliti yang ditujukan oleh Nabi Muhammad SAW. Sehinggakan sampai di satu tahap isteri baginda, Aisyah Binti Abu Bakar, terpaksa meminta gandum daripada jiran mereka. Kisah ini bukan mengajar kita agar perlu meminta kepada jiran, tetapi terjadinya kisah ini adalah kerana kesungguhan nabi di dalam menjaga kebajikan rakyatnya, sehingga dirinya dikemudiankan.

Konsep Merdeka Dalam Islam

Mior Muhammad Faris Bin Mior Abdul Rahman (SY0971)
Penjajahan sesebuah negara berlaku apabila negara tersebut dikuasai atau dipengaruhi oleh orang asing. Islam tidak membenarkan negera atau negara umat Islam dijajah dan dikuasai oleh orang yang kufur kerana ia memberi ruang untuk orang yang kufur kepada Allah memerintah dengan cara yang tidak diizinkan oleh Allah dan seterusnya mengenepikan hukum-hakam dan peraturan Islam. Kesannya membawa kepada berlakunya kezaliman dan lenyapnya keadilan di kalangan manusia.
Menurut Kamus Dewan, kemerdekaan bererti bebas daripada penjajahan. Bagi Islam kemerdekaan negara bererti kemampuan negara itu untuk memiliki kuasa yang membolehkan penduduk negara itu sendiri untuk mentadbir sendiri tanpa ada campur tangan kuasa asing. Dengan kekuasaan itu mereka mampu mentadbir negeri menurut hukum-hakam Allah. Justeru, apabila kuasa dimiliki oleh umat Islam tetapi pemerintahan masih lagi bertunjangkan peraturan yang tidak Islam maka umat itu belum dikira merdeka sepenuhnya. Sebuah negara yang merdeka mempunyai tanggungjawab untuk mengisi kemerdekaan.

Tanggungjawab umat merdeka disebut oleh Allah dalam ayat 41 surah al-Haj

Maksudnya: “Mereka yang sekiranya kami berikan kekuasaan kepada mereka di muka bumi, mereka menegakkan solat, menunaikan zakat dan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkarn. Dan hanya milik Allah kesudahan segala urusan.”

Aku Seorang Pemimpi

Mior Muhammad Faris B Mior Abdul Rahman (SY0971)

Setiap orang pasti pernah bermimpi kerana itu hak mereka. Setiap orang yang berjaya pasti suka bermimpi. Orang yang jelas matlamat hidup selalunya suka bermimpi. Mengapa begini? Kerana mimpi adalah faktor yang menentukan kejayaan seseorang. Orang yang bermimpi sahaja yang memikirkan masa hadapan dia. Hal ini kerana melalui mimpi, ia akan menghasilkan sebuah semangat yang akan mendorong susuk tubuh kita untuk berjaya. Ramai orang memandang sinis apabila ada orang yang mengaku suka bermimpi. Mereka dituduh sebagai manusia yang suka berkhayal dan berangan-angan sahaja. Barangkali semua ini adalah angkara virus kisah dongeng Mat Jenin yang telah meresap masuk dan sebati di dalam hati umat Melayu. Adakah Mat Jenin bersalah kerana dia suka berkhayal? Adakah Mat Jenin bersalah kerana mimpinya terlalu tinggi? Jawapan tidak. Mat Jenin tidak pernah sesekali bersalah kerana sikapnya yang suka  berkhayal atau bermimpi itu. Tetapi yang bersalahnya adalah kita. Kita yang mengatakan bahawa Mat Jenin bersalah kerana suka bermimpi atau berkhayal. Walhal, mereka lupa bahawa mimpi adalah salah satu cara untuk mereka memikirkan masa hadapan mereka. Memikirkan risiko-risiko atau kemungkinan yang bakal mereka tempuhi memerlukan mimpi. Mat Jenin hanya bersalah kerana dia hanya berhenti setakat bermimpi sahaja, tetapi tidak berusaha untuk memenuhi impian ataupun mimpi dia itu. Jangan sesekali kita lupa bahawa kerana mimpilah Lim Gohtong berjaya membuka Genting Highland walaupun asalnya hanya pembawa traktor. Tidak dilupakan juga bahawa kerana mimpilah hari ini Syed Nasaruddin mampu untuk berbangga dengan syarikat konglomeratnya, Naza Corporation. Kerana mimpi jugalah hari ini Nik Mardihah membebaskan keluarganya dari belengu kemiskinan. Sekali anda bermimpi, sebenarnya anda telah mengorak langkah untuk mendaki anak-anak tangga kejayaan. Tetapi ingatlah bahawa mimpi kita mestilah selari dengan ketetapan yang ditetapkan oleh Pemilik Sekalian Alam, Allah S.W.T., kerana itu adalah aqidah dan kepercayaan wajib kita. Bermimpilah sepuasnya kerana itu adalah hak anda. Tetapi anda seharusnya meneruskan langkah-langkah yang sepatutnya anda teruskan seusai bermimpi itu. Selamat bermimpi.

