Thursday, 20 October 2011

Peperiksaan Sebagai Sunnatullah

Disediakan Oleh
Abdullah Nazih Alwan Bin Mohd Rokhibi
UD 0617

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kehidupan setiap manusia di muka bumi milik Allah SWT ini mesti mempunyai ujian dan dugaannya. Malahan apa yang dikatakan ujian ini, adalah sukatan tahap ketaatan hambaNya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam kitabNya yang agung, Al-Quran  Al-Karim:-
Maksudnya:“Sungguh kami benar-benar akan menguji kamu sekalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar antara kamu sekalian”. (Muhammad, 47: 31)
Sayyid Qutub juga pernah berkata: “Penganut-penganut akidah itu pasti akan diuji dengan kesusahan agar pegangan hati mereka bertambah kukuh dan kuat, kerana kesusahan-kesusahan dan penderitaan-penderitaan itulah yang dapat  merangsang segala kekuatan dan daya tenaga mereka yang terpendam dan tersimpan”. Jelas disini menunjukkan bahawa cubaan dan ujian itu merupakan salah satu sunnatullah yang berlaku terhadap para hamba-Nya. Begitu jugalah dengan para pelajar yang pasti tidak akan terlepas dari ujian dan peperiksaannya. Sudah menjadi catatan rasmi dalam sejarah kehidupan seorang penuntut ilmu bahawa mereka pernah menghadapi ujian dan peperiksaan. Tetapi persoalan yang timbul sekarang ini apakah matlamat dan objektif diwujudkan ujian dan peperiksaan tersebut.
            Marcapada, begitu ramai graduan yang berjaya dilahirkan oleh pelbagai IPT, tetapi mengapa statistik kelakuan jenayah para mahasiswa semakin meningkat? Imam Al-Ghazali pernah berkata; bahawa satu masa nanti, manusia akan menghafal ilmu-ilmu yang mereka pelajari, dan akan dimuntahkan di dalam peperiksaan. Begitulah senario yang sedang berlaku dalam kehidupan mahasiswa era modenisasi ini. Mereka ini cukup sempurna dalam penguasaan teorinya dan mampu mencapai markah yang tinggi dalam peperiksaan. Tetapi, mereka belum pasti akan berjaya menterjemah segala teori tersebut di dalam kehidupan mereka dengan jayanya seperti kejayaan mereka di dalam peperiksaan. Situasi begini timbul kerana matlamat mahasiswa belajar bukan lagi untuk menambah maklumat dan ilmu pada diri mereka, tetapi mereka belajar hanyalah agar mereka mendapat kerja yang terbaik. Malahan menjadi budaya pelajar masa kini akan memilih bidang pengajian yang paling luas peluang pekerjaannya, bukan lagi untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzi pernah berkata: “apabila kita berada di dalam sesuatu majlis ilmu itu, janganlah sekadar berniat hanya untuk tahu, tetapi tanamkan di dalam hati itu niat untuk membina keyakinan kepada Allah, Rasul, dan juga kepada Islam itu sendiri”. Hal ini juga menunjukkan kepada kita bahawa perningkatan Iman hanya akan berlaku apabila meningkatnya ilmu.
            Rakan-rakan seperjuangan sekali, janganlah sesekali kamu memesongkan matlamat utama kamu menuntut ilmu. Janganlah kamu membudayakan amalan membaca ketika hampir peperiksaan umpama sebahagian dari darah yang mengalir di tubuhmu yang tidak lagi dapat dipisahkan. Istiqamahlah dalam mencari ilmu. Manfaatkan para ilmuwan yang berada disekeliling kamu. Janganlah juga kamu memisahkan skop pencarian ilmu kamu diantara ilmu duniawi dan ilmu akhirat kerana Islam itu bersifat syumul (keseluruhan). Islam tidak akan tertegak jika penganutnya masih terkepung dengan dinding-dinding kejahilan. Selamat menduduki peperiksaan. 

0 comments:

Post a Comment