Thursday, 20 October 2011

Ke Arah Menjadikan Sukan Sebagai Ibadah

Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya


Nukilan Mior Muhammad Faris B Mior Abdul Rahman
SY 0971

Sukan itu ibadah, kita menggendong syiar Islam. Kita menyertai pertandingan untuk menunjukkan imej Islam pada masyarakat. Demikianlah seharusnya matlamat utama bagi seorang muslim apabila menceburi bidang sukan. Islam sifatnya syumul, bukan hanya berkaitan dengan masjid dan ibadah khusus sahaja. Matlamat kita tidak seharusnya hanya untuk mencapai kemenangan dan hadiah semata-mata. Tapi ia adalah bonus yang Allah SWT berikan kepada kita atas hasil usaha kita. Walaupun kemenangan bukanlah matlamat utama, tetapi perlu diingatkan juga bahawa kemenangan juga mampu menarik masyarakat memandang Islam yang ada pada diri ini. Sebab itulah seharusnya seorang Islam itu juga memastikan bahawa cahaya yang dipancarkan oleh diri mereka adalah cahaya Islam yang akan melahirkan kekaguman di jiwa masyarakat. Sirah Rasulullah SAW juga telah membuktikan bahawa akhlak mulia yang ditonjolkan oleh Baginda sebagai salah satu faktor para sahabat memeluk agama Islam. Apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana seorang atlet itu mampu menjadi seorang pembawa syiar Islam?
            Latihan adalah faktor yang mempengaruhi kemampuan sesebuah pasukan. Sebab itu latihan seharusnya mempunyai komitmen yang tinggi daripada para atlet. Oleh itu, jelaslah bahawa setiap atlet seharusnya mempunyai disiplin diri yang tinggi. Disiplin dan Islam bukanlah dua perkara yang berbeza. Kedua-duanya mempunyai hasil pembawakan yang sama, kecuali perkataan sahaja yang membezakannya. Hal ini kerana setiap manusia yang berdisiplin itu, mereka pastinya seorang yang mengamalkan ajaran Islam. Sebagai contoh dalam urusan menepati masa, atlet yang berdisiplin semestinya akan mematuhi waktu latihan dengan. Menepati masa juga adalah sebahagian daripada anjuran Islam. Malah Allah SWT menurunkan satu surah khusus yang berkaitan dengan masa, yakni Surah Al-Asr untuk menunjukkan pentingnya menepati masa. Tapi sayang, ramai daripada kalangan masyarakat masa kini mampu untuk solat tepat pada waktunya, tetapi gagal mematuhi masa dalam urusan yang lain. Adakah kita ini pengamal fahaman sekularisme yang mengatakan ajaran agama hanyalah untuk urusan beragama sahaja? Mungkin kita tidak sedar dengan situasi ini, tetapi itulah hakikat yang berlaku sebenarnya.
            Selain itu, sikap kita dalam menghormati lawan juga seharusnya berpandukan adab-adab yang diajarkan oleh Islam. Sukan bukan bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat. Tetapi sukan adalah salah satu agenda perpaduan. Jadi seharusnya sukan itu dilaksanakan dalam situasi yang aman tetapi penuh dengan persaingan yang bersih agar mendidik para atlet supaya tidak mudah mengalah. Islam juga meminta orang-orang yang beriman itu tidak mudah berputus asa agar kita tidak menjadi umat yang sentiasa mengalah. Sirah juga telah menceritakan bagaimana para sahabat begitu semangat di medan perang walaupun ada yang berakhir dengan syahid.
            Berusahalah sekuat mungkin wahai para atlet sekalian dan perbanyakkan berdoa kepadaNya. Allah pasti akan membantu urusan orang yang membantu agamanya. Nama Islam pada kolej kita yang akan kita bawa sepanjang Sukan IPTIM nanti seharusnya diletakkan di tempat yang tertinggi kerana tiada yang lebih tinggi daripada Islam. Dan berjuanglah sehingga wisel penamat dibunyikan. Sesungguhnya cahaya matahari itu hanya akan malap apabila kiamat sahaja. Selamat berjuang dan mengapai kejayaan yang diimpikan. Takbir!!!!!

0 comments:

Post a Comment