Friday 23 September 2011

Prof. Zulkifli Muhammad: Intelektual alam Melayu yang dilupakan oleh bangsa sendiri.

Disedikan oleh,
Mior Muhammad Faris Bin Mior Abdul Rahman
SY 0971
Sudah menjadi lumrah kepada setiap orang di dunia untuk  mempunyai individu-individu yang dikagumi sehinggakan mahu dicontohi ataupun diambil corak-corak pemikirannya. Tetapi sesuatu yang menjadi sindrom kepada masyarakat marcapada, adalah mereka lebih cenderung untuk memilih, mengkaji, seterusnya mencontohi intelektual-intelektual yang bukan dari bangsa mereka. Seolah-olah mereka tidak meyakini bahawa bangsa mereka sendiri tidak berkeupayaan. Menjadi trend semasa, kepada individu yang menerima pendidikan agama, mereka akan memilih cendekiawan-cendekiawan Islam dari negara-negara Timur Tengah seperti Said Hawwa, Hassan al-Banna, Syed Qutb, Syeikh Ahmad Yassin dan pelbagai lagi,manakala bagi individu yang menerima pendidikan dunia semata-mata, mereka lebih cenderung memilih ahli-ahli falsafah dari tamadun-tamadun lampau, terutamanya Tamadun Greek yang sememangnya terkenal dengan ahli falsafahnya seperti Plato, Socrates, dan lain-lain lagi. Tetapi yangmenjadi persoalannya sekarang adalah, bagaimana dengan nasib cendekiawan-cendekiawan bangsa sendiri? Adakah mereka hanya perlu sekadar menjadi sebahagian daripada sejarah sahaja? Walhal bangsa Melayu ini sendiri telah melahirkan begitu ramai intelektual yang telah berjaya melakarkan beberapa sejarah penting. Meneliti kepada sejarah kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, telah lahirnya Tun Perak, seorang bendahara yang terkenal dengan geniusnya, kemudian apabila munculnya kerajaan Larut (sekarang terletak di Perak) lahirnya pula intelektual dari golongan bangsawan iaitu Long Jaafar sehingga mampu mengugat kedudukan penjajahan British ketika itu.  Hattakan ketika era kekejaman Jepun memerintah tanah air dahulu pun bangsa Melayu telah berjaya melahirkan Dr Burhanuddin Al-Helmi yang telah membentuk Angkatan Pemuda Insaf (API). Berlalunya zaman Jepun, datang kembali British memerintah negara dengan menggunakan Pentadbiran Ketenteraan  British (BMA). Ketika ini jugalah negara telah digemparkan rancagan pembentukan Malayan Union (MU) yang mampu mengancam status quo bumiputera. Mujurlah Allah menghadirkan Dato’ Onn Jaafar yang telah bekerja untuk menyatukan orang-orang Melayu ketika itu. Tapi jangan sesekali kita melupakan jasa seorang pemuda hebat yang telah membantu Dato’ Onn Jaafar menaikkan semangat orang-orang Melayu dengan idea-idea dan juga pidatonya yang begitu mantap. Lain tidak bukan, pemuda yang begitu hebat ini adalah Profesor Zulkifli Muhammad. Mungkin sesetengah orang memanggil dia sebagai Ustaz Zulkifli oleh kerana dia juga adalah seorang ulama’ Islam tanah air. Beliau bukan sahaja seorang tokoh agama atau politik semata-mata, tetapi beliau juga adalah tokoh sastera, pendidikan, dan masyarakat. Hebatnya dia hingga pernah dijangkakan oleh Bekas Menteri Luar Indonesia, Allahyarham Haji Agus Salim bahawa Zulkifli Muhammad ini adalah putera Semenanjung Tanah Melayu yang bakal menjadi seorang tokoh yang setanding dengan pujangga Iqbal di Pakistan. Begitu kehebatannya sehingga mampu dihidu oleh orang bukan Tanah Melayu sendiri. Walhal ketika Allahyarham Haji Agus Salim berkata begitu adalah ketika beliau berjumpa dengan Zulkifli Muhammad yang ketika itu masih bergelar mahasiswa di Universiti Al-Azhar, Mesir. Masyaallah. Marilah sama-sama kita mengkaji serba sedikit latar belakang Profesor Zulkifli Muhammad.
Zulkifli Muhammad dilahirkan pada 22 Mac 1927, di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak. Dalam arus perjuangan hidupnya, beliau dikenali sebagai tokoh politik dan agama yang berani menghadapi pelbagai cabaran demi kepentingan ummat Melayu khususnya dan ummat Islam amnya tanpa mementingkan diri sendiri. Beliau juga adalah lambang sebenar individu yang benar-benar  dihormati oleh kawan dan juga lawan. Hal ini terbukti apabila salah seorang wakil rakyat Barisan Nasional dari Pahang pernah meminta tolong kepada beliau untuk berucap di dalam Parlimen mengenai isu ketuanan bangsa. Hal ini berlaku kerana melihat kepada pengaruh Zulkifli Muhammad sebagai seorang perjuang bangsa yang sejati.
