Tuesday, 8 November 2011

~ KaWaN Di aKHiR ZaMaN iNi ~

 NuKiLaN oLeH :- Nur Amani binti Jusoh ( SY 1066 )


Kawan di akhir zaman ini,
Payah untuk kita ketemui,
Yang benar-benar sibuk dengan urusan baiki dirinya sendiri..
Yang ada kini hanya,
Sibuk dengan urusan mengumpul harta dunia,
Walau diketahui dunia ini yang hanya penuh tipu daya..

Kawan di akhir zaman ini,
Payah untuk kita ketemui,
Yang bergelumang dengan majlis ilmu yang penuh manfaat,
Yang sanggup bersusah payah dalam mengejar sesuatu ilmu..
Yang ada kini hanyalah,
Berbangga dengan segulung ijazah yang didapati,
Tetapi ilmu Fardhu Ain nya entah ke mana..

Kawan di akhir zaman ini,
Payah untuk kita ketemui,
Ahli profesional yang bertaqwa,
Yang benar-benar meletakkan Islam di jiwa mereka..
Yang ada hanyalah,
Ahli profesional yang lalai dan leka,
Yang hidupnya lebih kepada tradisi barat,
Ibadah dan amal terasa amat berat..

Kawan di akhir zaman ini,
Payah untuk kita ketemui,
Yang bersilaturrahim kerana tiada kepentingan,
Yang berhubung niat bertanya khabar..
Yang ada hanya,
Yang berhajat untuk mendapat projek yang sedia ada,
Bersahabat untuk kepentingan diri sendiri..

Kawan di akhir zaman ini,
Payah untuk kita temui,
Yang suka berbincang mengenai dosa-dosa sendiri,
Yang menghidupkan ilmu yang ada,
Yang mensyiarkan Islam pada diri mereka..
Yang ada hanyalah,
Yang suka berbincang dosa-dosa orang lain,
Yang suka mengumpat,
Yang menghidupkan ‘sunnah’ barat,
Yang melupakan kehidupan akhirat..

Kawan di akhir zaman ini,
Susah untuk kita temui,
Yang menjadikan masjid tempat pertemuan,
Yang menjadikan majlis ilmu tempat berkenalan..
Yang ada hanya,
Yang menjadikan kompleks tempat membuang umur,
Yang menjadikan disko dan pesta sebagai tempat berhibur..

Kawan di akhir zaman ini,
Susah untuk kita temui,
Yang menjadikan sunnah sebagai hiburan,
Menjadikan zikir sebagai nyanyian harian,
Menjadikan selawat ucapan kelaziman..
Yang ada hanya,
Artis dijadikan bahan pujaan,
Nyanyian melalaikan dijadikan hiburan,
Dianggap moden dan berketrampilan..

Kawan di akhir zaman ini,
Susah untuk kita temui,
Yang sentiasa merasai MATI itu sangat hampir,
Yang sentiasa merasai jelingan Izrail,
Menangis cemas mengenangkan saat kematian,
Merintih sayu mengenangkan persediaan..
Yang ada hanyalah,
Yang panjang angan-angan,
Mengumpul harta dunia kerja seharian,
Seolah kematian itu sangat jauh lagi,
Seperti alam barzakh itu tidak akan ditempuh..!!


~ Sekadar renungan dan buat tatapan bersama ~

0 comments:

Post a Comment