Thursday, 15 December 2011

♥ Bila Kita Berbicara Soal Hati ♥

Disediakan Oleh : Nur Amani binti Jusoh
No. Matrik : SY 1066




      Bila kita berbicara soal hati, hati itu ada pelbagai rasa yang mana kadang kala sukar untuk ditafsirkan dan sukar untuk dimengertikan. Manusia selalunya tertipu dengan apa yang ada dalam hati dan perasaan. Perasaan itu kadang kala akan menipu akal dan fikiran. Kadang kala juga kita merasakan sesuatu yang ada di depan mata kita itu adalah yang terbaik. Kita juga sering berprasangka apa yang kita ada itu tidak pernah cukup dan tidak baik. Namun, hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui apa yang terbaik sedangkan kita tidak. Perasaan di hati kita itu juga adakalanya membuat kita kebingungan, kegelisahan, kerisauan, kegusaran dan sebagainya yang membuatkan kita resah dan tidak senang duduk. Sehinggakan kita terduduk menangis memikirkan kegundahan perasaan yang wujud itu.
      Hati dan perasaan memang ada dalam setiap diri manusia. Cuma yang membezakan ialah bagaimana kita semua menjaga hati itu supaya ia selari dengan akal dan fikiran kita. Jika terlalu mengikut perasaan dan kata hati, kita juga bisa mati. Akal fikiran dan pertimbangan yang baik sahaja dapat memandu kita kepada satu jalan yang betul. Kadang kala kita semua ini suka berprasangka kepada orang di sekeliling. Orang yang berbuat baik dengan kita, kita akan berprasangka kononnya ada udang di sebalik batu. Ya, prasangka boleh membantu hidup kita dan juga boleh membantutkan hidup kita. Kita sememangnya memerlukan prasangka tapi bukan prasangka yang membantutkan hidup kita. Tapi, biarlah prasangka yang berpada-pada. Kita cuma perlu berhati-hati dan jangan terlalu mengikut kata hati.
      Ada pendapat mengatakan wujudnya hati yang busuk, dan hati yang baik. Bagaimana hati yang busuk itu dan apa pula hati yang baik itu? Bolehkah kita sebagai hamba Allah yang lemah ini membaca apa yang terbuku di dalam hati insan ataupun individu lain? Hebat sangatkah kita meneka? Hebat sangatkah diri kita ini bila kita dengan yakin dan megahnya berkata "Aku tahu niat dia tu memang tak elok...niat dia saje nak tarik perhatian...niat dia itu...niat dia ini......niat dia memang nak mengenakan orang lain...niat dia nak menunjuk-nunjuk..." Padahal diri kita sendiri pun kadang-kadang tidak dapat mengenal pasti niat yang sebenar dalam hati kita. Mulut bicara lain, tapi di selubuk hati berkata lain. Bagaimana diri kita ini boleh yakin dan sangat pasti dengan niat orang di sekeliling kita? Sedangkan sesungguhnya Allah jualah yang lebih maha mengetahui segalanya.



      Oleh itu, marilah kita muhasabah diri kita sendiri.Terlalu banyak kekhilafan diri. Kita juga selalu berteka-teki dengan hati, perasaan, akal dan fikiran sendiri. Kadang-kadang kita juga menjadi bingung hanya kerana perasaan sendiri. Kita juga sering berasa tidak pasti dengan diri sendiri. Semuanya kerana diri sendiri. Fikir-fikirkan lah..!!

0 comments:

Post a Comment