Bapanya Haji Muhammad Arshad, bekerja sebagai kerani di Rumah Sakit Umum Kuala Kangsar, manakala  ibunya bernama Hajah Arbaiah. Zulkifli merupakan anak kedua daripada 10 orang adik-beradik. Semasa berusia dua tahun, beliau diserang penyakit polio hingga menyebabkan tangan dan kakinya lumpuh. Walau bagaimanapun, kecacatan ini tidak mematahkan semangatnya untuk tekun belajar dan menimba ilmu pengetahuan sebagai bekalan hari muka.
Menurut buku, Zulkifli Muhammad: Pelopor Angkatan Islam di Malaysia, ada menyebut, “Dia mula bersekolah ketika berusia 4 tahun 6 bulan. Zulkifli sahajalah murid yang cacat dalam kumpulan murid-murid luar Bandar masa itu. Sungguhpun begitu dia tidak pula dibenci oleh rakan-rakannya, bahkan mereka menyayanginya. Dia belajar hingga tamat darjah lima.” Penulis juga ada menyebut, “ Sama ada guru-guru sekolahnya mahupun guru bahasa Inggeris yang mengajarnya, sangat kagum atas kegeligaan otaknya menguasai pelajaran yang diajarkan kepadanya.”
Kecerdasan otaknya terus menyerlah sewaktu beliau belajar di Madrasah Aziziah pada tahun 1937. Ketika menuntut disitu, Zulkifli Muhammad sudah mampu untuk bertutur dalam bahasa Arab dengan baik. Oleh kerana itulah dia sentiasa dikagum oleh rakan-rakannya.
Kecenderungan Zulkifli Muhammad untuk menjadi seorang perjuang nasib bangsa mula menonjol apabila beliau mula menceburkan diri dan bergerak cergas dalam Gerakan Perikatan Pemuda Melayu Perak, antara tahun 1946-1947.
Ketika British kembali semula ke Tanah Melayu seusai Jepun menyerah diri ketika Perang Dunia Ke-2, British telah pun memperkenalkan British Military Administration (BMA). Pada masa yang sama, iaitu pada tahun 1947, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengetua (mudir) Maahad Ihya’ as-Syariff, Gunung Semanggol dalam usahanya memajukan sekolah tersebut telah merancang untuk membuka kelas tinggi agama dalam bidang agama Islam yang diberikan nama sebagai al-Kuliah. Rancangannya itu telah diumumkan kepada semua pelajar-pelajar agama di seluruh Tanah Melayu dan juga diseru untuk menyertainya. Zulkifli Muhammad juga tidak ketinggalan untuk menyertainya. Bagi melayakkan seseorang untuk diterima sebagai seorang pelajar al-Kuliah, mereke perlu menduduki ujian kemasukan terlebih dahulu. Apa yang mengejutkan setelah keputusan ujian kemasukan tersebut diketahui adalah hanya Zulkifli Muhammad seorang sahaja yang lulus dalam ujian tersebut, manakala pelajar-pelajar yang lain semuanya gagal. Oleh kerana itulah, rancangan untuk membuka al-Kuliah itu terpaksa dibatalkan.
Zulkifli Muhammad telah menyambung pelajarannya dalam bidang undang-undang di Universiti al-Azhar pada tahun 1947. Ketika bergelar mahasiswa disana, beliau telah dipilih sebagai Yang Dipertua Persekutuan Putera-putera Semenanjung di Mesir dan juga sebagai pegawai Kesatuan Pelajar-pelajar Melayu dan Indonesia. Hal inilah yang menyebabkan beliau begitu popular dikalangan mahasiswa-mahasiswa Indonesia di Mesir.
Oleh kerana semangat cintakan ilmunya begitu tinggi, beliau telah menyambung pelajaran di Universiti Amerika di Kaherah dalam bidang pendidikan dengan harapan beliau mampu mengenggam segulung ijazah sarjana muda pendidikan. Namun walau bagaimanapun hasratnya tidak kesampaian apabila beliau terpaksa pulang ke tanah air pada tahun 1952 kerana menghidapi penyakit buah pinggang pula.
Sewaktu beliau menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar lagi, telah tersemat cita-citanya untuk menubuhkan sebuah Kolej Islam di Malaya apabila beliau pulang nanti. Sebagai langkah awal, beliau telah mengemuka hasrat beliau itu ketika menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, almarhum Sultan Abu Bakar yang kebetulan ketika itu telah berangkat melawat Mesir. Perbincangan yang hangat telah berlaku ketika itu. Hal yang sama juga berlaku ketika Raja Perlis, Syed Putera berangkat melawat Mesir. Baginda telah berjanji untuk mengajukan cadangan beliau itu kepada orang-orang tertentu yang berkenaan di Malaya.
