SIAPA yang tidak berbangga dipanggil dengan gelaran Tuan Haji ataupun Puan Hajjah di usia muda. Namun begitu gelaran yang seakan sinonim dengan golongan berumur dan berpencen ini jarang dibicarakan oleh golongan muda. Ramai daripada kalangan mereka lebih seronok berfoya-foya, bersosial dan mengejar kerjaya berbanding memikirkan tentang haji dan ibadat-ibadat yang lain.
Berbagai alasan sering dikemukakan sebagai dalih untuk pergi haji. Antara yang popular dan acapkali dikatakan seperti belum sampai seru, usia masih muda dan banyak dosa lalu tidak layak untuk bergelar haji dan hajjah. Setiap individu Muslim selayaknya menyedari betapa ibadat haji termasuk rukun Islam yang ke-5, difardukan sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam yang baligh, berakal, merdeka dan berkuasa. Ini termasuklah berkemampuan menyediakan kos perjalanan pergi balik, sihat tubuh badan dan berkelapangan dari segi masa. Selain itu disyaratkan juga ada bekalan yang mencukupi untuk diri sendiri dan tanggungan di tanahair. Justeru itu golongan muda yang sudah berkerjaya dan berkemampuan untuk menunaikan kefarduan ini diharap tidak berlengah mempersia-siakan usia muda, kekuatan fizikal dan kesihatan anugerah Ilahi untuk mengabdikan diri kepadanya. Alasan masih muda belia hendaklah dijadikan motivasi untuk berjihad dengan wang ringgit, masa dan tenaga untuk menyahut panggilan menunaikan haji yang telah dilaungkan sejak zaman Nabi Ibrahim A.S. lagi. Inilah juga kesempatan buat golongan muda membersihkan diri daripada pelbagai dosa dan sifat mazmumah yang sering membelenggu diri.
Menyelesaikan segala kerja-kerja haji juga bukanlah perkara yang mudah. Dengan jumlah tetamu Allah SWT yang mencecah hampir 3 juta orang pada satu-satu masa, ditambah lagi dengan keadaan cuaca ekstrim serta persekitaran berhabuk dan kurang selesa merupakan cabaran dan ujian yang umumnya mampu dihadapi oleh golongan muda. Walaupun tidak dinafikan terdapat golongan berumur yang kadang-kadang lebih bertenaga daripada orang muda.
Kemuncak pelaksanaan ibadah haji yang bermula dengan amalan wukuf di Arafah pada hari ke-9 Zulihijjah, diikuti dengan bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina, melontar Jamrah Aqabah dan melontar ketiga-tiga jamrah Ula, Wusta dan Kubra adalah waktu yang paling kritikal. Berjam-jam dalam kenderaan walaupun jarak perjalanannya dekat, bersesak-sesak di khemah penginapan sementara, berebut-rebut untuk ke bilik air di tambah lagi dengan rehat dan tidur yang tidak tentu masa selama lebih kurang lima atau enam hari berturut-turut bagi menyelesaikan perkara rukun dan wajib haji biasanya menyebabkan tetamu Allah diuji dengan demam panas dan batuk-batuk.Ia bukanlah perkara luar biasa tetapi itulah sekelumit daripada kisah suka duka yang terpaksa dihadapi oleh tetamu Allah yang sanggup berkorban apa sahaja demi mengharap ganjaran mulia beroleh haji mabrur. Itulah juga cerita-cerita yang menjadi buah tangan yang biasanya di bawa pulang ke tanahair berserta kurma dan air zam-zam buat renungan orang tersayang.Dengan segala susah payah dan pengorbanan bagi menunaikan fardu haji bukan sahaja golongan muda malah kalangan yang sudah berumur dan belum bergelar haji dan hajjah diseru mengambil kesempatan bermulanya miqat zamani daripada 1 Syawal hinggalah ke waktu terbit fajar hari ke-10 Zulhijjah untuk memperbaharui tekad dan azam bersegera menunaikan fardu haji. Ataupun setidak-tidaknya berusahalah dengan penuh dedikasi untuk berdikit-dikit menabung dan mendaftarkan diri sebagai tetamu Allah di mana-mana cawangan Tabung Haji yang berhampiran. Jika tidak alasan hanya tinggal alasan, angan-angan akan kekal dan tidak akan kesampaian.
Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi ia tidak menunaikan haji (hinggalah ia mati dengan tidak ada keuzuran baginya) maka tidak ada halangan baginya mati sebagai Yahudi dan Nasrani, (dari segi seksanya) kerana Allah SWT telah berfirman dalam kitab Nya yang bermaksud “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji. (Dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. (Riwayat Imam al-Tirmiziy dan al-Baihaqiy)
Lebih daripada itu setiap individu Muslim perlu berusaha mensucikan jiwa daripada sifat mazmumah seperti bangga diri, sombong dan sifat hasad dengki sebagai persediaan untuk bergelar haji dan hajjah. Segala amalan maksiat hendaklah ditinggalkan dan diganti dengan melaksanakan kewajipan solat dan ibadah sunat dengan sempurna. Kesemua daripada perkara yang mulia ini merupakan sumber kekuatan kepada setiap individu Muslim untuk mengharungi onak dan duri menyahut seruan haji, yang pastinya bakal dihadapi oleh setiap tetamu Allah SWT tanpa mengira usia dan status seseorang. Ketidakcukupan sumber kewangan bagi membiayai kos haji termasuk tiada kesempatan masa hendaklah diadukan kepada Allah SWT yang berkuasa menentukan segala-galanya. Bak kata pepatah di mana ada usaha di situ ada jalan. Begitu pula nikmat usia yang masih muda dan sihat walafiat selayaknya dipergunakan untuk memperhambakan diri kepada Allah SWT bukan dengan berseronok melakukan dosa dan nista yang mengundang kemurkaan Nya.
0 comments:
Post a Comment