Tanggungjawab Hati – Amanahlah Pada Ilmu
Oleh: Naimah binti Abdul Rahman (sy1076)
I
Seorang
pemuda sedang berteleku di hadapan komputer. Tiba-tiba azan zohor
berkumandang, kedua biji matanya masih ralit menatap skrin. Hatinya
menggerutu, “Alamak, kenapa awal sangat masuk waktu solat zohor? Kerja
aku masih banyak! Kalau aku solat dahulu, kerja ini entah bila akan
siap.” Dia menggeliat kecil dan menatap monitor komputer, hatinya
warawiri antara mahu menyambung kerja atau berhenti untuk solat
berjemaah.
“Bukankah
solat itu dituntut agar didirikan pada awal waktu?” Ilmu dan akalnya
berdiskusi. “Ah! Apa boleh buat, kerja masih banyak. Kalau tidak pergi
solat berjemaah pun tidak mengapa. Selepas ini aku tetap bersolat
sendirian di bilik.” Akhirnya dia memilih untuk meneruskan kerja dan
meninggalkan solat berjemaah pada awal waktu.
Beberapa
jam kemudian dia menuju ke tandas. Terlebih dahulu dia membuang air
kecil. Kelihatan percikan najis terkena pada seluarnya. Dia tepuk dahi
“Adui! Macam mana aku mahu bersolat? Seluar kotor terkena najis. Nanti
solat aku tidak sah.” Ilmu dan akalnya berhujah lagi. Sebaik keluar dari
tandas, dia berwudhu’ sambil hati bercempera. “Ah! Pedulikan saja! Aku
tidak bawa kain pelikat untuk menyalin seluar. Solat sajalah dengan
seluar ini pun, bukan sesiapa pun tahu seluar ni terkena najis. Yang
penting aku solat.”
II
Seorang
pemudi sedang menunggu rakan sebiliknya yang menyalin pakaian. Mereka
mahu keluar berjalan-jalan ke pasaraya. Beberapa minit dia menunggu
kawan sebiliknya berdandan. Pemudi itu terpegun setagal apabila melihat
pakaian kawan sebiliknya yang memakai tudung jarang dan berbaju ketat.
Hatinya menggerutu, “Bukankah salah memakai tudung jarang? Apatah lagi
memakai baju ketat. Perlukah aku tegur?” Hatinya warawiri. Dia menarik
nafas panjang, “Ah! Buat apa sibuk menegur, nanti bergaduh pula jadinya.
Orang lain masih ramai yang berpakaian begitu. Biarkan sajalah!” Dia
menyerah kalan tanpa mahu mencuba dahulu.
Kawannya
menghampiri si pemudi itu dan mengajaknya beredar keluar. Pemudi itu
tercium bau wangi yang semerbak dari tubuh rakannya. Dia terpegun sekali
lagi. Hatinya makin rimas, “Bukankah dalam Islam wanita dilarang
memakai haruman yang semerbak apabila keluar rumah? Bolehkah aku
membiarkan rakanku keluar dalam keadaan begitu? Kasihan pula jika dia
berdosa.” Sekali lagi ilmu dan akalnya berdiskusi. Dengan rasa berat
hati, dia memujuk diri sendiri, “Biarlah, bukan selalu dia memakai
haruman begini. Kalau berdosa, dia yang tanggung. Aku tidak perlu
peduli.” Si pemudi memujuk dirinya. Ilmu dikhianati dan nafsu dituruti.
Dia tewas sebelum berjuang.
IKHTISAR
Apa
yang telah berlaku pada pemuda dan pemudi itu sebenarnya? Benar! Mereka
telah mencuaikan amanah terhadap ilmunya. Mereka tahu yang baik dan
buruk, mereka tahu dosa dan pahala, mereka mengetahui batas-batas
syariat, malangnya mereka berlaku khianat pada diri sendiri. Lihatlah si
pemuda itu, dia memungkiri temujanjinya dengan Allah. Dia mencuaikan
solat awal waktu. Apatah lagi dia rela menzalimi dirinya bersolat dalam
keadaan pakaiannya bernajis. Perbuatan khianat terhadap ilmu itu membawa
dosa dan kerugian kepada dirinya.
Lihat
pula si pemudi tadi yang melihat suatu kemaksiatan pada rakannya. Dia
mengetahui bahawa perkara itu salah, bahkan dia boleh menegur rakannya
dengan cara yang lembut. Namun, kerana tidak mahu menyusahkan diri, dia
membiarkan sahaja dosa itu berlaku. Sedarkah bahawa dia telah berlaku
zalim pada rakan dan dirinya sendiri. Dia sudah membiarkan rakannya
mendapat dosa-dosa dan dia sendiri menanggung dosa rakannya kerana tidak
menegur perkara maksiat yang berlaku sepanjang mereka keluar
bersiar-siar.
KONKLUSI
Saudaraku!
Amanahlah pada ilmu. Zahirkan ilmu itu dan jangan diabaikan. Tiada
amanah yang lebih besar untuk dijaga melainkan kita beramal dengan apa
kita fahami. Berusahalah untuk mengamalkan setiap ilmu yang benar. Malah
ajarilah ia kepada orang lain kerana itu dianggap sebagai amar makruf.
Seandainya kita melihat sesuatu kemungkaran berlaku, maka cegahlah ia
dengan berhemah kerana itu termasuk dalam nahi mungkar. Sesungguhnya
amanah itu wujud di dalam diri seseorang yang sentiasa melakukan suruhan
dan menjauhi tegahan berdasarkan ilmu yang ada di dalam dadanya.
Riwayat Tabarani, Nabi s.a.w. bersabda:
“Tiada
iman bagi mereka yang tiada amanah dalam hatinya, tiada solat bagi
mereka yang tidak bersuci, tiada agama bagi mereka yang tidak bersolat.”
Mudah-mudahan kita kekal beramanah terhadap ilmu di dada kita. Insya Allah..
0 comments:
Post a Comment