Sekembalinya beliau ke tanah air pada tahun 1952, beliau bergiat pula dalam Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan pernah menjadi naib yang dipertua badan pelajar yang besar dan berpengaruh itu.
Kegiatannya dalam bidang politik bermula apabila beliau telah menyertai UMNO dibawah pimpinan Datuk Onn Jaafar. Beliau telah menyokong kempen menentang Malayan Union yang dicanangkan oleh Datuk Onn Jaafar dan juga sering memberikan ucapan yang bersemangat dalam penentangannya itu.  Lebih menarik lagi adalah oleh kerana factor kemiskinan, beliau hanya berkain sarung dan selipar ketika menyampaikan ucapan menentang Malayan Union di Kuala Kangsar yang mana ketika waktu itu Dato’ Onn sendiri juga turut berpidato.Oleh itu, semangat beliau dalam memperjuangkan nasib agama dan bangsa bukanlah sesuatu yang boleh disangkalkan lagi.
Kemuncak kerjayaan beliau di dalam bidang politik adalah apabila beliau terpilih untuk menjadi Timbalan Presiden PAS dan juga Ahli Parlimen Bachok. Ketika beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS, presidennya pula adalah Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Menurut buku Sejarah Emas Kegemilangan Islam di Tanah Melayu, gandingan Dr. Burhanuddin dan Dr. Zulkifli adalah gandingan kepimpinan yang terbaik pernah dilahirkan oleh PAS. Kenyataan itu memang logik dan tepat apabila melihat reputasi kedua-dua orang pemimpin itu. Kemampuan Dr. Zulkifli Muhammad sebagai terserlah apabila beliau telah berjaya mencatat sejarah tersendiri sebagai ahli parlimen apabila beliau satu-satunya ahli parlimen yang pernah berucap selama 3 jam lebih tanpa henti di dalam Dewan Rakyat sehingga hari ini.
Sumbangan beliau di dalam pernulisan pula adalah apabila beliau banyak menghasilkan pelbagai genre sastera seperti puisi, cerpen dan novel. Hal ini berlaku apabila beliau telah memanfaatkan dunia penulisan dan sastera ini sebagai wasilah untuk mengembangkan ISLAM. Beliau tidak pernah sesekali pun meninggalkan aspek Islam dalam penulisan beliau. Malah beliau pernah mencipta sajak ‘Aku Hamba Tuhan’ bagi menafikan sajak yang dicipta oleh Nordin Umar yang bertajuk ‘Akulah Tuhan’. Dimana sajak Nordin Umar itu telah menyalahi Aqidah Islam yang sebenar.
Dalam bidang pendidikan juga beliau tidak pernah ketinggalan member sumbangan apabila beliaulah yang mencetuskan idea menubuhkan Kolej Islam Malaya yang kini dikenali Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Lebih menarik lagi idea beliau itu telah dicetuskan sejak beliau masih menuntut di Universiti Al-Azhar lagi. Sebagai langkah awal beliau telah menyampaikan idea beliau itu apabila Raja Perlis ketika itu telah melawat Mesir dan berjumpa dengan pelajar-pelajar Malaya di sana. Apabila beliau kembali semula ke tanah air, beliau telah meneruskan idea beliau itu dengan menyiapkan kertas kerjanya. Akhirnya, Kolej Islam Malaya itu telah berjaya ditubuhkan dan beliau sendiri yang menjadi Setiausaha dan juga pensyarahnya.
Tapi sayang apabila hayatnya tidak lama apabila Allah telah memanggil beliau ketika ummah lebih memerlukannya. Dr. Zulkifli dan isterinya telah meninggalkan dunia apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dengan sebuah Land Rover  ketika berusia 37 tahun di Batu 4 ½ Jalan Kuantan, Pahang pada 6 Mei 1964. Lebih menarik  lagi apabila timbul khabar angin yang menyatakan kemalangan beliau itu sememangnya telah dirancang oleh musuh-musuhnya. Hal ini kerana ketika waktu itu perseteruan UMNO-PAS sememang sedang hangat. Dan ini telah menyebabkan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah berucap di Dewan Rakyat bagi menafikan penglibatan UMNO dalam kemalangan itu dan kemalangan itu adalah sesuatu yang kebetulan. Inilah serba sedikit mengenai susuk tubuh perjuang agama dan bangsa yang sepatutnya menjadi contoh kepada pendokong-pendokong gerakan Islam masa kini. 

0 comments:

Post a Comment