Tuesday 27 September 2011

Kaedah kesan bohong...

Oleh DIANA FAREZA BT AHMAD ROSHDI (UD 0626)
KITA sering dikejutkan dengan tangkapan pekerja syarikat yang bekerjasama untuk melakukan jenayah seperti rompakan mikrocip bernilai RM40 juta di Pulau Pinang baru-baru ini.

Adakah anda mahu mengetahui siapakah yang bertanggungjawab membocorkan rahsia syarikat, mengetahui siapakah yang telah menggelapkan duit syarikat atau berapa ramai pekerja yang terlibat dalam rasuah.

Semua ini boleh diuji menggunakan ujian mengesan bohong atau ujian poligraf kaedah yang digunakan sangat meluas di Amerika Syarikat, Australia, Singapura dalam penyiasatan jenayah dan keselamatan.

Kaedah berteknologi tinggi ini kurang digunakan di negara ini, namun syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini menggunakan kaedah itu bagi mencari pekerja yang benar-benar berkualiti dan bebas dari keinginan melakukan jenayah atau perbuatan yang akan merugikan syarikat di samping mempunyai disiplin yang tinggi.

Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia (ACFE-Malaysian Chapter), Akhbar Satar memberitahu, kaedah ujian mengesan bohong ini banyak dilaksanakan oleh syarikat-syarikat multinasional yang mempunyai pejabat di negara ini.

Contohnya kata beliau, sebuah syarikat multinasional yang membuka pejabat di sini dan sedang mencari kakitangan menggunakan kaedah tersebut untuk mengenalpasti kejujuran bakal pekerja di samping elemen-elemen lain yang tidak dikehendaki iaitu penagih dadah, pencuri dan individu yang rasuah.

‘‘Daripada 90 individu yang ditemuramah dan menjalani ujian tersebut 13 orang mengaku cuba melakukan penipuan dan pernah terlibat dalam jenayah serta perkara ini disahkan oleh pakar ujian mengesan bohong berdasarkan hasil ujian,’’ katanya.

Akhbar menegaskan, ujian tersebut telah membantu syarikat multinasional tersebut untuk mencari pekerja yang benar-benar berkualiti dan jujur.

Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Akhbar & Associates Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang menawarkan khidmat ujian mengesan bohong dan Pengarah Polygraph Science Academy Malaysia iaitu satu-satunya akademi di Asia yang diberikan lesen oleh Persatuan Poligraf Amerika Syarikat (APA) untuk menawarkan Kursus Pemeriksa Pengesan Penipuan.

Akhbar yang juga bekas pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perlis dan Negeri Sembilan memberitahu, ramai yang tidak mengetahui akan kewujudan kaedah ini untuk mengurangkan risiko perlakuan jenayah di kalangan kakitangan terutama di syarikat-syarikat berisiko tinggi seperti syarikat kawalan keselamatan.

‘‘Masalahnya di negara ini, apabila membicarakan mengenai ujian mengesan bohong ramai yang melihatnya sebagai sesuatu yang negatif malah pekerja-pekerja yang diarahkan untuk melalui ujian itu dianggap telah melakukan kesalahan.

Mengesan
‘‘Orang ramai perlu menyedari, ujian mengesan bohong bukan saja menentukan seseorang itu telah melakukan jenayah atau kesalahan di sisi undang-undang, sebaliknya ia merupakan teknologi terbaik menentukan tahap risiko atau keinginan seseorang itu ingin melakukan kesalahan,’’ katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.

Akhbar menegaskan, majikan atau syarikat jangan terpengaruh dengan rancangan-rancangan televisyen Barat yang menggambarkan ujian mengesan bohong itu dilakukan setelah berlaku sesuatu jenayah.

Ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, umpamanya mengurangkan risiko dan mengambil tindakan perlu bagi memberi kaunseling kepada pekerja yang mempunyai keinginan melakukan salah laku.

‘‘Salah laku bukan sahaja berkaitan dengan rasuah, menggelapkan duit atau menjual rahsia syarikat tetapi ia juga berkaitan dengan disiplin,’’ katanya.

Ujarnya, beberapa syarikat yang mewajibkan pekerja-pekerja melakukan ujian mengesan bohong telah berjaya mengurangkan kerugian berjuta-juta ringgit akibat perubatan menggelapkan wang syarikat.

‘‘Pekerja syarikat itu perlu menjalani ujian itu setahun sekali bagi menilai tahap risiko atau keinginan melakukan salah laku, dan ujian itu berjaya mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi.

‘‘Syarikat memberi kaunseling dari segi agama, nilai-nilai murni dan akhirnya pekerja terbabit apabila menjalani ujian mengesan bohong sekali lagi telah berada pada tahap risiko atau keinginan paling rendah untuk melakukan kesalahan,’’ katanya.

Akhbar menegaskan, ujian mengesan bohong itu juga dapat memastikan kerja-kerja dilaksanakan dengan penuh amanah dan membina suasana harmoni di dalam syarikat atau jabatan.
Katanya, syarikat-syarikat di negara ini perlu menimbangkan untuk menggunakan ujian tersebut sebagai salah satu kaedah bagi mengurangkan risiko dalam perniagaan.
Ujar beliau, keputusan ujian mengesan bohong itu 99 peratus tepat kerana ia merupakan teknik tercanggih yang bergantung sepenuhnya kepada peralatan berteknologi tinggi dan pemeriksa ujian berkelayakan tinggi dan berpengalaman luas.

‘‘Hanya pemeriksa yang melepaskan pelbagai peringkat ujian dan latihan sahaja yang akan diberikan pentauliahan untuk melakukan ujian itu oleh Persatuan Pengesan Penipuan (APA) Amerika Syarikat (AS), malahan mereka perlu melalui ujian di AS selama dua minggu untuk mendapatkan tauliah tersebut,’’ katanya.
Akhbar memberitahu, berbanding dengan ujian-ujian lain, ujian mengesan bohong ini tidak mudah untuk diperdayakan ini kerana graf ujian itu akan menunjukkan dengan jelas sama ada seseorang itu berbohong atau menyembunyikan sesuatu.

Ujar beliau, alat mengesan bohong akan diletakan di beberapa anggota badan individu yang diuji yang akan mengira tekanan darah, kadar denyutan jantung, pernafasan serta aktiviti peluh.

‘‘Semua data itu akan disimpan di dalam alat mengesan bohong dan penguji akan membuat analisis berdasarkan kepada graf-graf yang terbentuk dari ujian dilaksanakan,’’ katanya.

Akhbar menegaskan, sudah masanya majikan menggunakan kaedah teknologi tinggi ini untuk mengurangkan risiko mengambil pekerja yang akan merugikan syarikat.

sumber : http://www.akhbarassociates.com/UtusanMalaysiaOnline.rencana.htm

0 comments:

Post a Comment