Al-quran ialah kalam Allah s.w.t. Sebelum al-quran diturunkan, Allah s.w.t. telah menempatkannya di Lohmahfuz. Sepertimana firman Allah yang bermaksud: "Bahkan ialah al-quran yang tertinggi kemuliaannya, (lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lohmahfuz." (Surah al-Buruj 85: 21-22).
Al-quran diturunkan sebanyak 2 kali. Kali pertama Allah s.w.t. menurunkan al-quran dari Lohmahfuz ke Baitul Ma'mur. Baitul Ma'mur ialah tempat para malaikat bertawaf. Di sana, Allah s.w.t. telah menurunkan sedikit demi sedikit kepada Rasulullah s.a.w. mengikut tahap kemampuan Baginda yang mengambil masa selama 23 tahun untuk menghabiskan keseluruhan al-quran. Penurunan al-quran menggunakan 2 lafaz, iaitu:
- انزال(inzal)
- تنزيل(tanzil)
Peringkat pertama penurunan al-quran diturunkan dari Lohmahfuz ke Baitul Ma'mur sepertimana Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya; "Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-quran itu pada malam yang berkat (malam Lailatulqadar); kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran." (Surah al-Dukhan 44: 3). Allah s.w.t. menggunakan lafaz inzal dalam ayat di atas. Ini menunjukkan bahawa al-quran telah diturunkan keseluruhannya dari Lohmahfuz ke Baitul Ma'mur.
Peringkat kedua penurunan al-quran adalah dari Baitul Ma'mur kepada Rasulullah s.a.w. iaitu secara sedikit demi sedikit sepertimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Dan al-quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan perlahan-perlahan; dan Kami menurunkannya beransur-ansur." (Surah al-Isra' 17: 106). Dalam ayat di atas, Allah s.w.t. menggunakan lafaz tanzil yang menunjukkan bahawa Allah s.w.t. menurunkan al-quran sedikit demi sedikit kepada Rasulullah s.a.w.
0 comments:
Post a Comment