Wednesday, 29 February 2012

Tuesday, 28 February 2012

Kaedah untuk menarik perhatian masyarakat dalam berdakwah

Untuk berdakwah, kita perlu ada kaedahnya tersendiri. Bagaimana kita hendak memulakan sesuatu kerja jika kita tidak mempunyai cara atau kaedah untuk bertindak? Tentu sahaja kerja tersebut akan menjadi kucar kacir. Begitu juga ketika kita hendak memulakan sesebuah perjalanan dakwah. Para da’ie harus bersiap sedia dengan kaedah penyampaian tersendiri untuk menarik perhatian masyarakat. Bagaimana uslub atau cara menyampaikan dakwah? Di antara cara atau kaedah untuk menarik perhatian masyarakat kepada ajaran Islam adalah :
1.    Mempermudahkan dan menyatakan kelonggaran yang diberikan syarak :
Masyarakat Islam diberi pilihan dengan tidak ada paksaan untuk menerima Islam. Mereka boleh menilai dengan melihat kepada keperluan fitrah semulajadi yang ada dalam diri mereka. Islam sentiasa membenarkan pendakwah mempermudahkan  dan memberikan kelonggaran dalam beberapa hal kepada bukan Islam dan saudara baru.
2.    Dakwah bil hal atau dakwah dengan perbuatan :
Setiap perilaku dan amalan harian para pendakwah dan umat  Islam hendaklah mencerminkan kesucian Islam yang menjamin kesejahteraan dan ketenteraman sejagat.  Setiap tindakan akan dilihat oleh masyarakat bukan Islam untuk dinilai sebelum menerima Islam. Tingkah laku mestilah berasaskan nilai tauhid, mengikut syariat Islam serta menggambarkan kesempurnaan Islam.
3.    Dakwah melalui pendidikan :
Pendidikan Islam sendiri merupakan proses mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia berasaskan nilai-nilai fitrah insaniah. Proses pendidikan Islam ini akan membina akhlak dan membawa kepada kehidupan yang sempurna. Dakwah secara ini perlu merujuk kepada cara dakwah Rasulullah s.a.w. di peringkat awal Islam yang lebih  memberi penekanan kepada psikologi, rohani dan perasaan.


4.    Dakwah melalui ziarah :
Ziarah merupakan satu usaha mendampingkan diri dengan bukan muslim terutama pada waktu-waktu yang diperlukan seperti apabila mereka sakit, bermasalah, mahukan pertolongan dan seumpamanya. Ziarah boleh melapangkan dada mereka dan menenangkan mereka.
5.    Dakwah melalui pergaulan dan lain-lain :
Islam menggesa umatnya, khususnya para pendakwah, supaya mewujudkan suasana pergaulan yang baik dan menunjukkan jalan yang lurus kepada masyarakat termasuk  yang bukan Islam. Para pendakwah harus mengenali latar belakang masyarakat yang hendak diseru itu supaya dapat memesrakan pergaulan dan melancarkan proses berurusan dengan mereka. 




NAJIHAH BINTI MAZLAN (TH 0016)

Mutiara Hikmah buat Para Da'ie

Persiapan sebagai seorang Da’ie
Matlamat dakwah adalah membawa seluruh manusia untuk tunduk dan beribadah kepada Allah S.W.T. agar terjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat. Pelbagai bentuk medium atau cara boleh diaplikasikan untuk menyampaikan dakwah seiring dengan perubahan zaman. Namun, sebagai seorang pendakwah, mereka harus ada persiapan untuk memikul tugas seorang da’ie. Berikut adalah persiapan seorang da’ie yang diambil dari petikan Surah Al-Muzammil.

