Muslimah yang Bebas
Disediakan oleh : Rosedina Binti Kadir (DQ 0431)
Kenyataan yang jelas dalam masyarakat kita pada hari ini, ramai wanita menghamburkan wang ringgit untuk mendapatkan pakaian yang cantik menawan, perhiasan yang bergemerlapan, peralatan solek yang berlebihan dan seumpamanya. Golongan ini mudah terikut dengan arus fesyen kontemporari atau perkataan lainnya trend, tanpa mengambil kira soal hukum dan kewajarannya menurut perspektif agama.
Sedangkan jika diperhalusi secara matang berpandukan kebenaran, semua itu tidak banyak menjana atau menambah kemajuan ekonomi sejagat dan meningkatkan taraf hidup masyarakat. Bahkan sebaliknya, ia hanya menambahkan beban dan tanggungan yang maha berat kepada umat kerana dilakukan tanpa menurut aturan syariat.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Akan muncul dalam kalangan umatku pada akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka (isteri atau anak-anak perempuan mereka), berpakaian tetapi seperti bertelanjang (nipis dan ketat). Di atas kepala mereka pula terdapat bonggolan seperti bonggol unta yang lemah gemelai. Oleh sebab itu, laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat". (Riwayat Ahmad)
Juga sabda Nabi saw yang bermaksud : "Ada dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah aku lihat kedua-duanya itu. Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka guna untuk memukul orang (iaitu penguasa yang kejam). Dan perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka ini tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian", (Riwayat Muslim)
Daripada hadis ini, Rasulullah saw memberi amaran mengenai dua golongan yang menghuni neraka, dan salah satunya ialah wanita yang mendedahkan aurat. Mereka berpakaian tetapi seolah-olah bertelanjang dek pakaian yang disarung terlalu nipis,ketat dan sendat. Pakaian yang menampakkan lekuk dan bentuk tubuh badan.
Malah rambut wanita yang disifatkan oleh junjungan besar Nabi saw itu sebagai sebesar bonggol unta sedang berlaku secara meluas dan digayakan tanpa rasa bersalah.
Segalanya bermula daripada daya tarikan inginkan kecantikan yang ada pada wanita yang mengenakan trend tersebut dalam berpakaian ketika mereka keluar bergelandangan dalam masyarakat. Walaupun sudah mengenakan tutup kepala, tetapi hakikatnya mereka masih ingin mempamerkan keindahan dengan meninggikan ikatan sanggul di kepala. Dikatakan gaya sedemikian dapat menjadikan si pemakai kelihatan lebih anggun dan menawan.
Lebih malang lagi, ada yang tidak memiliki rambut panjang, sanggup memakai sanggul tiruan untuk turut serta memeriahkan gaya terkini lagi ranggi itu. Tanpa disedari, dua kesalahan telah dilakukan. Dosa memakai rambut palsu walaupun tersorok di sebalik tudung yang dikenakan dan kedua, dosa tabarruj (berhias dan mempamerkan kecantikan serta keindahan pada wajah dan tubuh badan kepada yang bukan mahram) amatlah dilarang sama sekali.
Tidakkah timbul rasa gerun dan gentar di hati para muslimah bilamana Rasulullah saw menyatakan golongan yang melakukan dosa seumpama ini sebagai penghuni neraka?
Nauzubillahh...
Nauzubillahh...
0 comments:
Post a Comment