Ke arah seorang yang celik Sirah.

Mior Muhammad Faris Bin Mior Abdul Rahman (SY0971)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Apabila kita membincangkan tentang Muhammad Bin Abdullah, sirah kehidupan Baginda sudah pasti menjadi topik perbualan masyarakat. Tetapi seribu kali sayang  gelombang yang membawa momentum masyarakat untuk mengkaji sirah dan sunnah baginda hanyalah hadir dan menerjah ke tengah masyarakat apabila datang musim maulidur rasul ataupun dipanggil juga sebagai maulud nabi. Kedaifan masyarakat mengenai manusia Agung ini memanglah ditahap yang kritikal seperti para pesakit di wad ICU yang majoritinya hampir menunggu saat nyawa terpisah dari badan. Sehinggakan hari kelahiran Rasulullah SAW sendiri pun mereka tidak tahu. Dari kelompok yang tahu pun masih ada yang salah, ataupun tidak pasti dengan jawapan mereka. Persoalan yang timbul, mengapa situasi ini berlaku dalam sebuah negara yang majoriti rakyatnya dihadirkan oleh Allah SWT sebagai ummat Islam? Barangkali mereka tidak  tahu apakah tujuan mereka mengkaji Sirah Muhammad Bin Abdullah.
Jangan sesekali kita meletakkan dalam kotak pemikiran kita, bahawa sirah Rasulullah SAW hanyalah satu rentetan cerita yang hanya memaparkan selok-belok asal-usul dan jalan kehidupan Rasulullah SAW ataupun hanyalah himpunan cerita-cerita indah. Sebab itu Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti  di dalam kitab karangannya, Fiqh Al-Sirah menegaskan bahawa membaca Sirah Rasulullah SAW tidak sama seperti membaca atau mengkaji sejarah-sejarah para pemimpin (khalifah) pada zaman purbakala. Tujuan yang paling dominan dalam mengkaji sirah penghidupan Rasulullah SAW adalah memahami dan menyakini bahawa sirah Rasulullah adalah gambaran tentang hakikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah itu sendiri. Bagi membolehkan tujuan ini tercapai, kita tidak boleh hanya membaca sirah Rasulullah SAW dengan sepintas lalu sahaja. Kita juga perlu memahami dan memikirkan sebab-sebab sirah itu terjadi dan apakah hikmah ataupun pengajaran yang ingin disampaikan melalui sirah tersebut. Justeru, prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam harus difahami terlebih dahulu supaya dapat membongkar hikmah disebalik sirah Rasulullah. Kita juga perlu sedar bahawa setiap ucapan, pengakuan, dan perbuatan Rasulullah SAW bukanlah sekadar kisah-kisah menarik baginda semata-mata tetapi implikasi daripada ucapan, perbuatan dan pengakuan bagindalah yang akan menjadi hukum-hakam di dalam syariat Islam yang akhirnya menjadi acuan kehidupan masyarakat Islam.
Konklusi yang ingin disimpulkan di dalam tulisan ini adalah, kita selaku ummat kepada penghulu segala nabi, Nabi Muhammad SAW, perlu mengetahui dan memahami kisah-kisah di dalam kehidupan baginda bukanlah hanya sekadar kisah tetapi perlu tahu apakah objektif sebenar yang ingin disampaikan oleh Rasulullah SAW.