1.    Bangun dan mendirikan solat malam (qiamullail) :
Pada permulaan Surah Al-Muzammil ada menceritakan tentang persiapan yang Allah S.W.T tunjukkan pada Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang pendakwah. Pada peringkat awal penurunan surah ini menceritakan tentang kewajipan solat malam ke atas Nabi s.a.w. Firman Allah S.W.T :
$pkšr'¯»tƒ ã@ÏiB¨ßJø9$# ÇÊÈ ÉOè% Ÿ@ø©9$# žwÎ) WxÎ=s% ÇËÈ ÿ¼çmxÿóÁÏoR Írr& óÈà)R$# çm÷ZÏB ¸xÎ=s% ÇÌÈ
“Wahai orang yang berselimut (Muhammad)! Bangunlah (untuk solat) pada malam hari kecuali sebahagian kecil, (Iaitu) separuhnya atau kurang sedikit dari itu,”(Surah Al-Muzammil : 1-3)
Ini menjadi bukti bahawa Nabi Muhammad s.a.w juga menghadapi proses persiapan sebagai seorang da’ie. Seorang da’ie haruslah mempunyai persiapan yang baik agar tidak mudah kalah dalam medan dakwah nanti. Baginda sendiri diperintahkan oleh Allah S.W.T supaya bangun pada waktu malam dan mendirikan solat. Sebagai seorang Islam, solat dilaksanakan kerana ia adalah perintah daripada Allah S.W.T. yang diwajibkan kepada kita. Allah S.W.T. telah menyebut mengenai solat sebanyak 92 kali di dalaam al-Quran dalam 32 surah yang berbeza. Namun, pergerakan yang kita lakukan semasa solat bukanlah pergerakan yang biasa. Allah S.W.T. telah mengurniakan pelbagai manfaat kesihatan hasil daripada gerakan-gerakan solat tersebut. Kita haruslah mempunyai panduan serta persediaan untuk bangun dan solat malam. Berikut adalah panduan qiamullail yang boleh kita kongsikan bersama, :
·         Bangun pagi, sapu muka dan berdoa.
·         Bersugi
·         Antara solat sunat yang boleh dikerjakan seperti solat sunat tahajud, solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat, dan ditutup dengan solat sunat witir. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Solat yang paling baik dikerjakan selepas solat fardhu ialah solat sunat tahajud pada waktu malam.” (Riwayat Muslim)
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam dan kerjakan sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu ; semoga Allah membangkit dan menempatkan kamu di tempat terpuji pada hari akhirat kelak.” (Surah al-Isra’ 17 : 79)
·         Memperbanyakkan istighfar dan berdoa kerana ketika itu antara waktu yang mustajab berdoa.
·         Sederhanakan suara ketika membaca bacaan dalam solat dan berdoa.
·         Merintih dan menangis di hadapan Allah S.W.T.
·         Sementara menunggu waktu Subuh, bolehlah diisi dengan membaca al-Quran dan berzikir.
·         Amalan tidak semestinya perlu banyak, yang penting istiqamah.
Semoga kita dapat sama-sama beramal dengan panduan yang telah dikongsikan bersama ini.




2.    Menjadikan Al-Quran sebagai teman :

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Atau lebih daripada (seperdua) itu dan bacalah al-Quran itu dengan tartil, sesungguhnya kami menurunkan wahyu yang berat (al-Quran) kepadamu. Sesungguhnya, bangun malam (bersolat dan beribadat) itu lebih kuat (mengisi jiwa) dan (bacaan al-Quran pada waktu itu) lebih berkesan.” (Surah al-Muzammil : 4-6)
Al-quran haruslah dijadikan sebagai bahan rujukan utama para da’ie agar mereka mampu berhadapan dengan masyarakat dalam keadaan yang yakin. Mereka juga akan lebih mampu memjawab segala pertanyaan dan member hujah pada masyarakat kerana di dalam al-Quran sudah lengkap dengan pelbagai jawapan bagi merungkai persoalan mereka. 


NAJIHAH BINTI MAZLAN
TH 0016

- I . M . A . N -

Iman (bahasa Arab:الإيمان) dari segi bahasa bererti percaya. Perkataan iman (إيمان) diambil dari kata kerja 'aamana' (أمن) -- yukminu' (يؤمن) yang bererti percaya atau membenarkan.
Perkataan iman yang bererti membenarkan ada disebutkan dalam al-Quran, di antaranya dalam Surah At-Taubah ayat 62 yang bermaksud: "Dia (Muhammad) itu membenarkan (mempercayai) kepada Allah dan membenarkan kepada para orang yang beriman."  Iman itu ditujukan kepada Allah, kitab-kitab dan Rasul. Iman itu ada dua iaitu Iman Hak dan Iman Batil. Definisi Iman berdasarkan hadis merupakan tambatan hati yang diucapkan dan dilakukan merupakan satu kesatuan. Iman memiliki prinsip dasar segala isi hati, ucapan dan perbuatan sama dalam satu keyakinan, maka orang-orang beriman adalah mereka yang didalam hatinya, disetiap ucapannya dan segala tindakanya sama, maka orang beriman dapat juga disebut dengan orang yang jujur atau orang yang memiliki prinsip, atau juga pandangan dan sikap hidup. Para imam dan ulama telah mendefinisikan istilah iman ini, antara lain, seperti diucapkan oleh Imam Ali bin Abi Talib: "Iman itu ucapan dengan lidah dan kepercayaan yang benar dengan hati dan perbuatan dengan anggota." Aisyah r.a. berkata: "Iman kepada Allah itu mengakui dengan lisan dan membenarkan dengan hati dan mengerjakan dengan anggota." Imam al-Ghazali menguraikan makna iman: "Pengakuan dengan lidah (lisan) membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."



