HARI ini sudah seminggu kita di dalam Syawal 1432 Hijrah. Pada hemat saya, sambutan Aidilfitri pada tahun ini luar biasa kerana sambutan hari raya jatuh hampir serentak dengan Hari Kemerdekaan negara.
Satu perkara yang mungkin kita tidak pernah fikirkan akan berlaku sejak laungan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Saya juga secara peribadi, teruja dengan peristiwa itu kerana pastinya terkandung „hikmah. yang perlu kita renungkan bersama. Aidilfitri di segi bahasa bermaksud perayaan (aid) kembali kepada fitrah (fitr). Namun, mengapa ia dinamakan demikian? Ini kerana Ramadan ibarat „akademi. pengislahan (memperbaiki) diri manakala Aidilfitri pula boleh dianggap hari pengijazahan kerana kejayaan seseorang itu yang tamat dengan cemerlang latihan selama sebulan dan keluar bersih seolah- olah bayi baru lahir.
Definisi merdeka pula, menurut kamus Dewan, bebas daripada kurungan dan naungan atau lepas daripada tebusan dan tuntutan. Setiap tahun kita meraikan ulang tahun kemerdekaan bagi memperingati tanah air kita dikembalikan untuk ditadbir urus bangsa kita tanpa dibelenggu pihak lain. Saya suka mengajak pembaca meninjau beberapa senario untuk sama-sama fikir dan nilaikan mengenai maksud merdeka yang hakiki.Hari ini, nafsu kita merdeka kerana Ramadan sudah tamat. Jika dulu gelodak nafsu kita ditahan disebabkan berpuasa, kini ia bebas.
Jika sepanjang Ramadan kita boleh menahan lapar seharian tetapi pada bulan ini, lapar sikit pun hati memberontak dan mulut bising membebel. Macam mana tu? Merdekakah kita daripada kekangan nafsu? Jika kita imbas sejarah Peperangan Badar, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Kita baru kembali daripada satu peperangan kecil untuk memasuki peperangan lebih besar.” Namun, sahabat terkejut dan bertanya: “Peperangan apakah itu, wahai Rasulullah? Lantas baginda berkata: “Peperangan melawan hawa nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi) Sebagai umat Islam, tidak salah untuk kita bergembira pada Syawal tetapi biarlah sambutan itu bertepatan dengan panduan syariat dan bukan meraikan dengan pesta pembaziran, pergaulan bebas lelaki dan wanita serta memakai pakaian tidak mengikut spesifikasi syariat.
Antara perkara lazim yang menjadi budaya kita ialah, sewaktu Aidilfitri, kita bersalaman di antara lelaki dan perempuan bukan mahram lantaran kini bulan bermaaf-maafan. Dalam „mabuk. berhari raya, kadangkala kita keliru juga mengenai soal mahram, lebih-lebih lagi apabila semua anak, cucu-cicit, saudara-mara dan sepupu-sepapat berkumpul bersama. Saya berpendapat, setiap ketua keluarga seharusnya peka mengenai isu ini.
Jika selama ini kita asyik sibuk berhimpun dan bercerita mengenai salasilah keluarga besar masing-masing, tahun ini tiada salahnya kita selitkan sedikit isu mahram. Buat sedikit „homework. dengan merujuk kitab di pasaran mengenai perihal mahram dalam keluarga sebagai bekalan ilmu. Baru Aidilfitri tahun ini lebih bermakna kerana ia satu perjalanan ziarah dan dakwah.
Hari ini, syaitan juga merdeka daripada „dirantai. serta belenggu dan sudah kembali berkeliaran mencari jalan untuk menghasut manusia. Visi dan misi syaitan tetap tidak berubah sebagaimana sumpah mereka iaitu untuk menyesatkan manusia yang diterangkan menerusi surah Al-Hijr, ayat 39, yang bermaksud: “Iblis berkata; Wahai Tuhanku! Kerana Engkau menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.” Syaitan sememangnya bijak „meniti. di atas nafsu manusia dan arif untuk menipiskan ketebalan iman.
Namun, dengan akal, kita bertanya kepada diri kita hari ini, merdekakah kita jika syaitan kekal bertakhta dalam diri dan bermaharajalela di hati kita yang sentiasa lalai dan leka terhadap perintah-Nya? Hari ini, sekali lagi kita menyambut Hari Kemerdekaan negara kita untuk ke sekian kalinya. Jadi, bagaimana kita menyukat dan menilai harga kemerdekaan yang kita kecapi? Jika kita lihat daripada sudut pemikiran dan gaya hidup, jiwa masyarakat kita hari ini tebal dengan sikap materialistik hinggakan harga diri seseorang itu dinilai dengan wang ringgit dan bukan kerana sikap peribadi.
Dalam kesempatan Aidilfitri ini, kita pandang-pandang dan jeling-jeling suasana di sekitar kita. Jika seseorang itu tebal poketnya, ramailah saudara-mara yang suka „bersoreh. dan menyanjung kehadirannya. Bagaimanapun, jika seseorang itu tergolong dalam kategori „marhaen. dan serba kekurangan, kita lihat cakap dan pandangan orang ini „tak laku. dan mereka anak beranak seolah-olah „dipinggirkan silap hari bulan, layanan ziarah dan menu hidangan pun boleh jadi berbeza.
Falsafah dan gaya hidup golongan belia kita pada hari ini juga boleh dikatakan belum mengenal erti merdeka yang sebenarnya. Lihat saja cara mereka berpakaian, fesyen rambut dan gaya pertuturan. Rata-ratanya jauh menyimpang daripada panduan agama dan adat resam bangsa Melayu yang penuh dengan ciri-ciri kesopanan dan tata susila. Saya tidak menyatakan yang datang daripada luar itu semuanya salah tetapi kita, sebagai pengguna, harus tahu membuat penilaian dan bukan menerima bulat-bulat apa saja yang disogok kepada kita.
Merdekakah kita apabila sentiasa menjadi pengguna yang taat dengan apa saja barangan yang diiklankan, khususnya daripada Barat? Kita mudah dipengaruhi iklan yang tidak putus-putus mempersembahkan „trend terbaru atau pilihan terbaik masa kini walaupun pada hakikatnya, barangan itu bertentangan dengan panduan dan ajaran Islam. Contohnya hari ini, kita lihat orang lelaki popular dengan „trend. seluar jeans yang panjang labuh menyapu lantai manakala seluar orang perempuan pula dilipat „senteng. hingga ke pertengahan paras betis.
Sedarkah kita, ini adalah helah cukup halus untuk merosakkan amalan sunnah dan cara berpakaian dianjurkan Rasulullah SAW yang melarang orang lelaki melabuhkan pakaian melebihi buku lali.Kita patut sedar, penjajahan bukan wujud secara lahiriah saja tetapi juga secara dalaman, yang secara perlahan-lahan meracun akal, nafsu dan pemikiran lebih berbahaya.
Hal ini sewajarnya tidak dipandang enteng kerana ia dirancang sejak dulu lagi oleh King Louis VI, selepas tentera kafir tewas dalam Perang Salib pada 1248-1254, dengan berkata: “Kita kalah dalam peperangan ini kerana umat Islam berpegang teguh dengan kitab mereka (al-Quran). “Mereka berperang untuk mati (syahid) manakala kita berperang untuk hidup. Jadi, kita kena ubah taktik untuk memerangi mereka, kita tak usah lagi berperang menggunakan senjata tetapi kita perangilah pegangan mereka.
Kita mesti buang al-Quran daripada dada mereka. Percayalah, selepas ini kita akan berjaya!” Oleh itu, sempena
Aidilfitri dan sambutan hari kemerdekaan tahun ini, saya ingin menyeru semua pihak untuk sama-masa
muhasabah diri kita dan menghayati nilai sebenar sebuah kemerdekaan yang hakiki.
Kemerdekaan yang hakiki adalah apabila kita berjaya membebaskan nafsu dan pengaruh hasutan syaitan yang
sentiasa menghalang kita dalam usaha mencari keredaan-Nya, sekali gus melepaskan diri daripada sebarang
pengaruh luar (sama ada berbentuk fizikal mahupun cara berfikiran) yang bertentangan dengan ajaran agama,
adat dan budaya bangsa kita.
0 comments:
Post a Comment