Wednesday, 7 March 2012

Wajarkah Tahun Masihi Dikecam?

Mior Muhammad Faris B Mior Abdul Rahman (SY0971)


Tahun Hijriah dirumus berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi dalam tempoh setahun. Ia lebih dikenali sebelumnya sebagai Tahun Bulan. Manakala tahun Masihi dirumus berdasarkan pergerakan antara bumi dan matahari. Ia dikenali juga sebagai Tahun Matahari. Pergerakan bulan, bumi dan matahari adalah ciptaan dan di bawah pentadbiran Allah.

Hikmahnya agar manusia boleh membuat penentuan tahun. Allah berfirman bermaksud:”Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan Dia menetapkan untuknya (bulan atau bulan dan matahari) beberapa kedudukan agar kamu mengetahui bilangan tahun dan pengiraan.” (Yunus: 5)

Tahun Hijriah dan Masihi diisyaratkan oleh Allah di dalam KitabNya ketika bercerita tentang pemuda dalam gua yang dimatikan oleh Allah beberapa lama sebelum dihidupkan kembali. Allah berfirman: “Dan mereka berada dalam gua mereka selama 300 tahun dan mereka tambah lagi 9 tahun.” Menurut Ibn Kathir, 300 tahun itu sekiranya dikira menggunakan tahun Masihi, manakala 309 tahun sekiranya dikira berdasarkan tahun hijriah.

Tahun Masihi masyhur digunakan oleh kerana ia digunakan secara meluas oleh Kerajaan Rom di zaman turunnya al-Qur’an. Manakala bulan-bulan yang dikenali kemudiannya di zaman Umar sebagai tahun hijriah digunakan oleh orang-orang Arab. Justeru, al-Qur’an merujuk kepada penggunaan kedua-dua jenis kalendar.setahun berdasarkan kiraan hijri ialah 354 hari, 8 jam, 48 minit dan 36 saat.

Setahun berdasarkan tahun Masihi pula ialah 365 hari 6 jam 9 minit dan 9.5 saat. Justeru, perbezaan antara setahun Hijriah dan Masihi ialah lebih kurang 11 hari atau lebih tepatnya 10 hari 21 jam dan 1 minit. Dengan itu perbezaan antara 100 tahun ialah 3 tahun 24 hari 11 jam dan 6 minit. Manakala perbezaan antara 300 tahun hijriah dengan Masihi ialah 9 tahun 73 hari 9 jam dan 48 minit. Sekiranya diberi pilihan antara dua jenis kalendar tentulah sebagai Muslim kita mengutamakan tahun hijriah kerana banyak perlakuan ibadah adalah berdasarkan tahun hijriah.

0 comments:

Post a Comment