Saranan Wang Zakat Bantu Rakyat Somalia Patut Disokong
Disediakan oleh : Supinie Sanoai @ Nur Aliah (DQ 0436)
Ibadat puasa yang dijalani umat islam di negara ini sekarang diharapkan dapat membantu mereka menyelami keperitan hidup yang diharungi oleh rakyat Somalia. ketika kita hanya dituntut bertahan daripada makan dan minum selama kira-kira 14 jam sehari sebelum berbuka, kebanyakan rakyat Somalia sejak beberapa bulan lalu terpaksa mengikat perut mereka dan menanti jika ada insan yang bermurah hati memberi mereka segelas air atau sesuap nasi. Kemarau dan perang saudara di negara Islam di Tanduk Afrika ini menyebabkan hampir empat juta penduduknya terpaksa melarikan diri ke bandar Mogadishu atau ke kem pelarian di negara jiran, Kenya. Saban hari kisah menyayat hati mangsa kemarau Somalia didengar dn semakin memilukan. Cerita ibu perlu memilih anak mana yang terpaksa dibiarkan mati kebuluran sudah menjadi biasa. Sekalipun mangsa ini berjaya berjalan hampir dua minggu ke kem pelarian, ia masih belum menjamin kelangsungan hidup. Ramai dalam kalangan mereka, terutamanya kanak-kanak kecil dan wanita mengandung sudah terlalu uzur akibat kebuluran untuk meneruskan hidup. Menurut perangkaan Amerika Syarikat - negara penderma terbesar bagi membantu mangsa kebuluran Somalia - lebih 29,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun meninggal dunia akibat kebuluran di negara itu sejak tiga bulan lalu. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula seramai 1.2 juta kanak-kanak memerlukan bantuan segera di somalia dan berpuluh-puluh ribu daripada mereka akan mati jika bantuan ini tidak diterima.
Berikut jumlah mangsa yang semakin bertambah dan keadaan kemarau yang belum dianggap mencapai kemuncaknya, sebuah institut penyelidikan dan pendidikan mesir, Dar al-Ifta semalam menggesa umat Islam seluruh dunia menyalurkan wang zakat kepada Somalia. Dalam kenyataannya, institut itu berkata, sudah menjadi tanggungjawab umat Islam di seluruh dunia membantu mangsa kemarau Somalia yang rata-rata adalah seagama dengan mereka. kita berpendapat saranan ini harus disambut umat Islam di negara ini. Memang dibolehkan bagi kita untuk menyalurkan sebahagian daripada wang zakat yang dikutip di negara ini bagi membantu saudara Islam di negara lain, selagi ia tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah kutipan. Malah, langkah itu selari dengan ajaran agama yang menuntut kita sentiasa prihatin terhadap keadaan saudara seagama. Bukan hanya wang zakat perlu disalurkan, kempen kutipan derma besar-besaran bagi mangsa kemarau perlu segera dianjurkan seperti dilakukan untuk mangsa bencana alam sebelum ini.
0 comments:
Post a Comment