Siti Norzanah Binti Ahmad (11060107)
MARIMO mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat perlahan iaitu lebih kurang satu sentimeter setahun.
NIGEL KOO merupakan seorang yang amat menggemari tumbuh-tumbuhan dan haiwan peliharaan. Sebelum ini, dia memiliki satu koleksi pokok bonsai yang perlu dijaga dan dicantas hampir setiap hari.
Suatu hari, ketika lelaki yang berumur 37 tahun itu menerokai alam maya, dia menjumpai sebuah laman web dari Taiwan yang memaparkan sejenis hidupan akuatik yang dipanggil marimo.
Marimo adalah sejenis hidupan yang sangat unik. Ia termasuk dalam kategori alga yang hidup dalam air. Ramai menjadikan marimo sebagai tumbuhan hiasan yang diletakkan dalam akuarium.
“Ia dapat mengelakkan pertumbuhan alga dalam akuarium. Jadi, dinding kaca akuarium yang selalu dikotori dengan warna hijau tiada lagi,” terang Nigel ketika ditemui di gerainya di Petaling Jaya, Selangor.
Tumbuhan yang memiliki permukaan seakan-akan kain baldu itu tidak akan meracuni ikan hiasan manakala haiwan bersisik itu pula tidak mungkin dapat memakan marimo kerana fizikalnya agak keras.
Disebabkan marimo dan alga hijau datang daripada keluarga tumbuhan yang sama, berlaku persaingan antara kedua-duanya untuk terus hidup dari segi mendapatkan nutrisi seperti sumber cahaya dan makanan.
Akuarium bersih
Secara automatik, ia boleh bertindak sebagai tumbuhan kawalan secara biologi. Tiada lagi air akuarium yang kotor dan berbau kerana semua bahan keperluan telah diserap oleh marimo.
Pembesaran marimo sangat perlahan iaitu diameternya berkembang lebih kurang satu sentimeter (sm) setiap tahun bergantung pada persekitaran pembesaran.
Marimo membiak dengan cara bertunas, tunas baharu yang tumbuh boleh dicabut dan mampu hidup menjadi individu marimo yang lain.
Meskipun pertumbuhannya sangat lambat, marimo mampu memiliki jangka hayat yang sangat panjang sehingga mencecah 200 tahun.
Dalam koleksi peribadi Nigel, dia memiliki 20 biji marimo bersaiz antara enam hingga tujuh sentimeter.
Marimo atau nama botaninya, Aegagropila linnaei, pertama kali dijumpai oleh seorang saintis dari Austria, Dr. Anton E. Sauter pada tahun 1820 di tasik Zeller. Namanya pula diberi oleh seorang ahli botani Jepun, Tatsuhiko Kawakami pada tahun 1898.
Mari membawa maksud bola melantun manakala mo adalah nama generik bagi hidupan yang hidup di dalam air.
Menurut Lee Hsien Hooi, 23, marimo sangat mudah dijaga. Hanya perlu dicuci sekali seminggu dengan memerahnya sambil dilalukan pada air yang bersih.
Pemuda yang masih belajar dalam bidang bioperubatan itu memiliki tiga marimo bersaiz besar dan tujuh marimo kecil. Ujarnya, dia lebih berminat terhadap tumbuhan tersebut dari segi ekologinya berbanding mitos yang menyelubungi tumbuhan itu.
PERSAINGAN mendapatkan makanan dan nutrisi antara marimo dan alga menyebabkan pertumbahan alga hijau terbantut.
“Marimo hanya memerlukan cahaya yang kelam, tidak perlu diberi makanan dan ia adalah alternatif pada tumbuhan hiasan lain,” katanya yang lebih dikenali sebagai Victor.
Selepas beberapa minggu, Victor mendapati air yang digunakan untuk menyimpan marimo tidak pernah kotor setiap kali dicuci.
Walaupun ia hidupan berair, marimo masih dapat hidup dalam keadaan kering selama empat minggu dan boleh mati.
Tanda-tandanya ialah ia mula berubah menjadi warna putih kecoklatan. Cara untuk merawat marimo sangat mudah iaitu dengan menambah sedikit garam sebagai ubat ke dalam air rendaman marimo.
Kian pupus
Kemudian, ia diletakkan dalam peti sejuk supaya proses pemuliharaan dapat dilakukan mengikut suhu iklim habitat asal marimo.
