Monday, 6 February 2012

Keunggulan Wanita Pada Kaca Mata Islam


Oleh : Wan Fathiah Hanani Binti Wan Abdullah (UD 0652)

        

     Mengukur garis persamaan antara lelaki dan wanita tidak mudah kerana zahir kedua-dua makhluk ini tidak sama. Memahami kemuliaan yang islam anugerahkan kepada kaum Hawa yang menjadi tunjang kehidupan sempurna sebagai seorang anak, ibu, isteri, sahabat malahan pemimpin, kita perlu menganalisa tahap wanita dalam agama atau masyarakat lain.
     Memahami pandangan sebenar islam terhadap wanita tidak dapat dilakukan berdasarkan kefahaman melayu islam. Ia harus bersumberkan kepada wahyu sebenar, al-Quran. Islam mengiktiraf penyamatarafan wanita dan lelaki dalam empat aspek utama.
     Asal penciptaan yang sama, Allah menjelaskan persamaan lelaki dan wanita dalam firman-Nya yang bermaksud : “Dia yang menciptakan kamu daripada diri yang satu, dan daripadanya Dia menciptakan isterinya.” (Surah al-A’raf : 189) masyarakat Cina kuno misalnya, mengharuskan seorang suami menjual isterinya seperti seekor haiwan ternakan. Pemerintah pula menganggap wanita sebagai alat pemuas nafsu hingga menghalalkan pengzinaan dan rumah pelacuran.
     Agama hindu pula melihat isteri sebagai hak milik suami yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Sehinggakan, sekiranya seorang suami mati, isterinya perlu melompat ke dalam api yang membakar mayat suaminya.
     Wanita memikul tanggungjawab dalam agama, pengiktirafan islam terhadap wanita dapat dilihat pada kewajipan yang diberikan kepada wanita sama seperti lelaki. Apabila Allah memerintahkan suruhan atau larangan, tentu ditujukan kepada lelaki dan perempuan. Misalnya firman Allah taala yang bermaksud : “katakan kepada lelaki yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, kerana ia lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan. Katakan kepada wanita yang beriman agar menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, dan jangan menampakkan perhiasan mereka melainkan apa yang biasa kelihatan ...” (Surah al-Nur : 30-31)
     Begitu juga, setiap individu perlu menanggung dosa atas kesalahan yang dilakukan, tanpa mengira lelaki atau perempuan. Justeru kekeliruan sebahagian muslim yang menghukum Hawa di atas kesalahannya dan Adam melanggar larangan Allah di syurga. Kesalahan yang dilakukan bersama, sewajarnya dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
     Persamaan dalam undang-undang syariah, dalam hukum islam, pesalah dihukum tanpa membezakan jantina. Misalnya dalam masalah mencuri, Allah menghukum pencuri lelaki dan wanita dengan hukuman yang sama. Ini dijelaskan dalam ayat berikut : “lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potong tangan kedua-dua mereka sebagai balasan bagi apa yang mereka lakukan dan sebagai seksaan daripada Allah.” (Surah al-Nur : 2) kelebihan hukum islam ini menunjukkan dengan jelas persamaan antara lelaki dan wanita. Ini sangat berbeza dengan undang-undang manusia yang meletakkan hukum berbeza antara lelaki dan wanita walaupun kesalahannya sama. Misalnya undang-undang Mesir yang digubal berdasarkan undang-undang Perancis.
     Persamaan dalam pemilikan harta dan mengekalkan nasab, bagaimana sebuah masyarakat yang menganggap diri mereka bertamadun serta membebaskan wanita, tetapi tidak membenarkan seorang isteri mengekalkan nama keluarga bapanya. Seorang isteri terpaksa membuang nama keluarga bapanya yang memeliharanya sejak kecil dan menggantikan dengan nama keluarga suaminya. Seolah-olah, perkahwinan tersebut memutuskan hubungan keluarga isteri sehingga terpaksa menukar nama. Bagaimana jika berlaku perceraian dan isteri tersebut berkahwin dengan lelaki lain? Ini akan menyebabkan kekeliruan nasab keturunan wanita tersebut. Tetapi islam mengekalkan nasab seorang wanita hanya kepada bapanya yang sah. Islam memberikan wanita haknya menetapkan nasab yang betul. Begitu juga dengan harta sepencarian. Apabila berlaku perceraian, harta seperti rumah yang dibayar bersama suami perlu dibahagikan mengikut sumbangan masing-masing. Malah isteri yang tidak bekerja juga punya hak mendapat harta sepencarian berdasarkan khidmat yang dilakukan di rumah.
     Fiqh muslimat, wanita bukan hanya sebagai isteri dan ibu. Sebaliknya kecemerlangan wanita islam hari ini, memerlukan mereka tampil ke medan masyarakat sebagai wanita yang berkerjaya, ahli perniagaan, pensyarah, ahli politik, tokoh masyarakat serta pemimpin dunia.

0 comments:

Post a Comment