Wednesday, 7 March 2012

Ke arah seorang yang celik Sirah.

Mior Muhammad Faris Bin Mior Abdul Rahman (SY0971)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Apabila kita membincangkan tentang Muhammad Bin Abdullah, sirah kehidupan Baginda sudah pasti menjadi topik perbualan masyarakat. Tetapi seribu kali sayang  gelombang yang membawa momentum masyarakat untuk mengkaji sirah dan sunnah baginda hanyalah hadir dan menerjah ke tengah masyarakat apabila datang musim maulidur rasul ataupun dipanggil juga sebagai maulud nabi. Kedaifan masyarakat mengenai manusia Agung ini memanglah ditahap yang kritikal seperti para pesakit di wad ICU yang majoritinya hampir menunggu saat nyawa terpisah dari badan. Sehinggakan hari kelahiran Rasulullah SAW sendiri pun mereka tidak tahu. Dari kelompok yang tahu pun masih ada yang salah, ataupun tidak pasti dengan jawapan mereka. Persoalan yang timbul, mengapa situasi ini berlaku dalam sebuah negara yang majoriti rakyatnya dihadirkan oleh Allah SWT sebagai ummat Islam? Barangkali mereka tidak  tahu apakah tujuan mereka mengkaji Sirah Muhammad Bin Abdullah.
Jangan sesekali kita meletakkan dalam kotak pemikiran kita, bahawa sirah Rasulullah SAW hanyalah satu rentetan cerita yang hanya memaparkan selok-belok asal-usul dan jalan kehidupan Rasulullah SAW ataupun hanyalah himpunan cerita-cerita indah. Sebab itu Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti  di dalam kitab karangannya, Fiqh Al-Sirah menegaskan bahawa membaca Sirah Rasulullah SAW tidak sama seperti membaca atau mengkaji sejarah-sejarah para pemimpin (khalifah) pada zaman purbakala. Tujuan yang paling dominan dalam mengkaji sirah penghidupan Rasulullah SAW adalah memahami dan menyakini bahawa sirah Rasulullah adalah gambaran tentang hakikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah itu sendiri. Bagi membolehkan tujuan ini tercapai, kita tidak boleh hanya membaca sirah Rasulullah SAW dengan sepintas lalu sahaja. Kita juga perlu memahami dan memikirkan sebab-sebab sirah itu terjadi dan apakah hikmah ataupun pengajaran yang ingin disampaikan melalui sirah tersebut. Justeru, prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam harus difahami terlebih dahulu supaya dapat membongkar hikmah disebalik sirah Rasulullah. Kita juga perlu sedar bahawa setiap ucapan, pengakuan, dan perbuatan Rasulullah SAW bukanlah sekadar kisah-kisah menarik baginda semata-mata tetapi implikasi daripada ucapan, perbuatan dan pengakuan bagindalah yang akan menjadi hukum-hakam di dalam syariat Islam yang akhirnya menjadi acuan kehidupan masyarakat Islam.
Konklusi yang ingin disimpulkan di dalam tulisan ini adalah, kita selaku ummat kepada penghulu segala nabi, Nabi Muhammad SAW, perlu mengetahui dan memahami kisah-kisah di dalam kehidupan baginda bukanlah hanya sekadar kisah tetapi perlu tahu apakah objektif sebenar yang ingin disampaikan oleh Rasulullah SAW.

0 comments:

Post a Comment