NAJIHAH BINTI MAZLAN (TH 0016)

Monday, 27 February 2012

KHAS BUAT TEMAN - TEMANKU..(^_^)

NUKILAN OLEH : NURUL IZZATI BINTI CHE AZNAN (SY 1077 )



Bismillahirrahmanirrahim..
Teman,
Atas tautan ukhwah
Juga atas satu dasar yang kukuh
Nan Aqidah Muslim,
Aku melayangkan warkah ini buatmu teman..
Wahai temanku an nisa
Engkau sedia maklum,
Engkaulah hiasan dunia,
Lantaran fitrah itu,
Engkau seringkali menjadi fitnah lelaki itu,
Dan sememangnya itu bukan kesalahanmu,
Tetapi itulah hakikat kejadianmu..
Wahai temanku ar-rijal,
Aku mengetahui kesepian hati seorang lelaki,
Yang seringkali mengimpikan seorang teman di sisi,
Dan tentulah temanmu yang diimpi,
Seorang serikandi..
Wahai temanku an-nisa
Aku mengetahui halusnya perasaanmu,
Engkau ingin disayangi,
ingin dimanjai,
Engkau juga ingin menyayangi
juga ingin memanjai..
Dan aku juga tahu,
Temanmu ar-rijal juga begitu..
Tetapi temanku an-nisa
Ketahuilah engkau,
Bercinta itu fitrah,
Tetapi janganlah engkau cemarkannya dengan fitnah.
Kalau benar engkau mengasihinya,
kasihinyalah kerana Pencipta Fitrah,
Dan jika engkau benar mengasihinya
KeranaNya,
Engkau tak kan bisa,
Melunakkan soutul engkau,
Engkau tidak kan bisa,
Melemparkan panahan menggodamu,
Kerana engkau tahu,
Itu bisa menggoyahkan iman seorang ar-rijal!
Dan engkau mengetahui,
Dia punya 9 akal, dan 1 nafsu,
Namun nafsu itu sentiasa beraja,
Dan engkau tidakkan bisa menjadikan sang nafsu itu,
Nafsu raja yang menggila!
Kerana engkau tahu sahabatku an nisa
Dia kan terjerumus ke dalam api yang membara
Andai dia menjadi hamba raja nafsu yang gila..
Adakah benar engkau mengasihinya keranaNya?
Wahai temanku ar-rijal
Andai engkau mencintainya,
Cintailah ia keranaNya,
Letakkan lah Ia melebihi cintamu kepada dia,
Andai engkau mengasihinya keranaNya,
Engkau tidakkan bisa,
Mengajaknya bermukah di taman sepi,
Kerana engkau tahu,
Dia punya 9 nafsu, 1 akal,
Tetapi manakan mampu 1 akal menguasai 9 nafsu?
Andai engkau mengasihinya keranaNya,
Engkau tidakkan bisa menyentuhnya
Walaupun yang ringan-ringan,
Kerana engkau tahu,
Itu sudah MENGHAMPIRI ZINA!
Dan engkau tahu bukan ?
Zina tempatnya di api yang menjunam?
Apakah engkau benar mengasihinya,
Andai kau relakan dia terjun ke NERAKANYA?
Sahabatku an-nisa
Sahabatku ar-rijal
Aku mengasihimu LILLAH,
Lantaran itu,
Dengarlah sedikit pesan ikhlas ku LILLAH,
Manusia mana yang mampu hidup tanpa cinta?
Bercinta tak salah,
Tetapi letakkan cintamu kepadaNya yang hakiki,
Dan engkau kan merasa cinta manusia ..
Sedikit cuma..
Andai Dia yang engkau dahului,
Engkau takkan gelisah,
Andai dia tidak mengirim sebarang sms,
Andai suaranya tidak didengar walau teknologi didepan mata,
Engkau tidakkan rindu,
Andai sehari tidak besua,
Engkau tidakkan kecewa andai dia terlupa
mengatakan I love you.
Kerana engkau percaya..
DIA yang terbaik..
Lantaran DIA yang terbaik
DIA akan menentukan yang terbaik untukmu,
Dan andai dia yang terbaik untukmu,
DIA akan satukan juga hatimu dengan hatinya..
Dan itulah sahaja melalui PERNIKAHAN
Dan itulah yang terbaik buat kalian
Kalau ada jodoh tak ke mana..
Yakinlah!
Apakah benar engkau meyakini takdirNya?
Maafkan aku teman,
Bicaraku penuh ketegasan,
Aku tidak membencimu,
Tetapi aku membencimu munkar itu,
Dan kerana aku takutkan api yang menjunam itu,
Aku menegur yang mana mampu,
Kerana aku takut,
Andai aku tidak menegurmu,
Kita kan sama-sama meredah lautan api,,,
Yang terlalu pedih, yang terlalu seksa, yang terlalu AZAB!!!
Nauzubillah min zalik
Sama-samalah teman
Pagarilah imanmu
Agar si iman itu tidak terlepas
Cintailah DIA..
Serahkan segalanya pada DIA..
Kerana DIA tahu yg terbaik
Sedangkan kita tidak.
ALLAHU A’LAM.
Akhirul kalam
Letakkan si DIA dalam hatimu,
Engkau akan merinduiNYA
Andai harimu tiada ingatan kepadaNYA
Engkau akan gelisah andai DIA
Tidak mendengar rintihanMu,
Engkau kan rindu
Andai DIA tidak memandangmu,
Engkau kan tak keruan andai
Doamu ditolak..
Dan itulah cinta hakiki..
Kerana engkau yakin
Di sana adanya sebuah
Pertemuan di taman Syurga yang Indah..
Bercintalah kerana ALLAH..
Dan Engkau akan merasakan
Erti bercinta yang sebenar
Insya ALLAH!

SENYUM :)

Senyum itu sedekah, senyum itu awet muda, senyum itu kemesraan, senyum itu pengikat sahabat, senyum itu penambah kasih, senyum itu pelaris jualan, senyum itu pengiktirafan, senyum juga pemanis wajah, senyum menambahkan kecantikan dan yang pastinya senyuman itu membawa kebaikan.

Senyuman memiliki makna yang sangat mendalam dalam hidup seseorang. Akan tetapi,penerima senyuman kadang kala selalu salah faham akan senyuman yang diberi oleh pemberi senyuman. Penerima seharusnya berfikiran terbuka. Penerima senyuman juga harus faham bahawa senyuman yang diterima itu adalah sedekah daripada pemberi senyuman. Jangan pula dianggap orang yang memberi senyuman itu menyindir atau sewel atau nk mengurat.

Malangnya, pada masa sekarang ramai yang meletakkan harga yang mahal untuk senyuman mereka. Tambahan pula untuk orang yang tidak dikenali. Tidakkah mereka sedar senyuman ialah percuma tapi amat berharga. Ia menjadikan pemberinya kaya dan tidak pula menjadikan penerimanya miskin.  Bukannya sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri yang menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana yang tidak tenang ketika dalam kekusutan tetapi masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Tidakkah senyum itu indah?

Senyum juga mampu untuk menghilangkan kekusutan jiwa atau masalah di tempat kerja.Jika si isteri menghadiahkan senyuman manis kepada si suami yang baru pulang dari kerja,si suami akan turut tersenyum kerana senyuman itu penawar hati. Ia dapat melahirkan kemesraan di dalam sesebuah perhubungan. Ia juga dapat melahirkan kegembiraan dan kebahagiaan. Tidakkah senyum itu indah?

Indahnya senyuman seorang ibu walaupun fizikalnya yang menanggung sengsara dan kesakitan ketika membesarkan anak-anaknya untuk menjadi seorang yang berguna. Senyuman seorang ibu juga mampu membuatkan anak-anaknya terus bersemangat untuk mengejar cita-cita. Ini kerana senyuman seorang ibu adalah senyuman yang paling ikhlas dan anak-anak akan terus berusaha untuk membuat si ibu terus tersenyum. Tidakkah senyum itu indah?

Apa sebab lagi untuk kita tidak mengukirkan senyuman? Pada hakikatnya  kita juga sangat memerlukan senyuman untuk menghilangkan kesedihan dan kekusutan dihati. Sikap sombong dan angkuh telah menyekat senyuman lahir di wajah kita. Oleh itu,marilah kita menghindari sikap sombong dan angkuh ini. Ukirlah senyuman yang paling manis. Senyumlah kepada orang yang dikenali ataupun tidak dikenali. Selain daripada sedekah,senyuman itu ibarat lukisan rahsia hati. Ia tidak menyakitkan, tetapi menjadi penawar hati yang sakit.

OLEH :ABDULLAH NAZIH ALWAN BIN MOHD ROKHIBI ( UD 0617 )

p/s : post ni ceq buat sendiri tau.cuma perenggan pertama tu copy sbb ceq xpandai buat pendulu yang menarik lagi.HAHA.bukan 100% la ori tu..ceq amek idea dari incek google dan hurai sendiri..dalam 70% ori agaknya..haha.selamat membaca!


Saturday, 25 February 2012

Srikandi Islam


RABIATUL-ADAWIYAH - PERINDU CINTA ILAHI

Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan. 

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali. 

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat. 

Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam. 

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya. 

Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
 
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
 
Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur. 

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita. 