Marimo adalah hidupan yang tinggal di persekitaran dingin di hemisfera utara dan banyak didapati secara semula jadi di Iceland, Jepun, Scotland dan Estonia.
Hidupan itu kini sedang berdepan pengurangan bilangan yang sangat drastik, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk festival selama tiga hari diadakan di Tasik Akan, Jepun sebagai mempromosi pemeliharaan marimo.
Di negara Matahari Terbit itu, masyarakat digalakkan membeli sebiji marimo bagi setiap individu.
Sebenarnya, marimo lebih mendapat perhatian masyarakat kerana legenda yang mengaitkan tumbuhan itu dengan tuah, kekayaan dan cinta.
“Ada pelanggan saya yang beli sebiji Marimo. Selepas sebulan, dia mendapat jodoh dan terus bertunang. Seorang lagi, mendapat tempat kedua hadiah teka nombor empat digit,” ujar Nigel yang mula menjual marimo sejak November 2011.
Kini, Nigel secara sepenuh masa menjadi penjual dan pengedar marimo di Malaysia. Bazarnya di e-Curve, Mutiara Damansara menjual marimo dalam bentuk cenderamata pada harga antara RM15 hingga RM60 bergantung pada saiz dan dekorasi.
Gunung Stong Ibarat 'Syurga' Bagi Pencinta Alam
KUALA KRAI: Panorama aman dan indah Taman Negeri Gunung Stong di Dabong, Kelantan menawarkan terapi minda bagi warga kota yang sudah lumrah dengan kehidupan penuh tekanan dan hiruk pikuk kota besar.
Taman ini terdiri daripada mukabumi yang berceranggah termasuk Gunung Stong setinggi 1,433 meter yang dianggarkan berusia tujuh juta tahun.
Penulis baru-baru ini berpeluang melawat tempat ini bersama 40 anggota Kelab Peminat Fotografi Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dalam ekspedisi tiga hari yang julung kali diadakan bertujuan mempromosi eko-pelancongan melalui perkhidmatan kereta api.
Ekspedisi ini bermula dengan perjalanan 10 jam menggunakan Tren Senandung Wau dari Kuala Lumpur menghala ke Tumpat.
Aturcara ini bertujuan mengeratkan hubungan antara anggota kelab sambil berkongsi kemahiran mengambil gambar menerusi aktiviti riadah di samping menghayati keindahan alam semulajadi yang tinggi nilainya di negara ini, kata timbalan presiden kelab Mohd Jasni Mat Nayan.
BAGAIKAN SYURGA DUNIA
Selepas turun di Stesen Keretapi Dabong, kami dibawa ke Taman Negeri Gunung Stong dengan van yang mengambil masa perjalanan 15 minit.
Dari jauh pemandangan indah Gunung Stong muncul perlahan-lahan dengan puncaknya diliputi kabus dan pemandangan hebat air terjun Jelawang, air terjun tertinggi di Malaysia.
Kesempatan ini digunakan penulis untuk merakam beberapa keping gambar sebagai koleksi peribadi serta bukti penulis telah menjejakkan kaki di Gunung Stong.
Menurut pemandu van Yuzaney Yusoff, 41, Gunung Stong meningkat popular sejak diwartakan sebagai Taman Negeri pada tahun 2004 dan telah menarik perhatian pelancong dari Singapura, Jerman, Korea, Switzerland serta Amerika Syarikat.
"Pelancong asing selalunya ramai ke sini pada bulan Jun dan rata-rata mereka datang selepas singgah di Pulau Perhentian.
"Pelancong tempatan pun suka tempat ini, selalunya resort akan penuh ditempah setiap kali tibanya cuti umum seperti Tahun Baru, Tahun Baru Cina, serta musim cuti sekolah," katanya kepada penulis.
"Apa yang menarik di sini selain keindahan flora dan fauna, pelancong akan terpukau dengan keindahan air terjun Jelawang setinggi 303 meter daripada paras laut," katanya.
Yuzaney berkata Taman Negara Gunung Stong juga adalah habitat semulajadi bagi beberapa haiwan liar termasuk gajah, seladang, tapir, harimau serta burung merak.
