MASTURA BINTI ABDULLAH ( UD 0661)
CinTa SeoRanG AyAh...
Beratnya untuk melepaskan dia pergi.
Selama ini, tangan ini yang membelainya. Selama ini, hati ini yang selalu
bimbangkannya.
Sejak suara tangisnya yang pertama, sejak ku laungkan azan
di telinganya, aku begitu mengasihinya. Ya, dia adalah permata hatiku. Namun,
dia bukan selamanya milikku....
Rumah ini, cuma persinggahan dalam perjalanannya menuju
kedewasaan. Dan kini sudah hampir masanya kau pamit. Walaupun di hatiku
tercalar sedikit rasa pahit, tapi siapalah aku yang boleh menahan perjalanan
waktu? Siapakah aku untuk menahan realiti kedewasaan? Maafkan aku wahai
anak....
Bukan aku tidak tega, tetapi kerana terlalu cinta!
Hatiku tertanya-tanya, apakah ada insan lain yang boleh
menjaganya sepenuh hati. Sejak bertatih, aku melihat jatuh bangunnya tanpa rasa
letih. Siapakah yang membalut luka hatinya dalam kembara itu nanti?
Aku jauh......bila segalanya bertukar tangan, amanah akan
diserahkan. Aku tahu saat itu aku mesti mula melepaskan. Itu satu hakikat.
Cinta bukan bereti mengikat... tetapi melepaskan,
membebaskan.
Kau umpama anak burung yang telah bersayap, telah mampu
terbang membelah awan, meninggalkan sarang. Apakah aku terlalu dungu untuk
terus membelenggu?
Puteriku... kau terpaksa ku lepaskan.... Apakah si dia mampu
menyayanginya seperti aku? Ah, mengapa rasa curiga ini datang bertandang.
Bukankah segalanya telah di putuskan sejak dia membisikkan bahawa hatinya telah
diserahkan kepada 'si dia'- lelaki pilihannya? Bukankah segala perbincangan
musim lalu telah terungkai dan keputusannya telah dimeterai?
Namun... hati ayah.... Hati abah... pasti ada gundah. Sudah
pasrah, tapi diguris goyah. Bolak-balik hati ini wahai anak...terlalu laju
untuk dipaku.
Tepatkah plihanmu? Tepatkah keputusanku? Namun siapakah kita
yang boleh membaca masa depan? Layakkah kita mengukur kesudahan di batas
permulaan?
Sangka baik jadi penawar. Kau anak yang baik, insyaAllah
pilihanmu juga baik. Tuhan tidak akan mengecewakanmu. Jodohmu telah ditentukan.
Dan ketentuan Allah itu pasti ada kebaikan!
Kekadang, aku diserbu seribu pertanyaan. Apakah aku masih di
hatinya setelah dia bersuami nanti? Atau aku hanya akan menjadi tugu kenangan
yang dijengah sekali-sekala?
Bukan, bukan aku membangkit, jauh sekali
mengungkit...upayaku mendidikmu bukan suatu jasa. Itu hanya satu amanah.
Namun, ketika usia menjangkau senja, aku pasti semakin
sepi......aku akan mengulang-ulang kisah lama yang penuh nostalgia. Diulit oleh
kenangan indah musim lalu, ketika dia begitu manja di sisi. Aku ingin mendengar
lagi suaranya yang dulu-dulu. Mengadu tentang ini dan itu. Bercerita dan
berkisah, dengan lidahmu yang petah dan lagak yang penuh keletah.
Pergilah. Aku rela. Allah bersamamu.
Doaku mengiringi setiap langkah di alam rumah tanggamu
nanti. Moga si dia akan menjaganya seperti aku menjaga ibunya, umminya.
Aku akan bersangka baik. Justeru Allah itu menurut sangkaan
hamba-hamba-Nya. Aku bersangka baik, insyaAllah, dia dan aku akan mendapat yang
terbaik..AMIN..
0 comments:
Post a Comment