Oleh : Wan Fathiah Hanani Binti Wan Abdullah (UD 0652)
Allah SWT
telah memerintahkan kepada hamba-hamba-Nya supaya makan makanan yang baik-baik,
maksudnya bukanlah makanan yang mahal harganya, atau makanan yang sedap dan
enak. Yang dimaksudkan adalah dari mana makanan itu diperoleh, sama ada dengan
cara yang halal atau haram?
Makan
makanan yang halal itu adalah sangat penting kerana makanan mempunyai pengaruh
yang besar pada diri seseorang. Bukan sahaja pada tubuh badan, bahkan pada
perilaku dan akhlaknya. Makanan yang tidak baik atau tidak halal akan
menyebabkan ibadah seseorang itu tidak diterima oleh Allah taala bahkan
tubuhnya akan menjadi bahan pembakar di dalam neraka kelak. Sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah, seorang lelaki yang sedang
bermusafir rambutnya kusut masai dan penuh debu. Dia menadahkan kedua-dua
tangannya ke langit sambil berdoa : “wahai Tuhanku, wahai Tuhanku,” sedangkan
makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan perutnya diisi dengan
makanan yang haram, maka sabda Baginda SAW : “bagaimana mungkin doanya
dikabulkan?”
Manakala
memakan makanan yang halal lagi baik adalah Allah tujukan kepada sekelian
manusia, sama ada mukmin atau kafir. Mereka diperintahkan memakan apa yang ada
di bumi, baik biji-bijian, buah-buahan, dan binatang yang halal. Iaitu yang
didapati dengan cara yang halal, bukan dengan cara merampas menipu atau
merasuah.
Pengaruh
makanan haram sesungguhnya akan mempengaruhi peribadi seseorang manusia itu
seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT : “makanlah di antara rezeki
yang baik yang telah kami berikan kepadamu, dan janganlah melampaui batas
padanya, yang menyebabkan kemurkaan-Ku menimpamu. Dan sesiapa ditimpa oleh
kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah dia.” (Surah al-Taha : 81) seseorang
yang makan makanan yang halal dan baik akan memiliki sifat-sifat unggul yang
melambangkan keperibadiannya.
Sabda
Rasulullah SAW mengenai manusia yang baik : “manusia yang baik adalah yang
paling banyak memberi manfaat kepada manusia yang lain.” Sifat-sifat yang baik
itu juga terdapat pada binatang yang banyak memberi manfaat kepada manusia
iaitu “lebah”. Rasulullah SAW di dalam hadis di atas menyarankan kita
meniru sifat-sifat positif yang dimiliki oleh lebah.
Sifat-sifat
lebah itu sendiri adalah satu wahyu daripada Allah SWT seperti dalam firman-Nya
: “dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah : ‘hendaklah engkau membuat sarangmu
di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan yang didirikan
oleh manusia.’ Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan
buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu
yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari
dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang menjadi penawar
bagi manusia (dari pelbagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu ada
tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang yang mahu berfikir.” (Surah
al-Nahl : 68-69)
Orang yang
tidak mementingkan sama ada makanan yang dimakannya itu halal atau haram,
bersih atau tidak, berkhasiat atau merosakkan tubuhnya boleh disamakan dengan “lalat”.
Lalat adalah serangga yang membawa penyakit dan kotor. Ia gemar hinggap di
kawasan yang bersampah, kotor dan tempat yang berbau busuk. Sebaliknya, lebah
pula hanya akan mendatangi bunga-bungaan, buah-buahan atau tempat yang bersih
yang punya madu sahaja.
Renungkan
sifat-sifat terpuji berikut yang ada pada lebah, yang boleh dijadikan ikutan.
1. Mengeluarkan yang bersih
(madu). Madu itu punya khasiat yang banyak untuk kesihatan manusia.
2. Tidak pernah merosakkan
(tidak suka merosakkan harta benda).
3. Bekerja keras (rajin).
4. Bekerja secara
berkelompok serta taat kepada pimpinan.
5. Tidak akan menyakiti
kecuali diganggu.
Inilah
pembentukan peribadi apabila kita memakan makanan yang baik, halal, bersih dan
suci. Hidup kita tidak dipengaruhi dengan sifat tamak, malas, sombong, suka
membuat aniaya, menghina orang dan sebagainya.
0 comments:
Post a Comment