Tuesday, 28 February 2012

Kaedah untuk menarik perhatian masyarakat dalam berdakwah

Untuk berdakwah, kita perlu ada kaedahnya tersendiri. Bagaimana kita hendak memulakan sesuatu kerja jika kita tidak mempunyai cara atau kaedah untuk bertindak? Tentu sahaja kerja tersebut akan menjadi kucar kacir. Begitu juga ketika kita hendak memulakan sesebuah perjalanan dakwah. Para da’ie harus bersiap sedia dengan kaedah penyampaian tersendiri untuk menarik perhatian masyarakat. Bagaimana uslub atau cara menyampaikan dakwah? Di antara cara atau kaedah untuk menarik perhatian masyarakat kepada ajaran Islam adalah :
1.    Mempermudahkan dan menyatakan kelonggaran yang diberikan syarak :
Masyarakat Islam diberi pilihan dengan tidak ada paksaan untuk menerima Islam. Mereka boleh menilai dengan melihat kepada keperluan fitrah semulajadi yang ada dalam diri mereka. Islam sentiasa membenarkan pendakwah mempermudahkan  dan memberikan kelonggaran dalam beberapa hal kepada bukan Islam dan saudara baru.
2.    Dakwah bil hal atau dakwah dengan perbuatan :
Setiap perilaku dan amalan harian para pendakwah dan umat  Islam hendaklah mencerminkan kesucian Islam yang menjamin kesejahteraan dan ketenteraman sejagat.  Setiap tindakan akan dilihat oleh masyarakat bukan Islam untuk dinilai sebelum menerima Islam. Tingkah laku mestilah berasaskan nilai tauhid, mengikut syariat Islam serta menggambarkan kesempurnaan Islam.
3.    Dakwah melalui pendidikan :
Pendidikan Islam sendiri merupakan proses mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia berasaskan nilai-nilai fitrah insaniah. Proses pendidikan Islam ini akan membina akhlak dan membawa kepada kehidupan yang sempurna. Dakwah secara ini perlu merujuk kepada cara dakwah Rasulullah s.a.w. di peringkat awal Islam yang lebih  memberi penekanan kepada psikologi, rohani dan perasaan.


4.    Dakwah melalui ziarah :
Ziarah merupakan satu usaha mendampingkan diri dengan bukan muslim terutama pada waktu-waktu yang diperlukan seperti apabila mereka sakit, bermasalah, mahukan pertolongan dan seumpamanya. Ziarah boleh melapangkan dada mereka dan menenangkan mereka.
5.    Dakwah melalui pergaulan dan lain-lain :
Islam menggesa umatnya, khususnya para pendakwah, supaya mewujudkan suasana pergaulan yang baik dan menunjukkan jalan yang lurus kepada masyarakat termasuk  yang bukan Islam. Para pendakwah harus mengenali latar belakang masyarakat yang hendak diseru itu supaya dapat memesrakan pergaulan dan melancarkan proses berurusan dengan mereka. 




NAJIHAH BINTI MAZLAN (TH 0016)

0 comments:

Post a Comment