Tuesday, 27 September 2011

                                              Kemanisan Iman
             Orang Mukmin itu memiliki keajaiban dalam kehidupan. Apabila mendapat nikmat, dia akan bersyukur. Apabila ditimpa musibah, dia mendapat hikmah. Semuanya dirasakan indah belaka kerana dia sudah mendapat "halawatul iman" (kemanisan iman). Kemanisan iman itulah yang akan mencukupkan segala macam bentuk keperluan manusia sama ada keperluan dalam bentuk kebendaan, pemikiran, perasaan dan kejiwaan.
             Apa itu kemanisan iman? Ia adalah satu rasa tenang, bahagia dan aman dalam jiwa seseorang hasil keyakinannya yang tinggi kepada Allah, al-Kitab, Rasul dan lain-lain rukun iman. Ia adalah kemanisan yang bersifat maknawi yakni tidak dapat dirasai dengan pancaindera tetapi hanya dapat dirasai oleh hati. Orang yang telah merasai kemanisan iman akan merasai keindahan dalam melakukan ketaatan dan bahagia ketika meninggalkan kejahatan. Apabila musibah melanda, mampu sabar dan redha. Bahkan dia sanggup mati demi menemui kecintaan-Nya (Allah).
             Tidak ada rasa sukar, penat, bosan, rugi dan lain-lain dalam diri orang yang telah merasai kemanisan iman. Ia sesungguhnya mengatasi segala kemanisan duniawi. Mereka yakin bahawa apa-apa jua yang ditakdirkan oleh Allah adalah baik belaka. Dan hasil keyakinan itu mereka mampu menukar segala yang buruk menjadi kebaikan, segala kekurangan menjadi kelebihan, segala yang pahit menjadi penawar dan segala yang kotor menjadi bersih dan jernih. Dalam jiwa mereka seolah-olah ada penapis yang mampu menapis segala yang negatif menjadi positif.
             Jika iman (kalimah syahadah) itu diumpamakan oleh Allah sebagai pohon yang baik, maka kemanisan iman adalah rasa pada buah yang telah masak ranum, terhasil oleh kesubursn pohon yang telah berbatan, berdahan, berdaun dan berbuah itu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik". (Surah Ibrahim 14: 24).
            Kemanisan iman berkadar terus dengan kesempurnaan iman dalam hati sanubari seseorang. Semakin sempurna, teguh dan kukuh iman seseorang, maka semakin manislah iman itu dirasai olehnya. Oleh sebab itu, bukan semua orang yang mengakui beriman dapat merasai kemanisannya. Ini kerana iman itu bukan dengan kata-kata ataupun angan-angan tetapi ia diperkukuhkan dengan perbuatan dan pengorbanan.
            Justeru, sudah menjadi kewajipan setiap orang Islam memburu kemanisan iman. Ia perlu dijadikan agenda utama dalam hidup mengatasi segala-galanya. Bahkan jika disedari, pemburuan untuk merasai kemanisan iman ini adalah agenda seumur hidup. Kita hidup dengan iman, kita mati dengan iman dan kita pinta masuk ke dalam syurga dengan iman. Namun, mana mungkin kita boleh melakukan segala-galanya itu jika iman terasa pahit, pedih dan perit. Hanya orang yang rasa manis dengan iman sahaja yang mampu hidup dan mati bersamanya!.
           Apabila seseorang mencintai Allah, maka Allah akan mencintainya.Dan apabila seseorang dicintai Allah, maka hidup dan matinya akan menyebelahinya. Dalam hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Allah akan berfirman: "Wahai Jibrail, Aku mencintai seorang hamba, maka cintailah dia. 'Kemudian Jibrail memanggil penduduk langit dan berkata: 'Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah dia.' (Riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah).    
                                                  by,NOOR AINI BINTI ABDULLAH
                                                                DQ 0446

0 comments:

Post a Comment