Dari 1957 hingga 2011 merupakan tempoh yang lama dan patut dibanggakan kerana tempoh yang lama diisi dengan kemajuan dan kestabilan sosioekonomi. Ini hanya dapat dinilai jika kita menilai apa yang berlaku dan ada pada tahun 1957 dan pada tahun 2011. Perbezaan ini memberikan jawapan kepada sejauh manakah kita telah melangkah dalam mengisi tahun-tahun kemerdekaan.
Seperti tahun-tahun yang lalu, rakyat Malaysia dikempen besar-besaran mengibarkan Jalur Gemilang dan melaung-laungkan kata-kata keramat kemerdekaan. Jika kita jalurkan semuanya pada jalur masa, kita mungkin menghabiskan 70-80 peratus dengan rasa bangga dan perasaan hutang budi pada mereka yang berjuang.
Lihatlah di dada-dada akhbar dan program di siaran televisyen yang juga memamparkan betapa berbaktinya pejuang kita dan betapa jauh telah kita melangkah dalam pengisian kemerdekaan. Malah ada juga yang begitu riak mengatakan kerana mereka telah berjaya kita pada hari ini, tanpa mereka kita mundur.
Beristighfarlah kita pada Allah. Sesungguhnya pada hakikat, kemerdekaan termasuk pengisian kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah kerana pemberian dari Allah S.W.T. Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Penyayang, yang memberikan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini.
Tidak salah kita mengenang jasa dan budi. Tetapi tidak seharusnya kita meninggikan pujian dan takabur kita melebihi dari Allah S.W.T. Sesungguhnya kita ini hina dan kerdil.
Selepas kemerdekaan, kita disajikan dengan harta dan pangkat. Masakan kita punya ini semua sehebatnya sebelum meraih kemerdekaan, iaitu kita katakan pada ketika itu adalah zaman kemunduran.
Ingatlah, ketika orang tua kita mengumpulkan wang untuk membolehkan pemimpin rakyat pergi ke London untuk rundingan kemerdekaan, kita ketika itu daif hinggakan wang tidak cukup malah sanggup berkongsi segala serba sedikit harta yang kita ada untuk masa depan cucu cicit mereka.
Begitulah Tanah Melayu ketika itu, tidak punya harta mewah dan tidak punya pangkat-pangkat hebat malah lebih rendah dari penjajah hingga kita perlu memohon kebenaran dari mereka untuk merdeka.
Malangnya, kita iaitu cucu cicit mereka telah melaungkan kemerdekaan, meraikan ulang tahun kemerdekaan dan mengenangkan pengorbanan kemerdekaan tetapi lupa akan siapa keturunan kita dan siapa pula yang membolehkan kita berubah menjadi satu kaum yang hebat di lensa mata kita sendiri.
Sesungguhnya hanya Allah yang boleh memberikan harta dan pangkat. Selepas kemerdekaan bersama sistem pemerintahan negara berasaskan demokrasi serta pentadbiran negara maka wujudlah jawatan-jawatan untuk diisi oleh anak tempatan.
Dalam erti kata lain, inilah ruang-ruang pangkat, yang dalam masa yang sama mencipta darjat-darjat tertentu dalam masyarakat. Seorang tua mungkin kini digelar Tan Sri dan seorang tua yang lain mungkin kini digelar Haji, serta seorang tua lagi mungkin kini hanya bergelar Atuk.
Ingatlah wahai para sahabatku, jangan kita terlalu lalai dengan buaian kemerdekaan hingga kita lupa untuk bersyukur pada Allah. Tanpa Allah membenarkan semua ini berlaku, tentu kita masih ditakuk yang lama.
Kita tidak menyaksikan kemegahan Kuala Lumpur Twin Tower, kehebatan industri permotoran, keteguhan Putrajaya, kecanggihan Multimedia Super Corridor, jaringan lebuh raya yang hebat, ketinggian teknologi serta kebanggaan modal insan yang berdaya saing. Ini semua hanya dikecapi dengan izin Allah S.W.T.
Apabila kita terbuai pada harta dan pangkat, kawan baiknya akan hadir pada diri iaitu takabur, hasad dan cinta pada dunia. Hitamlah hati-hati ini. Dijauh-jauhkan dari kebenaran. Berakhir kita pada kesesatan maka tidak mustahil satu hari nanti hari-hari sebelum kemerdekaan datang kembali pada masa hadapan membawa kehancuran perpaduan, kemunduran ekonomi, pergolakan akhlak dan perpecahan kaum.
Harta dan pangkat juga boleh menjadi ujian dari Allah. Perjuangan pengisian kemerdekaan boleh mungkin luntur keikhlasannya menjadi ruang mengumpul harta serta bermegah dengan pangkat. Ubatnya adalah kesyukuran, zuhud dan mengingati pada kematian.
Setelah mendapati kesenangan dan kemewahan dari Allah S.W.T, kita seharusnya bersyukur pada-Nya sebelum semuanya ditarik balik kerana keegoan, ketakburan dan kelalaian kita sendiri. Sebaiknya selain kita meraikan hari kemerdekaan, kita sepatutnya menjadikan hari cuti ini juga sebagai satu hari untuk munasabah diri dan munasabah nasional akan memperingat akan pemberian Allah, serta merasa lebih kerdil kerana telah pasti kita amat bergantung kepada Allah dan tiada apa kuasa pada tubuh kita mampu menjadikan apa yang Allah telah jadikan pada kita hari ini.
Pokoknya, syukur kita tidak seharusnya sedikit dan tidak pula kita layak takabur dengan apa kita perolehi. Ingatlah lima (5) perkara sebelum lima (5) perkara; termasuklah KAYA SEBELUM MISKIN.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." [Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi]
0 comments:
Post a Comment