Disediakan oleh : Diana Fareza Bt Ahmad Roshdi (UD0626)
Dalam kehidupan seharian kita, tanpa kita sedari sebenarnya kita hidup dalam sekurang-kurangnya dua dunia yang berbeza. Dua dunia yang saya maksudkan adalah dunia sosial dan dunia pasaran.
Cuba bayangkan suatu hari anda dijemput oleh ibu mertua anda untuk makan malam di rumahnya. Anda pun pergi bersama isteri dan anda lihat ibu mertua anda menyediakan masakan yang pelbagai jenis. Terdapat ikan patin masak lemak, ayam sambal berlada, nasi beriyani kambing, sayur-sayuran, tomyam seafood dan pelbagai masakan lain.
Anda menjadi sangat seronok dan anda makan sepuas hati makanan yang sangat sedap ini. Anda juga sedar bahawa untuk menyediakan semua ini, ibu mertua anda mungkin perlu bekerja sepanjang hari sejak dari pagi untuk menyediakannya.
Setelah selesai makan malam yang hebat ini, anda cuba menghargai ibu mertua anda dengan berkata; "Mak, makanan hari ni sangat sedap, boleh saya tahu berapa yang saya perlu bayar untuk semua ini?" soal anda dengan jujur.
"Cukup tak jika saya bayar RM100?" tambah anda lagi mungkin untuk meringankan beban ibu mertua. Anda tentu tahu pada waktu itu, muka ibu mertua anda akan menjadi merah padam dengan kemarahan dan mungkin dia akan terus menangis jika dia seseorang yang lembut. Jika lebih teruk, anda akan dihalau dari rumah itu dan disumpah seranah supaya tidak datang lagi.
Apa yang berlaku di sini? Tidakkah anda cuba menjadi seseorang yang jujur yang cuba membalas budi ibu mertua anda? Kenapa reaksi ibu mertua anda begitu teruk terhadap perkara ini? Inilah yang saya maksudkan dengan dua dunia yang kita hidup iaitu dunia pasaran dan dunia sosial.
Dalam situasi di atas terdapat pertembungan antara dua dunia ini. Anda berada di dunia sosial dan kemudian anda cuba untuk menukarkannya menjadi dunia pasaran. Pertembungan dua dunia ini jarang membuahkan hasil yang baik. Jika dua dunia ini diasingkan, ia akan membuahkan hasil yang lebih baik. Contoh kedua pula, jika anda berminat dengan seorang gadis dan anda mengajak gadis itu keluar minum. Setelah gadis itu bersetuju, anda keluar dengannya pada setiap hujung minggu. Seperti kebanyakan remaja lain, anda keluar pergi tengok wayang, berjalan-jalan di taman dan minum di tempat istimewa.
Setelah lima kali anda keluar dengan gadis itu, anda masih belum pasti sama ada dia menyintai anda ataupun tidak. Masih belum ada apa-apa reaksi positif daripada 'pelaburan' anda. Cinta anda masih belum disambut oleh gadis itu.
Pada kali keenam anda membuat keputusan untuk bertanya secara terus terang. Maka anda pun berjumpa gadis ini di sebuah kafe dan menerangkan kepada gadis ini mengenai RM50 yang anda belanjakan setiap kali berjumpa dengannya.
Jadi selepas enam minggu kos keseluruhannya sudah mencecah RM300. "Jadi, adakah awak sudah mula mencintai saya?"
Pada saat anda bertanya perkara ini pada gadis itu, anda telah melangkaui sempadan dunia sosial merentasi ke sempadan dunia pasaran. Anda tentu tahu reaksi gadis tersebut pada waktu itu. Jika anda tidak bernasib baik, anda tentu akan disimbah teh tarik yang diminum gadis tersebut.
Di sini juga sudah pasti dua dunia ini tidak boleh bertemu. Jika kita perhatikan kebelakangan ini kebanyakan syarikat juga cuba untuk menunjukkan mereka berada dalam dunia sosial dengan berselindung di sebalik dunia pasaran.
Mereka menguar-uarkan slogan-slogan seperti "Sentiasa Bersamamu", "Teman Anda Sepanjang Masa", "Rakan Niaga Anda". Contoh-contoh slogan dunia sosial ini yang cuba digunakan di dunia pasaran. Ini disebabkan kesetiaan adalah faktor yang sangat penting dalam perniagaan. Pelanggan tidak akan setia jika anda hanya bercakap dengan mereka dalam dunia pasaran. Mereka akan lari daripada anda jika mendapat harga yang lebih murah di tempat yang lain.
Dalam dunia pasaran sepenuhnya pula anda perlu ada had untuk norma-norma sosial. Katakan anda ingin membeli sebuah kereta daripada rakan dan apabila anda bertanya harga, rakan anda mengatakan "tak apa la, aku bagi harga murah-murah".
Anda bersetuju membeli dengan harapan harga yang akan diberi oleh rakan anda itu murah. Pada waktu untuk menandatangani dokumen tukar hak milik, baru anda mengetahui harga yang rakan anda letakkan itu jauh lebih mahal daripada harga pasaran.
Pada waktu itu anda akan merasa tertipu dan mungkin pada waktu itu sudah terlewat untuk anda menarik balik persetujuan anda. Hubungan anda dengan rakan anda tidak akan menjadi sebaik dahulu. Jadi dalam menjalankan urus niaga yang melibatkan dunia pasaran. Anda perlu transform memasuki dunia pasaran. Anda boleh berterus terang dengan rakan anda mengenai perkara ini. Ini adalah lebih baik daripada anda melukakan persahabatan.
Jadi kewujudan kedua-dua dunia ini sangat penting untuk kita sedari sebelum menggunakannya dengan baik dalam kehidupan seharian kita. Dengan ini, kehidupan anda akan menjadi lebih bermakna dan anda akan bercakap dengan bahasa yang betul pada individu yang betul.
sumber : http://www.utusan.com.my
sumber : http://www.utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment