Monday, 27 February 2012

SENYUM :)

Senyum itu sedekah, senyum itu awet muda, senyum itu kemesraan, senyum itu pengikat sahabat, senyum itu penambah kasih, senyum itu pelaris jualan, senyum itu pengiktirafan, senyum juga pemanis wajah, senyum menambahkan kecantikan dan yang pastinya senyuman itu membawa kebaikan.

Senyuman memiliki makna yang sangat mendalam dalam hidup seseorang. Akan tetapi,penerima senyuman kadang kala selalu salah faham akan senyuman yang diberi oleh pemberi senyuman. Penerima seharusnya berfikiran terbuka. Penerima senyuman juga harus faham bahawa senyuman yang diterima itu adalah sedekah daripada pemberi senyuman. Jangan pula dianggap orang yang memberi senyuman itu menyindir atau sewel atau nk mengurat.

Malangnya, pada masa sekarang ramai yang meletakkan harga yang mahal untuk senyuman mereka. Tambahan pula untuk orang yang tidak dikenali. Tidakkah mereka sedar senyuman ialah percuma tapi amat berharga. Ia menjadikan pemberinya kaya dan tidak pula menjadikan penerimanya miskin.  Bukannya sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri yang menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana yang tidak tenang ketika dalam kekusutan tetapi masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Tidakkah senyum itu indah?

Senyum juga mampu untuk menghilangkan kekusutan jiwa atau masalah di tempat kerja.Jika si isteri menghadiahkan senyuman manis kepada si suami yang baru pulang dari kerja,si suami akan turut tersenyum kerana senyuman itu penawar hati. Ia dapat melahirkan kemesraan di dalam sesebuah perhubungan. Ia juga dapat melahirkan kegembiraan dan kebahagiaan. Tidakkah senyum itu indah?

Indahnya senyuman seorang ibu walaupun fizikalnya yang menanggung sengsara dan kesakitan ketika membesarkan anak-anaknya untuk menjadi seorang yang berguna. Senyuman seorang ibu juga mampu membuatkan anak-anaknya terus bersemangat untuk mengejar cita-cita. Ini kerana senyuman seorang ibu adalah senyuman yang paling ikhlas dan anak-anak akan terus berusaha untuk membuat si ibu terus tersenyum. Tidakkah senyum itu indah?

Apa sebab lagi untuk kita tidak mengukirkan senyuman? Pada hakikatnya  kita juga sangat memerlukan senyuman untuk menghilangkan kesedihan dan kekusutan dihati. Sikap sombong dan angkuh telah menyekat senyuman lahir di wajah kita. Oleh itu,marilah kita menghindari sikap sombong dan angkuh ini. Ukirlah senyuman yang paling manis. Senyumlah kepada orang yang dikenali ataupun tidak dikenali. Selain daripada sedekah,senyuman itu ibarat lukisan rahsia hati. Ia tidak menyakitkan, tetapi menjadi penawar hati yang sakit.

OLEH :ABDULLAH NAZIH ALWAN BIN MOHD ROKHIBI ( UD 0617 )

p/s : post ni ceq buat sendiri tau.cuma perenggan pertama tu copy sbb ceq xpandai buat pendulu yang menarik lagi.HAHA.bukan 100% la ori tu..ceq amek idea dari incek google dan hurai sendiri..dalam 70% ori agaknya..haha.selamat membaca!


0 comments:

Post a Comment