Saturday, 28 January 2012

Anak-anak & Pengaruh Media..Apakah Tindakan Anda?


Nur Amani Binti Jusoh ~ SY 1066 ~





      Terdapat beberapa panduan ringkas yang boleh dijadikan rujukan ibu bapa dalam menghadapi media yang semakin menjadi-jadi. Pertamanya, perlu diingat bahawa gelombang media perosak yang makin mengganas ini menuntut keprihatinan maksimum ibu bapa. Insafilah, anak-anak kita pada fitrahnya inginkan kesucian jiwa dan hembusan taqwa. Mesej-mesej daripada bahan media perosak hakikatnya amat jauh dari fitrah anak-anak. Maka usah kita sogokkan mereka dengan bahan-bahan pemusnah ini. Jika kita ingin membeli majalah, pilihlah majalah yang membina sakshiah diri. Jangan ada majalah pendorong pergaulan bebas, majalah hiburan, majalah berunsur misteri dan tahyul, apatah lagi majalah berunsur lucah dalam rumah kita. Sejak dari tadika, mereka perlu didedahkan dengan majalah Islami.

      Begitu juga dengan media elektronik. Usah berikan kepada anak-anak bahan-bahan CD atau DVD,  mahupun rancangan TV yang berunsur ganas dan melalaikan. Usah biarkan mereka menonton adegan orang bercinta. Hari ini siri kartun kanak-kanak pun ada adegan French kiss, apa lagi dalam rancangan TV dan filem lain. Maka, peranan ibu bapa amat penting untuk mengawal dan sentiasa mengingatkan anak-anak dengan adegan yang boleh merosakkan iman ini.

      Tapisan, pemantauan dan panduan ibu bapa amat penting dalam mengendalikan media untuk anak-anak. Bagi media yang sukar disekat, ibu bapa perlu bertindak sebagai penapis bahan-bahan yang tersiar. Tentukan kepada anak-anak bahan yang boleh ditonton dan yang mana tidak boleh ditonton. Begitu juga dengan internet, perlu ada tapisan bagi membuka laman web. Gunakan teknologi semasa untuk menapisnya. Walaupun tapisan seratus peratus unsur perosak adalah hampir mustahil, namun sekurang-kurangnya biarlah ia terkawal.

      Pemantauan perlu dibuat secara berkala bagi memerhatikan kecenderungan dan tingkah laku anak-anak kita. Perlu diingat dengan kelebihan sebahagian anak-anak dalam soal perkembangan teknologi mungkin mereka bijak menyembunyikan perangai tidak senonoh mereka menggunakan bahan yang merosakkan. Maka, ibu bapa bukan sahaja perlu prihatin, bahkan perlu mengikuti perkembangan teknologi bagi memintas salahlaku yang mungkin dilakukan oleh anak-anak mereka.



       Perlu diingat juga bahawa ibu bapa perlulah seimbang dalam memantau penggunaan media oleh anak-anak. Apa yang penting ialah kefahaman dan keyakinan anak-anak tentang bahaya bahan-bahan media yang merosakkan. Sebaik-baiknya biarlah anak-anak itu diserap dengan iman yang mendalam sehingga mampu mempunyai benteng diri bagi mengelakkan pengaruh media perosak ini. Selain itu, ibu bapa juga perlu menyediakan bahan-bahan alternatif bagi memenuhi tuntutan jiwa kanak-kanak dan remaja masa kini, agar jiwa muda dan segar mereka tidak terkulai layu akibat sekatan yang melampau dan tidak munasabah.

      Mudah-mudahan anda semua menjadi ibu bapa yang sentiasa peka dengan cabaran yang berlaku kini. Cabaran kita hari ini jauh lebih rencam dan kompleks berbanding cabaran ibu bapa kita yang mendidik kita masa dahulu kala. Moga Allah sentiasa menunjukkan hidayah buat kita semua. Semoga diri kita sentiasa dalam keberkatan dan keredhaan-Nya.




0 comments:

Post a Comment