DUA isu terbesar yang membelenggu orang Melayu Islam pada masa kini. Murtad dan muflis (2M)! Ramai orang Melayu yang menyedari kesan kehilangan kuasa politik tetapi berapa ramaikah yang benar-benar sedar betapa kehilangan akidah (murtad) dan kehilangan kekayaan (muflis) memberi kesan yang lebih dahsyat lagi kepada orang Melayu pada masa akan datang.
Orang Melayu yang sememangnya lemah angkara tidak bersatu (kesan perbezaan ideologi politik) akan semakin parah dek kerana isu murtad dan muflis. Hang Tuah pernah berkata, Melayu tidak akan hilang di dunia. Tetapi jika Hang Tuah masih hidup dan boleh melihat betapa nazaknya orang Melayu ketika ini mungkin beliau akan mengubah kata-katanya menjadi, "Melayu semakin hilang di dunia".
Masakan tidak, pada zaman Hang Tuah, kegemilangan orang Melayu berpaksikan kekuatan akidah dan harta benda selain kekuasaan politik. Namun, kini agama orang Melayu mudah dipesongkan hanya kerana wang ringgit. Kekuatan politik apabila disatukan dengan kekuatan akidah dan harta benda, nescaya tiada siapa yang mampu menggugat orang Melayu. Malangnya, akidah orang Melayu tidak sekuat pada masa lalu dan ini menyebabkan penganut agama lain cuba memesongkan agama orang Melayu yang selama ini berteraskan agama yang paling syumul, iaitu Islam. Orang Melayu tidak boleh lagi hanya melihat sahaja. Jika orang Melayu tidak boleh bersatu atas wadah politik, pegangan akidah Islam adalah penyelesaiannya.
Justeru, apabila ada alim ulamak yang mencadangkan agar Akta Murtad dilaksanakan, tiada sebab orang Melayu Islam tidak bersetuju. Jangan sesekali memperjudikan masa depan akidah generasi akan datang. Ia seharusnya dimulakan oleh generasi belia sekarang.Belia-belia Melayu sering kali menjadi sasaran penganut agama lain. Disebarkan agama lain kepada belia Melayu kerana mereka mengetahui jika mereka berjaya memesongkan pegangan akidah belia Melayu, maka rosaklah generasi Melayu pada masa akan datang.
Akta Murtad yang disyorkan oleh Mufti Perak merupakan idea ampuh bagi menangani isu murtad di kalangan orang Melayu khususnya golongan belia. Beliau sentiasa istiqamah memperjuangkan isu murtad. Perbincangan secara mendalam mengenai Akta Murtad di kalangan alim ulama dan para pemimpin politik perlu disegerakan agar segala isu mengenainya diselaraskan di semua peringkat sama ada negeri mahupun persekutuan.
Pemimpin-pemimpin politik tidak kira ideologi perlu sentiasa menyokong Akta Murtad. Tidak membenarkan agama lain disebarkan kepada umat Islam sememangnya sudah termaktub dalam perlembagaan, tetapi apa yang ingin dimasukkan dalam Akta Murtad melibatkan tindakan yang akan diambil kepada kedua-dua pihak (orang Islam yang murtad dan pihak yang memurtadkan orang Islam).
Dengan mengambil tindakan keras kepada mereka, insya-Allah akidah umat Islam akan sentiasa terpelihara. Murtad juga berkait rapat dengan kemuflisan. Sekali lagi, ramai di kalangan belia Melayu yang terjebak dengan kemuflisan. Minggu lalu kita dikejutkan dengan maklumat bahawa setiap hari seramai 41 belia jatuh muflis.
Jumlah ini amat membimbangkan! Penulis yakin daripada 41 belia tersebut kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu Islam. Fakta ini berteraskan bahawa orang Melayu ramai yang masih miskin dan berpendapatan rendah. Malahan, rang Melayu jugalah yang ramai terjebak dengan perangkap hutang. Fakta juga menunjukkan kekayaan orang Melayu tidak seberapa berbanding kaum lain. Sifat orang Melayu yang juga suka berhibur menyebabkan banyak wang hilang begitu sahaja. Itu belum termasuk sentiasa menjaga status agar kelihatan mewah di mata orang lain, walhal poket kosong. Kita tidak boleh menafikan fakta-fakta ini meskipun pahit untuk ditelan.
Menangani isu kemuflisan di kalangan belia Melayu menjadi satu kewajipan bagi setiap orang Melayu. Kita tidak boleh hanya mengharap agensi-agensi berkaitan membantu kita seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Kita perlu membantu diri kita sendiri. Asasnya, setiap orang Melayu perlu mempunyai kemahiran mengurus kewangan sejak kecil lagi. Pengajaran daripada ibu bapa adalah jalan terbaik. Beri contoh kepada anak-anak kita.
Jangan pula kita mengajar mereka boros berbelanja, suka berhibur dan mengejar status kemewahan. Kalau kita sendiri mengamalkan cara hidup sebegitu, mana mungkin anak-anak kita boleh mengurus kewangan secara berhemah apabila meningkat dewasa. Mulakan dari awal. Tidak salah berjimat cermat dan mengawal nafsu berbelanja. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Apalah gunanya jika mereka menjadi muflis. Masa depan mereka akan menjadi gelap.
Mahukah kita sebagai ibu bapa ingin melihat mereka sengsara dek kerana menjadi muflis? Tidak mengapalah jika mereka tidak berputus asa, tetapi siapa yang perlu dipersalahkan apabila suatu hari nanti mereka meminta bantuan daripada pihak-pihak lain yang sentiasa mengintai peluang untuk memesongkan akidah mereka dengan habuan wang ringgit?Ketika itu, menunding jari tiada gunanya. Satu jari untuk pihak yang ditunding, empat jari pula ke arah diri sendiri!
0 comments:
Post a Comment