WAN NURSAKINAH WAN ADNAN BA 0091

DERMA DARAH :)

Assalamualaikum .. Bila disentuh soal darah, jarum, suntikan, pasti ramai yang gerun dan takut. Itulah juga apa yang dirasai oleh diri saya sendiri. Saya ingin berkongsi pengalaman tentang menderma darah. Kali pertama saya menderma darah adalah pada usia 17 tahun. Ketika itu, boleh dikatakan hampir semua rakan saya takut untuk menderma darah mahupun menjalani pemeriksaan kesihatan. Saya akui, saya turut berasa takut. Namun, saya cuba beranikan diri dan mendaftar sebagai penderma.

Waktu nama saya dipanggil, getar dalam hati Tuhan saja yang tahu. Lebih mendebarkan apabila darah saya tidak mengalir dengan lancar semasa proses pengambilan darah. Lengan kanan bertukar kebiruan seakan lebam dan saya mula berasa sakit. Mujurlah doktor dan jururawat di situ baik-baik belaka. Saya diminta rehat dan tidak meneruskan proses tersebut. Apa yang cuba saya katakan di sini, beranikanlah diri anda untuk mencuba sesuatu yang baru bagi anda. Perasaan saya pada waktu itu memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Pertama kali mencuba perkara yang baru dan berjaya melakukannya walaupun timbul masalah sedikit.

Ingatlah, setiap kali anda mencuba sesuatu, anda akan pelajari benda baru. Lebih-lebih lagi jika anda melakukan sesuatu yang mampu mengubah hidup orang lain.


p/s : Masjid Telipot sering menganjurkan program derma darah setiap 3 bulan. Datanglah :)


WAN NURSAKINAH WAN ADNAN BA 0091

Keberanian Rasulullah S.A.W

Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang termulia dan amat berani.
Berkata Saiyidina Ali r.a.: Saya dapati diri saya pada hari peperangan Badar bersama-sama orang yang melindungi Nabi s.a.w. sedang tempatnya paling hampir sekali kepada musuh. Ketika itu Rasulullah s.a.w di antara orang-orang yang paling bersemangat sekali ketangkasan dan keberaniannya.
Saiyidina Ali menceritakan lagi tentang peribadi Rasulullah s.a.w., katanya: Ketika pertempuran menjadi gawat, dan musuh telah tercampur aduk dengan kami, kami pun terus berlindung diri kepada Rasulullah s.a.w., maka ketika itu tiada seorang pun yang paling hampir kepada mush selain diri Baginda s.a.w. Apabila kaum musyrikin menyerbu ke arahnya, Baginda pun segera turun dari tunggangan baghalnya seraya bersajak:
Aku Nabi bukannya pendusta
Aku anaknya Abdul Mutalib.
Pada saat dan ketika itu, tiada seorang pun yang nampak lebih bersemangat daripada diri Baginda s.a.w. sendiri.






WAN NURSAKINAH WAN ADNAN BA0091

Tentang Wanita :)

SUNBLOCK CREAM


SUNBLOCK CREAM ini diracik menggunakan bahan pilihan, mengandung Pelembab, Anti Ultraviolet (anti UV ) A dan B, Tabir Matahari . Selain sebagai cream treatment, Sunblock Cream ini dapat digunakan sebagai make up base. Teksturnya sangat ringan, menyatu dengan kulit, seakan menjadi lapisan kulit kedua. Tampilan kulit menjadi lebih halus dan 'glowy'. Tidak lengket, tidak berminyak dan tidak menyebabkan komedo / jerawat. Sangat cocok untuk type kulit normal yang cenderung kering

Fungsi SunBlock Cream :
1. Mencegah timbulnya kerutan
2. Mencegah kulit menjadi hitam dan kusam akibat radikal bebas
3. Sebagai Antioksidan
4. Sebagai Pelembab, sehingga kulit tampak lebih halus dan elastis
5. Mencegah terjadinya flek/noda hitam
5. Sebagai Make up base

Cara pakai :

* Oleskan tipis - tipis pada wajah yang telah dibersihkan sebelum menggunakan bedak / make up pada saat akan beraktifitas di luar ruangan pada pagi / siang hari

WAN NURSAKINAH BT WAN ADNAN BA0091

Tonggak kedua Rukun Negara perlu disuburkan

ABDULLAH NAZIH ALWAN BIN MOHD ROKHIBI ( UD 0617 )

KEBELAKANGAN ini timbul berbagai tindakan yang dilihat seperti langsung tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu. Ada antara tindakan itu bukan sahaja dianggap tidak menghormati undang-undang, malah ada yang sanggup mencemarkan institusi raja melalui perbuatan, misalnya mengadakan demonstrasi di hadapan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak atau melalui persidangan Dewan Undangan Negeri. Perlu difahami bahawa Raja-Raja Melayu adalah simbol dan keagungan serta kedaulatan negara ini.

Jika dilihat kembali semasa proses kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah mengingatkan semua pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di Selangor supaya memastikan masjid tidak digunakan sebagai gelanggang politik.

Tetapi yang terjadi sebaliknya pula. Pihak pembangkang mengambil sikap tidak endah titah Sultan Selangor. Menurut laporan akhbar-akhbar utama, Menteri Besar Kelantan yang turut berkempen di Hulu Selangor mengatakan larangan menggunakan masjid dan surau untuk berpolitik sebagai karut dan ia adalah hasil peninggalan penjajah. Selanjutnya beliau dilaporkan sebagai berkata politik boleh disebut atau dibincang di mana-mana. Azan yang dilaungkan bilal adalah suatu politik kerana memanggil orang ramai mengerjakan solat di masjid. Selanjutnya beliau berkata, Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengasingkan antara agama dan politik.

Jika diteliti, titah Sultan Selangor ada baiknya. Larangan berpolitik di masjid dan surau dikhuatiri akan mendatangkan lebih banyak masalah (keburukan) dan kemudaratan berbanding dengan kebaikan terhadap masyarakat. Ini kerana pada masa kini, masyarakat Melayu Islam bukan sahaja berpecah belah, malah sanggup berpuak-puak hanya disebabkan oleh fahaman politik yang berbeza. Tentu kita masih belum lupa, suatu ketika dahulu terdapat isu-isu yang merendahkan martabat Islam seperti sembahyang dua imam dan isu kafir-mengkafir.

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju masjid digunakan sebagai lokasi untuk kempen politik. Selanjutnya beliau berkata, sekiranya kempen politik atau untuk apa sahaja aktiviti parti dibenarkan, ia akan menimbulkan masalah dan perpecahan akan lebih teruk berlaku dalam masyarakat.

Terkini berlaku pula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah apabila dua soalan bertulis yang dikemukakan oleh seorang ahli DUN dari Pas yang bertanya sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam negeri dihormati oleh Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.

Sepatutnya, soalan-soalan yang berkaitan dengan institusi Raja-Raja Melayu yang menyentuh mana-mana Sultan atau Raja Melayu yang boleh mendatangkan satu polemik pada masa depan dihindarkan daripada dibincangkan di dalam sidang DUN. Pemimpin-pemimpin politik tidak kira sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang terutamanya pemimpin-pemimpin Melayu seharusnya menjadi benteng dan pembela merangkap 'hulu balang" yang mempertahankan kedaulatan agama Islam dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Rakyat negara ini pada semua peringkat umur dan bangsa sewajarnya tidak lupa dan maklum dengan tonggak kedua Rukun Negara iaitu 'Kesetiaan kepada Raja dan Negara'. Hari ini, rakyat dilihat seolah-olah sudah lupa kepada Rukun Negara.

Usaha-usaha menyemai maksud yang tersirat pada setiap tonggak Rukun Negara harus dibuat dengan kadar segera melalui kempen-kempen di media cetak dan media elektronik supaya setiap rakyat di negara ini dapat menjiwai dan mendalaminya.

Setiap tonggak Rukun Negara yang diamalkan sejak dahulu telah berjaya menjamin kestabilan negara dan keharmonian hubungan kaum. Jangan ada lagi pihak yang cuba mempertikaikan, malah menghina prinsip yang telah diterima dan telah termaktub itu.

REVOLUSI SISTEM PENDIDIKAN


Oleh ABDULLAH NAZIH ALWAN BIN MOHD ROKHIBI ( UD 0617 )

SETELAH menjajah hampir dua abad, kuasa kolonial Inggeris bukan sahaja mewariskan kepada kita sistem berpolitik dan pentadbiran negara, tetapi juga sistem pendidikan mereka. Setelah 50 tahun merdeka, tidak banyak perubahan yang dilakukan di dalam sistem pendidikan kita kecuali
menokok tambah sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh British sejak tahun 1819. Antaranya, membina falsafah pendidikan negara yang dikatakan beracuankan Malaysia melalui pengenalan KBSR dan KB*** pada tahun 1980an. Manakala sebahagian besar sistem pendidikan (dasar pendidikan, struktur organisasi dan aktiviti institusi) masih lagi mengekalkan warisan pendidikan kolonial. Mungkin ada yang tidak bersetuju khususnya di kalangan pegawai Kementerian Pelajaran, tetapi jika diteliti, hakikat ini tidak dapat dinafikan. Antara yang ketara, kita masih mengekalkan sistem pendidikan vernakular berasaskan etnik, mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan ilmu sosial dan teknikal. Pengenalan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) walaupun dilihat seperti cuba melengkapi kelemahan ini, perlaksanaanya masih belum membuktikan apa-apa kejayaan setakat ini. Soalnya, apakah mewarisi sistem kolonial itu menjadi satu kesalahan? Adakah kalau kita belum mempunyai sistem pendidikan beridentiti Malaysia itu satu kekurangan? Atau tidak bermutukah pendidikan kita jika tidak menggunakan model pendidikan kolonial British.Persoalan ini sebenarnya sukar dijelaskan secara langsung tetapi perlu difahami terlebih dahulu latarbelakangnya. Sebagai contoh, sistem pendidikan vernakular misalnya walaupun sering dikatakan menjadi duri dalam daging untuk membina perpaduan telah berevolusi selama lebih 150 tahun dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan sudah menjadi salah satu tradisi di negara kita. Lihat misalnya jadual 1 hingga 3 berkaitan sekolah mengikut etnik di Malaysia pada tahun 1996-2006.

Setelah 50 tahun merdeka, sistem pendidikan masih mempunyai beberapa kekurangan yang sangat perlu kita selesaikan. Setelah mengumpul dan meneliti beberapa dokumen penyelidikan serta kertas perbincangan akademik berkaitan pendidikan kebangsaan, penulis dapat menyenaraikan lima isu utama pendidikan yang perlu direvolusikan oleh pemimpin di peringkat Kementerian Pelajaran. Pertamanya, Kementerian Pelajaran perlu meneliti semula secara menyeluruh kandungan kurikulum yang semakin tidak relevan di sekolah. Bayangkan, mengapa di dalam suasana pelajar sudah boleh mengakses kepada maklumat melalui Internet, kandungan kurikulum sejarah khususnya zaman kerajaan pra sejarah masih dimasukkan dengan begitu mendalam di dalam buku teks sejarah. Pada masa yang sama, sejarah tahun 1970-an dan 1980-an sangat kurang disentuh di dalam kurikulum sejarah. Malah subjek sejarah juga sepatutnya disepadukan dengan kemahiran pembelajaran multibudaya sesuai dengan kehidupan masyarakat plural di Malaysia.


Sejarah tidak hanya dipelajari kerana kandungannya sahaja tetapi juga untuk memahami kumpulan etnik serta kumpulan agama yang lain agar hubungan etnik di kalangan rakyat akan sentiasa terjalin dengan harmoni.Keduanya, kita juga menghadapi krisis pembangunan pendidikan bahasa. Walaupun program memperkasakan Bahasa Inggeris telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah namun hanya pada akhir tahun ini saja keputusan akan diketahui sama ada projek ini akan diteruskan atau tidak. Bagaimanapun jelas sekali di peringkat masyarakat massa, para guru, penyelidik, ibubapa serta pelajar merasakan penggunaan Bahasa Inggeris melalui subjek Matematik dan Sains bukanlah suatu keputusan yang bijak. Selain jurang antara pelajar di bandar dan luar bandar semakin melebar dari segi pencapaian, jurang pencapaian juga semakin ketara di kalangan pelajar melayu dan bukan melayu. Malah pelajar melayu khususnya, minat terhadap matapelajaran Sains dan Matematik juga dikatakan menurun selepas dasar ini diperkenalkan sejak lima tahun lepas. Pada masa yang sama, kita juga mengalami krisis kemerosotan keupayaan Bahasa Melayu di kalangan para pelajar Melayu dan bukan Melayu. Sebagai bahasa perpaduan dan juga bahasa komunikasi, jelas sekali bahawa Bahasa Melayu semakin hilang sengatnya. Kalangan remaja Melayu khususnya di bandar sudah mulai kurang bertutur bahasa Melayu kerana cara hidup yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris. Manakala di kalangan remaja bukan Melayu hanya menggunakan bahasa itu proses pembelajaran di bilik darjah. GemarMereka lebih cenderung untuk mengunakan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris di dalam kehidupan harian. Malah pelajar juga dikatakan seringkali gemar menggunakan bahasa Melayu 'rojak' dan tidak berkemahiran menggunakan bahasa Melayu standard di dalam perucapan mereka. Apakah kita rasa selesa dan tidak kisah dengan keadaan seperti ini berlaku kepada remaja kita? Maka itu, pihak kementerian perlu meneliti semula keupayaan serta meningkatkan kapasiti ruang untuk penggunaan bahasa Melayu merentasi kurikulum yang lain. Selain itu, pendidikan menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan sistematik juga perlu dikemaskan kembali. Ketiganya, keperluan rasa keinsafan dan keinginan bersungguh-sungguh khususnya di kalangan para pegawai tertinggi Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan pembangunan pendidikan di kalangan pelajar di pendalaman, luar bandar serta setinggan di bandar.

Peruntukan khas juga sememangnya diperlukan untuk membantu kumpulan ini secara berterusan. Kumpulan ini sebenarnya memerlukan lebih daripada apa yang ada sekarang. Di atas dasar pendidikan untuk semua serta pendemokrasian pendidikan, kumpulan yang kurang bernasib baik kerana kemiskinan ibu bapa perlu dibantu sehingga mereka dapat keluar daripada lingkungan kedaifan untuk mendapat pendidikan. Perlunya satu dasar dan strategi yang besar untuk menyelesaikan isu ini di pihak Kementerian Pelajaran. Sehingga kini, tiada satupun strategi yang dapat dinobatkan sebagai berjaya meningkatkan peluang pendidikan bagi mereka yang tinggal di pendalaman khususnya Sabah, Sarawak serta Kelantan. Begitu juga dengan kumpulan pelajar di luar bandar yang hidup serba kekurangan dan juga anak-anak di kawasan setinggan yang tertekan untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan berkualiti. Isu ke empat ialah penekanan yang keterlaluan terhadap sains dan teknologi tidak akan melahirkan keseimbangan individu seperti yang diharapkan di dalam falsafah pendidikan negara. Penekanan juga harus diberikan kepada pembangunan estetika dan seni budaya kepada para pelajar. Ilmu muzik, tarian, seni tampak dan seni halus perlu digabungkan di dalam kurikulum sekolah agar para pelajar memiliki jiwa yang halus serta menghargai kehidupan dan budaya. Malangnya oleh kerana kesibukan pihak sekolah mengajar sains dan teknologi akhirnya menghasilkan insan yang bukan sahaja tidakmempunyai minat di dalam menghargai seni dan budaya tetapi jugamenipiskan jati diri serta identiti bangsa.

Pihak kementerian perlulah menyusun semula kurikulum agar lebih holistik dan menimbangkan pembangunan pelajar secara menyeluruh dan seimbang. Akhir sekali, kita perlukan revolusi pendidikan yang besar jika ingin melihat Islam sebagai agama yang memandu kehidupan anak-anak kita apabila mereka dewasa nanti. Kolonialisme telah berjaya memecahkan kehidupan orang Melayu kepada segmen-segmen yang kecil dan dilihat berasingan antara satu sama lain. Orang Melayu pada akhirnya dibentuk untuk mengamalkan sistem pendidikan ala barat tetapi kemudiannya kembali kepada Islam apabila tiba waktu untuk beribadat. Kejayaan kolonialisme telah menyebabkan kita memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan arus perdana di negara kita. Peranan pendidikan agama telah dikesampingkan dan diserahkan kepada pihak swasta atau orang perseorangan untuk mengajarkan pendidikan Islam kepada anak-anak melalui sekolah agama swasta atau belajar agama di rumah-rumah guru agama. Kecuali di negeri Johor yang berjaya menguruskan sistem pendidikan agama, di negeri lain termasuk di Kelantan dan Kedah yang terkenal dengan sistem pendidikan pondok pada suatu masa lalu, kini pendidikan agama diletakkan di dalam kelas yang lebih rendah daripada pendidikan arus perdana. Manakala di sekolah, masa yang diperuntukan untuk pendidikan agama sekitar empat hingga enam jam seminggu adalah terlalu kecil dan tidak memadai. Maka pendekatan yang lebih radikal, drastik dan berani perlu dilaksanakan supaya pendidikan Islam ditadbir urus secara menyeluruh dan menjadi teras kepada sistem pendidikan arus perdana oleh pihak Kementerian Pelajaran. Walaupun isu-isu di atas sentiasa dibualkan di kalangan rakyat, sejauh manakah tindakan telah diambil di dalam menangani isu ini. Tindakan secara sekali sekala atau ad hoc bukan sahaja akan menemui kegagalan tetapi juga seringkali menimbulkan keraguan di pihak ibu bapa.

Itulah sebabnya perlaksanaan konsep Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK), pendidikan nilai dan kewarganegaraan serta perlaksanaan Bahasa Inggeris di dalam matematik dan sains sering ditempelak, tidak lain dan tidak bukan kerana sifatnya yang ad hoc dan tidak dirancang secara teliti dan berhati-hati. Walaupun pihak Kementerian Pelajaran telah berjaya meningkatkan keupayaan pengurusan pendidikan, latihan guru serta lain lain hal yang berkaitan dengan pendidikan tetapi sehingga kini perbincangan masyarakat massa menunjukkan lima isu di atas sudah sampai ke tahap yang perlukan pengubahsuaian atau lebih baik merevolusikan sistem pendidikan untuk kebaikan anak-anak cucu pada masa depan.