Monday, 6 February 2012

Tonggak Akidah


Oleh : Wan Fathiah Hanani Binti Wan Abdullah (UD 0652)
                         

     Alam ini yang buminya terbentang luas, langit yang kebiru-biruan, tumbuhan dan haiwan, bukit dan gunung serta manusia, jin dan para malaikatnya milik Allah. Sudah tentu bukan terjadi dengan sendiri. Manusia juga tidak mampu mencipta diri mereka sendiri. Kalau begitu, alam ini tentu ada Yang Maha Pencipta. Dia sudah tentu Amat Tahu, Amat Berkuasa, Amat Perkasa dan Maha Bijaksana. Dia mencipta dengan cara yang cukup sempurna, Dia sudah tentu boleh mentakdirkan segala sesuatu.

     Allah ialah Tuhan bagi segala sesuatu. Dia esa, tunggal, tidak ada yang serupa dengan-Nya, sama ada zat atau sifat-Nya. Tiada yang serupa dengan-Nya dari segi perbuatan. Dia yang sediakala wujud dan akan kekal selama-lamanya. Nama-nama-Nya cukup sempurna. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dia yang terawal dan Dia terakhir, Dialah yang zahir dan batin, Dia amat tahu akan segala sesuatu.” (Surah al-Hadid : 3)

     Berdasarkan itu, tonggak kepada tauhid ialah manusia tidak boleh mencari tuhan-tuhan yang lain selain Allah SWT. Manusia tidak boleh mencari pembantu dan kekasih yang lain selain Allah SWT. Jika tiga perkara asas ini menjadi pegangan barulah manusia benar-benar bertauhid. Tegasnya, mereka yang masih menganggap masih ada kuasa lain bahkan dijadikan pergantungan dalam hidup maka hakikatnya mereka tiada tauhid. Apatah lagi mereka yang mengambil hukum-hukum lain selain yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagai panduan hidup.

     Selain itu, tauhid boleh rosak jika mereka menghalalkan zina, arak, judi, membunuh dan seumpamanya, kerana perbuatan itu terang-terangan melanggari hukum Allah SWT. Jadi, perbuatan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram telah mencacatkan tauhid. Untuk umat akhir zaman, kita diutuskan Nabi Muhammad SAW dan kitab al-Quran. Nabi Muhammad SAW mengajarkan kita perintah dan larangan Allah SWT. Malah melalui Baginda SAW, dan kitab al-Quran, kita diberitahu dari mana kita datang dan ke mana kita akan kembali. Maka dalam tempoh itu kita diberi panduan apa yang patut kita lakukan dan apa yang harus dijauhi. Ungkapan “Muhammadu Rasulullah” adalah pelengkap syahadah yang membawa maksud Nabi Muhammad SAW adalah Rasul yang satu-satunya diakui selepas Allah SWT. Syariat islam diwahyukan kepada Rasulullah SAW. Jadi mentaati Allah, malah mengikuti sunnah Rasulullah adalah tanda mencintai Allah SWT.

     Jadi, mereka yang menolak hukum Allah tidak termasuk ke dalam kalangan orang yang beriman. Dalam beberapa ayat al-Quran ada dinyatakan bahawa orang yang menolak hukum Allah adalah zalim, kufur dan fasik. Sebenarnya keimanan yang dinyatakan itu bukan sekadar tonggak kepada kehidupan individu, malah sepatutnya menjadi tonggak bagi sesebuah masyarakat dan negara. Oleh sebab itu masyarakat dan negara harus menghormati dan berusaha ke arah memantapkan keimanan ke dalam akal dan hati warganya.

     Bagi orang yang bukan islam, mereka bebas di sini kerana agama islam memberi kebebasan kepada mereka untuk menganut agama masing-masing. “Tidak ada paksaan dalam agama (islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (islam) daripada kesesatan (kufur).” (Surah al-Baqarah : 256) masyarakat yang berakidah tauhid terhadap Allah SWT hakikatnya mereka beriman bahawa Allah yang mencipta dan mengurus alam ini manakala manusia adalah wakil Allah di muka bumi ini. Sebagai wakil kita tidak bebas mencerobohinya tetapi harus mengurus mengikut aturan Allah SWT termasuk pengurusan manusia dan alam sekitarnya.

     Oleh yang demikian, apapun fahaman manusia; kebangsaan, patriotisme, kedaerahan malah kepuakan tidak harus melanggar hukum Allah SWT. Selain itu, islam tidak menerima pandangan bahawa semua agama adalah sama atau apa yang diistilahkan sebagai “pluralisme”. Akidah tauhid, harus memimpin masyarakat seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika mendirikan masyarakat awal islam di Madinah. Jadi, akidah tauhid yang kita bawa menjadi sumber hukum, sumber yang memancu umat ke hadapan. Malah boleh mendidik akhlak manusia menjadi mulia dan mampu melahirkan pakar dalam semua bidang dan lapangan.
    

0 comments:

Post a Comment