Sebagai manusia biasa, kita tentunya memiliki berbagai kekurangan. Sekiranya kita merasakan kelebihan kita lebih banyak dari kekurangan maka itulah kekurangan kita yang paling besar dan merbahaya.Di sinilah benih riak dan takbur mula berputik.
Siapalah Nabi Adam AS jika tidak diberikan ilmu oleh Allah SWT.Bukankah dengan ilmu yang Allah anugerahkan kepadanya maka baginda menjadi mulia dan dihormati oleh para malaikat.Apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah ilmu itu anugerah Allah SWT berkat usaha dan kesungguhan kita untuk mendalaminya.Usaha kita untuk memahami deen Allah serta memahami kehendak-Nya yang Maha Esa dengan penuh kerendahan akan menjadikan kita sedar akan kekurangan diri kita hingga menjadikan kita pencinta ilmu.
Berapa ramai penulis yang terperangkap dengan ilham dan pendapat sendiri sehingga semakin hari ia semakin jauh dari sumber-sumber yang benar lalu terperangkap dengan kecetekan ilmunya.Tulisannya semakin hari semakin hambar dan hilang kematangan tetapi tanpa disedari dirinya terperangkap dengan kesombongan, riak dan takbur diri.
Apakah gunanya lagi tulisan kita kalau ianya bukan sebagai ubudiyah kita kepada Allah SWT, apakah nilainya tulisan kita kalau ianya tidak meningkatkan iman dan takwa kita epada Allah SWT. Seringkali istighfar mengusir segala bisikan ini naming ia datang kembali. Seseorang telah bertanya kepada Hassan Al Basri , “Adakah syaitan itu tidur?” Lalu jawabnya ringkas tetapi bermakna , “Kalau syaitan itu tidur maka kita ada banyak masa untuk berehat.”
Saya pernah mengenali seorang penulis tewas yang menjadikan tulisannya sebagai ghayah, lalu cemerlanglah ia dalam tulisannya tetapi tulisannya gagal untuk menjadikan dirinya hamba yang Rabbani, anak yang soleh, masyarakat yang prihatin serta pendukung kebenaran. Kata-katanya tidak lagi memandu manusia pada kebenaran iman tetapi sekadar pada pandangan dan pendapatnya. Ia menulis dan membahaskan persoalan iman tetapi hatinya sendiri semakin keras dan hilang kepekaan terhadap tuntutan-tuntutan iman.
Marilah kita menjadi penulis Rabbani yang menjadikan tulisan sebagai wasilah dakwah dan tarbiah tanpa meninggalkan tuntutan-tuntutan lain yang juga akan disoal di akhirat nanti. Sedarlah bahawa kita ini hamba Allah yang perlu mentaati-Nya, pengikut Rasulullah yang perlu mencontohinya, anak yang dilahirkan yang perlu tahu menghargai, suami atau isteri yang akan ditanya di akhirat nanti, ibu atau ayah yang akan dipersoalkan, anggota masyarakat yang bertanggungjawb serta tiang bagi terbinanya Ummah Islamiah.
Nukilan: NURUL AIN AIESYAH FATIHAH BINTI SAHARI (DQ 0443)
0 comments:
Post a Comment