TERSIMPAN SERIBU SATU MISTERI
Seorang warga tua yang tinggal di kampung berhampiran Stesen Dabong, Ahmad Said, 66, menjelaskan bahawa air terjun Jelawang pada satu ketika dahulu menjadi sumber air masyarakat setempat serta menyimpan seribu satu kisah tentang Puteri Saadong yang menjadi lagenda negeri "Cik Siti Wan Kembang".
"Di kawasan air terjun itu ada batu berbentuk congkak milik Puteri Saadong, ini bukan lagenda tetapi kisah benar selain beberapa penemuan sejarah seperti pinggan mangkuk," katanya.
Sementara itu, pesara tentera, Arman Salleh, 50, yang menetap di Dabong selama 16 tahun berkata Gunung Stong adalah tempat paling istimewa bagi beliau yang sudah biasa meredah hutan sejak berkhidmat dalam tentera.
Beliau gemar mendekatkan diri dengan alam sekitar dan percaya ianya anugerah Tuhan yang tiada tolok tandingnya.
Bagi generasi muda Dabong, Mohd Izzuan Hafiz Mohd Ibrahim Yong, 17, beliau melahirkan rasa bangga kerana nama Dabong terukir dalam peta destinasi pelancongan negara.
"Saya selalu tolong atuk dan nenek berniaga di kedai makan, jadi ramai pelancong singgah untuk menjamu selera di sini terutama pelancong asing yang tidak kekok dengan makanan orang sini," katanya sambil berkongsi pengalaman.
PELUANG EMAS TINGKAT KEMAHIRAN
Bagi penulis dan jurugambar lain, kami menganggap ini satu peluang keemasan kerana dapat merakamkan keindahan alam menggunakan kamera DSLR selain menggunakan kemahiran dan teknik yang dipelajari serta berkongsi bersama rakan-rakan lain.
Siti Sri Nor Intan Fharis Mohd Ani, 25, berkata ini adalah pengalaman baru beliau kerana baru kali pertama menaiki kereta api serta datang ke negeri Cik Siti Wan Kembang yang kaya dengan flora dan fauna.
"Ekspedisi ini agak mencabar kerana sebelum ini saya hanya mengambil gambar pengantin dan jalanan. "Tetapi hari ini saya banyak mempelajari teknik baru antaranya 'slow-shutter'... ianya ternyata berbeza tetapi saya amat berpuas hati kerana dapat merakamkan banyak gambar di sini yang pastinya akan saya simpan sebagai koleksi peribadi dan rujukan," katanya.
Sementara itu, Abdul Munir Mohd Shukri, 25, pula mengambil peluang ini untuk mempelajari serta berkongsi teknik dan idea bersama rakan jurugambar lain bagi memantapkan lagi kemahiran beliau mengambil gambar.
Beliau juga menyimpan hasrat untuk datang semula ke Gunung Stong bukan setakat untuk aktiviti mengambil gambar malah beliau ingin menawan puncak Gunung Stong dan merasai sendiri pengalaman pahit getir untuk sampai ke puncak.
KEHEBATAN PUNCAK GUNUNG STONG
Walaupun ekspedisi ini tidak berkesempatan mendaki Gunung Stong, pemandu van yang hanya mahu dikenali sebagai Odi sedikit sebanyak memberi penjelasan akan laluan dan pengalaman ke puncak itu.
Pengunjung akan dibawa oleh jurupandu berpengalaman mendaki selama dua jam menuju ke Kem Baha dan bermalam di sana sebelum meneruskan pendakian ke puncak gunung selama empat jam lagi.
"Pengunjung bakal diuji oleh laluan sempit, tebing curam serta licin selain terpaksa memanjat batu yang berbahaya," katanya.
Namun, segala kesukaran dan keletihan akan hilang apabila pengunjung tiba di puncak gunung yang menjanjikan pemandangan menarik serta suasana nyaman dan menenangkan dengan suhu antara 15 dan 18 darjah celsius.
Dari puncak, pengunjung akan menikmati pemandangan mengujakan Taman Negeri Gunung Stong serta dapat melihat puncak gunung Ayam yang diselubungi kabus tebal. - BERNAMA
Elak sengketa akibat khabar angin
ISLAM amat menitikberatkan soal perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat. Oleh itu apa jua faktor yang boleh membawa kepada perpecahan, maka Islam amat mencela perbuatan tersebut. Di antara faktor yang boleh membawa ke arah perpecahan adalah berpunca daripada khabar angin dan taksub dengan sumber berita daripada individu atau kumpulan-kumpulan tertentu sahaja tanpa soal selidik.
Kedua-dua faktor ini telah menjadi satu sejarah yang terangkum dalam al-Quran yang seharusnya diambil pengajaran dan sempadan. Allah SWT telah menurunkan ayat khusus mengenai perbuatan tersebut sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al-Hujurat ayat 6:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu mengenainya - sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Ayat di atas memberi makna umum, yang mana kita perlu menyelidiki dan meneliti segala berita dan perkhabaran yang diterima. Berita yang disampaikan oleh mereka yang beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia haruslah diterima manakala berita yang disampaikan atau datangnya daripada orang yang fasiq hendaklah diselidik dan diteliti kesahihannya terlebih dahulu.
Dalam ajaran Islam itu sendiri, setiap berita yang kita terima itu perlu diketahui kedudukannya sebagaimana kaedah fiqh menyatakan: "Sesuatu berita atau kejadian yang diterima itu mengandungi kebarangkalian antara benar dan salah."
Allah SWT menciptakan manusia sebagai Khalifah Allah di bumi ini sewajarnya menonjolkan sifat-sifat seperti bekerjasama, bertolak ansur, bantu-membantu dan bermuafakat dalam segala urusan.
Apabila ilmu itu terpisah daripada nilai-nilai akhlak dan cenderung kepada akal fikiran yang mengutamakan hawa nafsu semata-mata, ia akan menjadi penyebab berlakunya perpecahan dan persengketaan kesan daripada khabar angin di kalangan umat manusia.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Anam ayat 159: Maksudnya: Bahawasanya orangorang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu, dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikit pun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanyalah terserah kepada Allah SWT. Kemudian ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), akan apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).
Kita perlu meneliti tentang faktor dan punca yang menyebabkan khabar angin ini berlaku kerana ia membawa banyak kemudaratan dan kerosakan khususnya dalam hubungan bermasyarakat. Antara punca yang boleh dikenal pasti merebaknya khabar angin ialah ketiadaan sumber yang tepat, tulus, jujur dan sah sehingga mendorong orang ramai mencari alternatif yang lebih cepat.
Faktor kedua ialah sikap masyarakat sendiri yang suka dan gemar kepada berita sensasi serta sentiasa mahukan maklumat baru, sedang mereka lupa untuk menyelidik dan menilai sebagaimana yang disyorkan oleh agama.
Faktor ketiga pula ialah apabila masyarakat sukar untuk mendapatkan berita atau maklumat rasmi yang lengkap dan tidak mengelirukan. Satu perkara yang amat mendukacitakan ialah sikap segelintir kita yang kadang-kadang mengambil kesempatan untuk menjadi ejen penyebar maklumat palsu hanya disebabkan kepentingan peribadi mereka dan sikap inilah yang amat dibenci oleh Allah SWT dan Islam sendiri.
Oleh yang demikian, Islam amat memandang serius tentang perkara ini, kerana ia akan mendatangkan implikasi yang amat buruk sekiranya tidak dibendung sebaiknya. Agama Islam menyarankan kita supaya meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Dalam dunia era globalisasi kini, amat malang bagi kita sekiranya kemajuan teknologi disalahgunakan. Ini kerana jika kita perhatikan penyebaran maklumat seperti melalui Internet - penulisan dalam blog-blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS), amat mudah untuk dijadikan alat penyebar maklumat dan berita palsu yang mampu menjelajah seluruh pelosok dunia tanpa halangan dan sebarang masalah dalam sekelip mata. Inilah yang banyak mempengaruhi minda masyarakat kini tidak kira sama ada golongan tua ataupun muda.
Kesan dari berita-berita yang belum sahih ini akan menyebabkan perpecahan dan menimbulkan ketegangan yang bukan hanya melibatkan seseorang atau dua orang tetapi melibatkan banyak pihak. Selain itu, akan merugikan seluruh masyarakat dan negara, dengan hilangnya semangat kasih sayang, hormat menghormati dan tidak menaruh kepercayaan di antara satu sama lain yang akan mengakibatkan runtuhnya sesebuah institusi masyarakat dan hilangnya kewibawaan sesuatu bangsa.
Lebih malang lagi, sesuatu isu atau peristiwa yang belum diketahui kesahihannya telah disensasikan dan dijadikan sebagai bahan cerita untuk menghukum individu dan kumpulan tertentu. Bahkan, isu-isu yang berlaku telah dijadikan sebagai modal untuk kepentingan kelompok-kelompok tertentu atau lebih jelas lagi isu-isu tersebut telah dipolitikkan demi kepentingan mereka.
Sehingga, dalam kes-kes tertentu ada pihak yang cuba mengalihkan tumpuan dari isu yang sebenar kepada isu-isu lain yang boleh membawa kepada mudarat yang lebih besar seperti perkauman yang menjurus kepada sengketa yang lebih besar.
Terdapat sebahagian daripada masyarakat kita yang enggan menerima teguran walaupun mengetahui apa yang dilakukan itu jelas tidak betul dan bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka bukan sahaja tidak mengendahkan teguran, bahkan sebaliknya cuba memusuhi mereka yang memberi teguran. Dalam hal ini, Islam sangat mengutuk dan menghina perbuatan tersebut sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Munafiqun: 5-6.
Maksudnya: Dan apabila dikatakan kepada mereka, "marilah (bertaubat) supaya Rasulullah SAW meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu", mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya, dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh. (Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasiq.
Oleh yang demikian, marilah kita bersama berganding bahu, bersatu padu memulihkan keadaan dan bersama-sama mengikis sikap suka menyebarkan khabar angin atau berita palsu. Ini kerana al-Quran telah mengajar kepada kita apabila menerima sesuatu berita hendaklah diselidiki terlebih dahulu tentang kebenarannya untuk mengelak berlakunya penyebaran khabar angin yang boleh menyebabkan sengketa lebih besar bertepatan dengan kehendak Islam yang sebenar.
Matang meniti usia 40 tahun
Zaimah dan Jama’iah menyimpan kisah yang berbeza tetapi kedua-duanya berkisar tentang sebuah majalah iaitu Wanita.
JARI-jemarinya lembut membersihkan habuk pada sekeping gambar yang disimpan rapi di dalam sebuah bingkai berwarna kelabu metalik. Sesekali bibir nipisnya itu mekar dengan senyuman. Barangkali foto tersebut telah membuka memori lampaunya.
"Inilah saya. Wanita yang berada di tengah itu Alice Yoong manakala yang seorang lagi, Janet Mok," terang Zaimah sambil menunjukkan gambarnya yang menghiasi kulit wajah pertama majalah Wanita.
Barangkali, tuah berpihak kepada wanita ini yang terpilih menjadi penghias pertama kulit wajah majalahWanita.
"Dipilih sebagai penghias kulit wajah pertama Wanita pada usia 20 tahun, merupakan detik indah buat saya. Saya bukanlah sesiapa pada waktu itu dan hanya berkhidmat di salah sebuah agensi pelancongan dan model sambilan.
"Kaget dibuatnya apabila pihak redaksi majalah memberitahu bahawa saya dipilih sebagai salah seorang penghias kulit.
Sebelum ini saya hanya tampil dalam ruangan fesyen tetapi kini di kulit wajah majalah. Pada sesi penggambaran tersebut saya bersolek ringkas, membiarkan rambut mengurai dan menggayakan busana rekaan sendiri," ujar Zaimah Alias, yang digandingkan bersama Alice Yoong dan Janet Mok.
Terjual 40,000
Gandingan mereka bertiga berjaya menarik minat pembaca sehingga keluaran pertama terjual sebanyak 40,000 naskhah.
Wanita berdarah campuran Scotland sebelah ayah dan Cina-Jawa sebelah ibu membuatkan ibu kepada empat cahaya mata itu menjadi rebutan pelbagai jenama fesyen dan pengiklanan.
Jadi, tidak hairanlah Zaimah yang dibesarkan di Kuala Lumpur, kerap menghiasi ruangan fesyen Wanitadan terpilih sebagai model iklan cetak dan kalendar.
"Pada waktu itu, industri fesyen tempatan amat memerlukan barisan model wajah kacukan. Ini tidak bermakna merendah-rendahkan kebolehan dan kejelitaan model kaum Melayu, Cina mahupun India. Cuma mereka ingin menampilkan seleksi wajah yang pelbagai di ruangan fesyen dan iklan.
"Namun ada syaratnya. Sebaik-baiknya model berdarah kacukan yang dicari haruslah anak kelahiran tempatan, bukannya warganegara asing. Berlainan pada fenomena peragaan pada hari ini. Rata-rata pertunjukan fesyen bagaikan wajib menggunakan khidmat model antarabangsa," luah bekas pramugari Malaysia Airlines System (MAS) itu.
Saban tahun menjelang 13 Ogos, perasaan sedih dan gembira Zaimah singgah. Pada tarikh inilah beliau meraikan dua peristiwa penting yang akan dikenang selama-lamanya.
"Jika 13 Ogos lalu saya dijemput bagi meraikan ulang tahunWanita yang ke-40, pada hari yang sama ia merupakan tahun kesepuluh pemergian anak ketiga saya, Idi Sohail yang dijemput Illahi pada usia 18 tahun," kenang Zaimah. Sohail meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Rutin
Rutin kehidupan isteri kepada Leftenan Kol. (B) Khairudin Dahlan itu pada hari ini banyak meluangkan masa bersama empat orang cucu mereka. Zaimah dan suaminya juga kerap melancong ke luar negara.
Dalam pada itu, Zaimah yang ditemui di kediamannya di Kelana Jaya turut menyentuh mengenai keadaan wanita dulu dan kini.
Zaimah memberitahu: "Walaupun Wanita terpaksa bersaing dengan puluhan majalah berkonsepkan wanita, saya dapati Wanita terus unggul dan produktif. Wanita tidak pernah tersasar daripada landasan asal dan sentiasa melakukan penambahbaikan.
Sementara itu, pembaca setia Wanita yang merupakan antara pengumpul tertinggi majalah itu, Jama'iah Suhaili, 55, bingung memikirkan mengapa setiap bulan, pekedai runcit berhampiran rumahnya sibuk melayan pelanggan wanita. Mereka bukannya membeli barang mahupun membayar hutang tertunggak, tetapi singgah semata-mata untuk mendapatkan sebuah majalah.
Lantas, atas rasa ingin tahu dia mengatur langkah ke kedai runcit tersebut. Hati kecilnya berdetik saat memandang koleksi majalah yang memaparkan wajah penghias kulit yang jelita.
Apakah istimewanya majalah itu?
"Sebelum ini, saya tidak menghiraukan langsung Wanita walaupun jiran-jiran sibuk memperkatakan tentang isi kandungannya.
"Sebabnya, pada awal kemunculan Wanita di pasaran, saya baru berumur 14 tahun. Masih bersekolah dan remaja. Saya beranggapan Wanita barangkali tidak sesuai dibaca oleh golongan muda," jelas pembaca setia majalah Wanita, Jama'iah kepada Kosmo! ketika ditemui pada majlis ulang tahunWanita baru-baru ini.
Jatuh hati
Namun segala-galanya berubah selepas Jama'iah menamatkan pengajian peringkat menengah di Kuching, Sarawak. Sementara menunggu keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dan tawaran pekerjaan, Jama'iah gemar mengisi masa lapang dengan membaca pelbagai jenis buku dan majalah.
Ibu kepada tujuh orang anak itu kalah untuk membeli Wanita, yang tidak putus-putus mendapat sambutan.
Selepas memiliki majalah tersebut yang dijual pada harga RM1, Jama'iah terus jatuh hati. Dia sama sekali tidak menyangka Wanita sesuai untuk bacaan pelbagai peringkat umur.
Isu yang diketengahkan berkait rapat dengan kehidupan seorang wanita. Rencana yang disiarkan pula banyak memberi semangat dan meningkatkan keyakinan wanita.
Jika sebelum ini wanita tidak mengetahui atau menyedari hak mereka, kini segala-galanya boleh dipelajari menerusi Wanita.
"Seingat saya sekitar tahun 1973 ruangan Mutiara Kata paling terkesan di hati. Bait-bait kata yang disiarkan pada setiap bulan banyak mengajar wanita supaya berani, cekal dan tabah menjalani kehidupan.
Keyakinan diri
"Keyakinan diri saya juga semakin meningkat. Kehidupan menjadi lebih baik dan positif," ujar Jama'iah yang menggemari kolum fesyen, dekorasi, isu semasa dan resipi.
Pada masa yang sama, Jama'iah yang pernah berkhidmat di Hotel Crown Plaza, Kuching, selama enam tahun tidak ketinggalan membaca paparan rencana yang mengisahkan kejayaan seseorang wanita.
Rencana tersebut banyak mengajar golongan wanita supaya bijak menguruskan masa antara kerjaya dan keluarga.
"Wanita segala-galanya bagi saya. Kini, saya sudah memiliki hampir 432 keluaran majalah sejak membelinya pada tahun 1973.
"Setiap bulan saya tidak terlepas membeli Wanita. Sekiranya tidak berkesempatan untuk membeli, saya akan meminta bantuan teman-teman dan ahli keluarga," kata Jama'iah yang menyimpan koleksiWanita di rak buku yang diletakkan di dalam kamar tidurnya.
Tambahnya, himpunan majalah tersebut sengaja diletakkan di dalam bilik tidur supaya ia sentiasa berada di depan mata.
"Selain kerap membersihkan himpunan majalah daripada habuk, sebelum tidur saya akan membacaWanita terbitan tahun 80-an dan 90-an," ujarnya.
Bantuan miskin bandar perlu strategi tepat
KETIKA ramai yang masih beranggapan kemiskinan di luar bandar adalah lebih serius berbanding kawasan bandar tetapi pandangan berkenaan adakala tidak tepat. Kedua-duanya merupakan perkara penting yang perlu diberikan perhatian dan keutamaan.
Sebenarnya golongan miskin di bandar keadaannya tidak kurang kritikal kerana mereka dihimpit oleh kos sara hidup yang terus melambung.
Kesempitan dalam kehidupan harian menyebabkan mereka diibaratkan seperti "kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang" meskipun mempunyai pekerjaan kerana gajinya tidak mampu untuk memecah kitaran cengkaman kemiskinan, terutamanya apabila mempunyai banyak mulut untuk disuapkan.
Sehubungan itu, penekanan terus perlu diberikan kerajaan ke arah mengurangkan atau membasmi kemiskinan di bandar seperti mana yang dilakukan di kawasan luar bandar. Bahkan perkara itu tidak seharusnya dilihat acara yang bermusim.
Tindakan kerajaan untuk mengagihkan unit amanah RM10,000 setiap orang dengan jangkaan penerimaan dividen RM700 setahun sememangnya dipuji dan boleh dijadikan antara usaha-usaha berterusan ke arah mencapai miskin sifar.
Namun begitu, program yang sedemikian seharusnya dilakukan secara bersepadu dan dipantau untuk memastikan matlamat dan sasaran yang ingin dicapai boleh direalisasikan.
Penjelasan tentang pelaksanaan dalam membasmikan kemiskinan adalah penting untuk memastikan penerima bantuan dan juga masyarakat memahami keperluan untuk membantu golongan sasaran.
Pada masa yang sama, cadangan kerajaan menilai semula paras kemiskinan tegar harus merangkumi peringkat-peringkat lain kerana krisis ekonomi semasa juga menyaksikan ramai rakyat yang telah kehilangan pekerjaan.
Tambahan, jumlah tahap pendapatan RM2,000 sebulan di bandar-bandar besar termasuk ibu kota Kuala Lumpur misalnya, masih tidak cukup untuk memboleh rakyat negara ini memiliki sebuah kehidupan yang memuaskan.
Langkah untuk mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan harus dibuat secara lebih holistik dengan turut melibatkan pelbagai strata pendapatan yang lain seperti golongan berpendapatan sederhana rendah yang turut bermasalah.
Pemberian bantuan tidak semestinya dibuat dalam bentuk kewangan semata-mata tetapi juga peluang-peluang meningkatkan keupayaan sara diri melalui pelbagai program yang turut mampu menjana ekonomi negara.
Ini kerana kita tidak seharusnya hanya sekadar memberikan ikan setiap masa kepada golongan yang mahu dibantu tetapi juga alat memancing untuk membolehkan mereka menerus dan meningkatkan kehidupan tanpa terus bergantung kepada kerajaan.
Pelaksanaan program-program yang dirangka dengan mempunyai kesinambungan dalam usahanya mampu untuk meruntuhkan tembok kemiskinan yang kini memagari kehidupan rakyat di negara ini sama ada di bandar ataupun di luar bandar.
0 comments:
Post a Comment