Monday 6 February 2012

Tanah Sains Dan Kejadian Manusia


Oleh : Wan Fathiah Hanani Binti Wan Abdullah (UD 0652)  

           

     Sebagai manusia yang berakal, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengkaji dan menghayati ciptaan Allah ini. Agar dapat menimbulkan keyakinan dan meningkatkan keimanan kita kepada Allah yang Maha Pencipta.
     Kerak bumi merupakan bahagian yang paling luar bumi. Terdiri daripada gunung-ganang, batu-batan, tanah-tanih, air, udara, mineral, logam, manusia, haiwan dan tumbuhan. Tetapi, terdapat pelbagai lagi jenis hidupan dan fenomena di dalam lapisan kerak bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud “dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian kami turunkan air di atasnya, hiduplah (bergetarlah) bumi itu dan tumbuh suburlah, dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.” (Surah al-Hajj : 5)
     Tanah terbahagi kepada beberapa jenis seperti tanah pasir, tanah gambut, tanah liat, tanah merah (laterit), tanah humus dan tanah endapan. Setiap jenisnya mempunyai fungsi masing-masing kerana semuanya mengandungi komposisi, saiz butiran, kadar telap air serta kelembapan yang berlainan antara satu sama lain.
     Gunung-ganang merupakan sebahagian lapisan yang membentuk kerak bumi. Berdasarkan kajian geologi moden, gunung-ganang terhasil daripada kesan perlanggaran lapisan-lapisan kerak bumi. Apabila dua lapisan bertembung, satu lapisan akan menggelongsor ke bawah manakala lapisan yang satu lagi akan terangkat ke atas. Lapisan bawah akan terus memanjang ke dasar bumi dan membentuk ketegangan di bahagian bawah.
     Bahagian lapisan atas yang menonjol keluar ke atas permukaan bumi dikenali sebagai gunung. Melalui cara ini, ia dapat menetapkan kedudukan kerak bumi dan menghalang daripada terapung di atas batuan magma atau bersama-sama dengan lapisan yang lain.
     Penciptaan manusia pertama di dunia (Nabi Adam as) daripada tanah disebut di dalam al-quran sebanyak 25 kali. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud : “yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakan-Nya kejadian manusia berasal dari tanah; kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati. Iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang.” ( Surah al-Sajadah : 7-8)
     Melalui kejadian sains, ahli sains telah menjumpai mikro-kristal dalam otak manusia (di pineal gland ) yang didapati berasal daripada tanah. Yang mana ia boleh menghasilkan tenaga elektrik daripada aktiviti pergerakan, dan juga berfungsi sebaliknya iaitu menghasilkan aktiviti pergerakan daripada tenaga elektrik.
     Tanah juga merupakan suatu bahan yang boleh digunakan untuk melindungi otak manusia daripada kesan radiasi atau gelombang elektro magnetik yang boleh member kesan buruk. Tanah juga sebagai sumber kehidupan. Firman Allah SWT yang bermaksud : “dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila kami turunkan air di atasnya, hiduplah (bergetarlah) bumi itu dan tumbuh suburlah, dan menumbuhkan berbagai macam tumbuhan yang indah.” (Surah al-Hajj : 5)

     Ayat di atas juga membawa maksud tanah yang subur bukan sahaja mengandungi jisim mineral pejal, air dan udara, tetapi juga organisma hidup serta bahan reputannya. Terdapat banyak organism dan mikro organisma yang hidup di dalam dan di atas tanah, dan ia dapat menghasilkan nutrien dan mineral yang diperlukan oleh pelbagai tumbuhan. Organisma dan mikro organisma dapat membantu pertumbuhan tumbuh-tumbuhan secara semula jadi, merawat dan mengawal penyakit.
     Mikro organisma di dalam tanah mengeluarkan oksigen lebih daripada separuh untuk keperluan manusia. Kombinasi berbeza antara mikro organisma yang baik dapat membantu petani dan peladang bercucuk tanam dan menghasilkan tanaman yang banyak tanpa merosakkan alam sekitar. Tanah itu sendiri sentiasa menghuraikan bahan organik kepada bentuk yang boleh diguna semula (usable form) dan boleh dikenal pasti, diserap oleh tumbuhan yang akhirnya memberi pertumbuhan yang baru.
     Kemajuan sains dan teknologi dan evolusi penyelidikan mampu memberi pengaruh kepada mereka yang benar-benar inginkan kebenaran. Ia mampu menguatkan keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment