Monday, 26 September 2011

Sahabat sejati.

Oleh : Nurul Izzati binti Che Aznan (sy 1077)

Sabda Rasulullah SAW: 
"Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati."

Alangkah beruntungnya kita jika mendapat sahabat sejati yang memiliki ciri-ciri seperti yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW ini. Aku membayangkan di zaman Rasulullah SAW, tentunya sahabat-sahabat baginda seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman Affan, Saidina Umar al-Khattab, dan Saidina Ali abi Talib dan lain-lain merasa tersangat bersyukur dikurniakan oleh ALLAH SWT seorang sahabat sejati seperti Rasulullah SAW. Sahabat yang mengingatkan mereka kepada ALLAH SWT setiap saat melalui perbuatan, percakapan,  dan amalan sehariannya. Di zaman yang serba canggih ini, tentu sukar untuk kita mendapat sahabat sejati yang sering mengingatkan kita kepada Yang Maha Esa. Nisbahnya mungkin 1 dalam 10.

Dalam kehidupanku di kampus ini, sahabat sejatiku yang memiliki ciri-ciri seperti diungkapkan oleh Rasulullah SAW ini mungkin hanya seorang. Insan ini ku panggil kak Umi memandangkan beza usia kami 2 tahun  ;). Setiap tingkah laku dia mengingatkan aku pada ALLAH SWT. Kepekaan dia memilih makanan yang bertanda Halal yang sah membuatkan aku ingin mencontohinya. Penampilan dia yang berpurdah tentu sahaja membuatkan kita berfikir alangkah baiknya hamba ALLAH SWT ini. Menutup aurat untuk menjaga diri dari fitnah masyarakat.


Aku bersyukur kerana dipertemukan oleh ALLAH SWT dengan insan ini. Boleh aku katakan dia melihat transformasiku dari semester 1 hingga kini, semester 5. Transformasiku ke arah lebih baik. Alhamdulillah. Aku bersyukur kerana dapat belajar erti ketabahan dan kesabaran dari kak umi. Ketabahan dan kesabarab kak umi dalam mempertahankan purdah yang dipakainya di kampus ini biarpun ramai yang mempersoalkan isu tersebut. Pernah suatu ketika dia berkata kepada kami, "Akak lebih rela belajar di pondok jika dipaksa untuk membuka purdah ini," Begitulah bagaimana tabahnya hamba ALLAH SWT yang bernama umi ini. Kak umi juga tidak kedekut ilmu. Itu sebabnya dia menjadi naqibah untuk aku dan sahabat-sahabat yang lain agar dapat kami berkongsi ilmu sebagai bekalan untuk menghadap ALLAH SWT kelak. Mungkin inilah ciri-ciri seorang sahabat sejati melalui pandanganku.

Namun, apakah sebenarnya ciri-ciri seorang sahabat yang baik?
Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya,
“Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut.”

1 – Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

2 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

3 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.

4 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

5 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

0 comments:

Post a Comment