Saturday, 28 January 2012

~ Orang Yang SABAR Sentiasa Dapat Pertolongan Daripada Allah S.W.T ~


NuR aMaNi BiNTi JuSoH ~ SY 1066 ~ 


      Perkataan ISLAM berasal daripada bahasa Arab iaitu rangkuman salam dan aslama. Makna salam ialah selamat, sejahtera dan aman damai. Manakala aslama ialah tunduk dan patuh kepada perintah Allah S.W.T . Maka seseorang Muslim sifatnya adalah sentiasa berserah diri kepada Allah dalam mengharungi kehidupan di dunia yang tidak akan kekal ini.

       Kebiasaan juga Islam dihuraikan sebagai addin atau cara hidup berlandaskan peraturan dan panduan yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Konsep inilah yang selalunya diberi penekanan pada zaman ini. Seseorang dianggap Muslim apabila dia menunaikan lima rukun Islam, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat wajib iaitu solat 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan ibadat haji bagi yang berkemampuan. Ertinya keislaman seseorang boleh dinilai atau diukur secara lahiriah berdasarkan ketaatannya menyempurnakan rukun yang lima ini.

       Amat jarang kita menilai keislaman seseorang berdasarkan kriteria penyerahan dirinya kepada Allah. Sebabnya, adalah lebih sukar untuk menilai secara lahiriah penyerahan diri seseorang kepada Allah kerana ia bersifat rohaniah yang tidak boleh dilihat oleh orang lain. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui isi hati manusia. Bagaimanapun, sepandai mana seseorang manusia menyembunyikan isi hatinya, ada kala menjelma juga dalam bentuk tutur kata atau perbuatan buruk yang boleh dilihat orang lain, jika Allah mahu mendedahkannya. Ini disebabkan dia sebenarnya tidak ‘berserah diri kepada Allah.’ Tanpa berserah diri kepada Allah, seseorang akan mudah hilang kesabaran dan melakukan perkara yang tidak Allah rehdai. Sebab itulah Allah berulang kali mengingatkan manusia supaya bersikap sabar. 

       Namun tidak ramai manusia, termasuk sebilangan besar yang mengaku Muslim, mentaati perintah Allah dalam bab kesabaran ini. Di kalangan mereka termasuklah juga orang-orang yang sering membaca al-Quran. Walau bagaimanapun, disebabkan iman mereka tidak kukuh, sering juga mereka hilang kesabaran apabila berhadapan dengan situasi yang menguji keimanan mereka. Terlalu banyak ayat al-Quran yang menyentuh soal kesabaran.

Antara firman Allah yang mengingatkan manusia supaya bersabar ialah:

Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung. - (Ali Imran : ayat 200)
       
      Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa kesabaran itu adalah salah satu sifat utama yang mesti dimiliki oleh seseorang Muslim yang beriman. Tanpa kesabaran ertinya kita tidak beriman, hanya sekadar mengaku Islam tetapi bukan Muslim yang sejati.

      Punca manusia mudah hilang sabar adalah kerana iman mereka sangat goyah. Mereka tidak berserah diri kepada Allah kerana sifat keakuan terlalu tebal pada dirinya. Akulah yang kuat, akulah ulama, akulah yang pandai, akulah yang layak jadi pemimpin, akulah yang berkuasa dan kaya, akulah yang benar dan betul dan pelbagai lagi sifat keakuan. Apabila sifat keakuan terlalu tebal, seseorang akan lupa siapa sebenar dirinya dan akhirnya akan melupai Allah Yang Maha Berkuasa ke atas sekelian makhluk-Nya. Apabila manusia lupakan Tuhan, maka semakin hebatlah sifat keakuan pada dirinya. Lalu Allah menguji mereka dengan kesusahan, kelaparan, hilang kuasa, susut harta kekayaan dan sebagainya. Disebabkan iman yang rapuh atau langsung sifar, maka mereka tidak sabar lalu melakukan perbuatan dan tindakan yang bertentangan dengan syariat Islam.


      Di dalam al-Quran, Allah menceritakan beberapa kisah nabi yang diuji kesabaran mereka. Paling terkenal ialah Nabi Ayub yang menghidap penyakit sukar diubati selama berbelas tahun. Akhirnya dia bukan sahaja dipulaukan oleh masyarakat sekelilingnya, malah isterinya sendiri meninggalkannya berkelana dalam kehidupan terasing daripada manusia lain. Nabi Ayub tidak menyalahkan sesiapa dan menerima segala apa yang menimpanya sebagai ujian daripada Allah. Berkat kesabarannya, Allah bukan sahaja menyembuhkan penyakitnya, malah si isteri kembali kepadanya dan beliau akhirnya dikurniakan dengan keluarga yang bahagia dan kekayaan yang melebihi daripada apa yang dimiliki sebelum dia jatuh sakit. Sudah tentu kehidupan yang jauh lebih baik menunggunya di akhirat.

      Diceritakan juga dalam al-Quran kisah Nabi Yunus yang hilang kesabaran kerana tidak seorang pun di kalangan kaumnya mahu menerima ajaran yang disampaikannya. Terlalu marah, beliau mengambil keputusan meninggalkan kaumnya dan merantau ke tempat lain. Dalam perjalanan dengan kapal, dia dicampak ke dalam laut lalu ditelan ikan besar. Di dalam perut ikan, Nabi Yunus teringat bahawa apa yang dialaminya adalah kerana dia tidak sabar menghadapi ujian Allah supaya berdakwah kepada kaumnya. Dalam sesal beliau berdoa dan meminta keampunan Allah dalam doa yang masyhur bermaksud : “ Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.” Allah memperkenankan doa Nabi Yunus dan mengampuninya, lalu dia dimuntahkan dari perut ikan ke darat. Dia kembali kepada kaumnya dan meneruskan usaha dakwah dengan penuh kesabaran sehingga akhirnya seluruh kaumnya menerima seruannya supaya beriman kepada Allah.

AKAN TETAPI…

       Pada hari ini, lihatlah berapa ramai orang Islam yang sabar. Di jalan raya, adakah mereka bersabar? Kita sepatutnya menjadi contoh kepada pemandu-pemandu bukan Islam, tetapi malangnya yang paling cepat hilang kesabaran adalah orang Islam. Dan betapa ramai orang yang tidak sabar untuk cepat kaya. Mereka tidak berusaha dengan cara yang diredhai, tetapi melakukan kesalahan rasuah, menipu dan pecah amanah. Yang paling ramai adakah orang Islam atau bukan Islam? Selagi umat Islam tidak benar-benar berserah diri kepada Allah mengikut konsep yang dikehendaki-Nya sebagaimana yang digariskan dalam al-Quran, selagi itulah kita akan terus dibelenggu zaman kemurungan dan kelemahan. Kita hilang kekuatan kerana kesalahan kita sendiri dan kita tidak lagi mendapat pertolongan-Nya. Oleh itu, SABAR adalah jalan terbaik dalam mengharungi setiap langkah kehidupan di dunia ini dan ingatlah..!! “ Orang Yang Sabar Sentiasa Dapat Pertolongan Dari Allah "




0 comments:

Post a Comment